Thursday, January 13, 2011

Perahu Pinas pilihan Swoboda


NAGA Pelangi II dibina oleh Hasni yang mengambil masa hampir enam tahun dan diperbuat daripada kayu cengal.


TIGA dekad lalu Christoph Swoboda, 57, pernah menempah sebuah perahu besar jenis Bedor di pusat pembinaan bot tradisional di Pulau Duyong, Terengganu. Perahu yang diberi nama Naga Pelangi I digunakan lelaki kelahiran Jerman tersebut untuk mengelilingi dunia.

Selepas tamat misinya, Swoboda kemudian menjual perahu yang dibina dengan kos RM30,000 itu kepada seorang pelayar lain.

Bagaimanapun kehalusan seni pertukangan perahu di Pulau Duyong, menyebabkan selepas 30 tahun, Swoboda kembali semula ke situ untuk mendapatkan perahu baru idamannya.

Ditempah enam tahun lalu, akhirnya baru-baru ini sebuah perahu besar tradisi jenis Pinas yang dibina oleh pakar pertukangan Melayu Pulau Duyong siap.

Perahu besar diberi nama Naga Pelangi II dibina Hasni Che Ali, 56, berukuran 29 meter panjang dan 6.8 meter lebar itu mengambil masa hampir enam tahun apabila ia mula dibina pada 2004 dengan harga mencecah RM2 juta.

Perahu besar itu semuanya menggunakan kayu cengal yang kini sukar diperoleh. Proses membuatnya juga agak rumit, apatah lagi kayu yang digunakan perlu dijemur selama kira-kira dua tahun sebelum kerja membinanya boleh dimulakan.

“Ia dibuat begitu teliti, unik dan halus kerana tidak menggunakan paku sebaliknya dengan cara pasak untuk mencantumkan antara papan perahu berkenaan. Justeru itu, ia memakan masa yang lama untuk disiapkan. Itulah keistimewaan pertukangan bot di sini sehingga saya sangat tertarik dan obses dengan perahu jenis ini,” kata Swoboda.

Beliau ditemui di Pulau Duyong di sini, sebelum memulakan pelayaran sulung Naga Pelangi II ke Langkawi bersama enam rakannya yang terdiri daripada warganegara Switzerland, Norway dan Denmark.


NILAI perahu Naga Pelangi II mencecah RM2 juta.


Swoboda berkata, 30 tahun lepas, beliau pernah menempah sebuah perahu besar jenis Bedor di Pulau Duyong dengan tukang yang sama untuk mengelilingi dunia. Bagaimanapun, akuinya situasi Pulau Duyong hari ini tidak lagi sama jika dibandingkan dengan tiga dekad lalu.

“Alangkah terkejutnya apabila saya kembali ke Pulau Duyong kerana dulu terdapat kira-kira 30 bengkel membuat bot, tetapi kini hanya tinggal tiga bengkel sahaja lagi,” katanya yang sudah mahir berbahasa Melayu dialek Terengganu setelah tinggal lama di Terengganu.

Hargai seni warisan Melayu

Tambah Swoboda, rugi jika industri warisan Melayu itu luput ditelan zaman, jika ia tidak diwarisikan kepada generasi akan datang.

Beliau mengesyorkan pihak berkuasa supaya memberi perhatian khusus dengan melatih belia-belia yang berminat dalam bidang pertukangan bot tradisional Terengganu.

Naga Pelangi II yang bercirikan tradisi dengan dinding dan pintu bahagian dalam menggunakan papan kembung dari kayu cengal. Bagaimanapun ia diadun dengan peralatan canggih seperti menggunakan kuasa solar untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Swoboda berkata, walaupun perahu besarnya itu menggunakan layar, ia juga dilengkapi dengan kuasa enjin Volvo dengan 250 kuasa kuda.

Naga Pelangi II yang dilengkapi empat bilik tidur selain bilik untuk anak kapal boleh memuatkan sehingga 30 penumpang.

Sementara itu, Hasni berkata sekitar tahun 50-an dan 60-an, perahu besar memainkan peranan penting kepada perdagangan negeri Terengganu.

Beliau berkata, perahu-perahu besar yang digunakan generasi dahulu, belayar hingga ke negara-negara Indochina untuk berdagang.


PEMILIK perahu besar Naga Pelangi II, Swoboda menerangkan sesuatu mengenai sebuah bilik di dalam perahunya.


“Namun, pertukangan kayu hari ini tidak lagi popular dalam kalangan generasi muda hari ini yang lebih berminat dengan kerjaya moden,” katanya tanpa dapat menyembunyikan rasa bimbang dengan keadaan berkenaan.

Katanya, langkah kerajaan melalui agensi seperti Perbadanan Kraftangan Malaysia (Kraftangan) serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang kini melatih belia yang berminat dalam bidang itu diharap dapat memberi nafas baru kepada pembuatan kapal dan perahu tradisi di pulau itu.

“Kita harap belia-belia ini yang semuanya dari penduduk Pulau Duyong, mampu menyambung warisan perusahaan ini agar ia tidak luput ditelan zaman,” katanya yang mula bekerja sebagai pembuat bot sejak berumur 13 tahun dari tukang-tukang di pulau berkenaan.

Beliau bersama enam pekerja termasuk adik dan anaknya, kini sedang menyiapkan sebuah bot nelayan pukat jerut sejak setahun lepas dengan harga kira-kira RM1 juta dan dijangka siap tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: