Thursday, January 13, 2011

Padi Mekong diancam air masin


PERUBAHAN cuaca yang tidak menentu menjejaskan tanaman padi di Vietnam.


KIRA-KIRA setahun lalu, segelintir pesawah di penempatan Binh Thanh dekat selatan Vietnam menjangkakan hasil tanaman yang teruk apabila air yang disalurkan ke sawah mereka berada tahap yang terlalu masin.

Mereka menghubungi Vo Thanh, iaitu ketua pusat hidro-meteorologi di wilayah An Giang untuk mengambil sampel air di penempatan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari laut itu.

Firasat para petani berkenaan rupa-rupanya benar kerana air berkenaan mampu merosakkan tanaman mereka. Walaupun Vo Thanh telah mengesyorkan kerajaan memberitahu para petani agar berhenti memasukkan air ke sawah mereka dengan segera, namun tidak semua pesawah menerima nasihat berkenaan.

"Mereka yang berdegil telah mengalami kerugian yang besar. Sebanyak 4,000 hektar tanaman telah rosak," katanya.

Pemasinan tanah tanaman berkenaan hanyalah satu daripada cabaran rawatan persekitaran yang semakin meningkat di Vietnam. Ia terjadi akibat perubahan cuaca yang kini mencabar kemampuan kerajaan mencari jalan penyelesaian.

Perjanjian

Ketika para perunding di Cancun cuba mengusahakan satu perjanjian menurunkan suhu global, atau sekurang-kurangnya melambatkan peningkatannya, Vietnam sudah berada dalam peringkat awal perancangan untuk menerima perubahan.

Kajian demi kajian menunjukkan Vietnam muncul sebagai negara yang paling ampuh di dunia ke atas kesan perubahan cuaca seperti peningkatan paras air laut dan turun naik cuaca.

Delta Mekong adalah yang paling berisiko. Hampir separuh tanaman padi negara itu ditanam di delta berkenaan manakala selebihnya adalah untuk dieksport, lalu menjadikan Vietnam sebagai negara pengeksport kedua terbesar dunia selepas Thailand. Satu perlima daripada penduduk Vietnam tinggal di situ dan menjadi salah satu rantau biodiversiti terbesar dunia.

Kerajaan memberitahu dalam sebuah laporan tahun lalu bahawa sepertiga daripada Delta Mekong akan ditenggelami air sekiranya paras laut meningkat satu meter. Garisan pantai di beberapa bahagian negara itu juga akan berubah, seiring paten cuaca yang naik turun yang boleh menyebabkan banjir. Kawasan yang kekeringan dan lebih panas tentunya akan menjejaskan hasil pengeluaran padi.

Paras laut

Sebuah kajian oleh Institut Kajian Polisi Makanan Antarabangsa tahun ini menganggarkan bahawa paras laut akan meningkat sebanyak 17 sentimeter dan beberapa perubahan lain dalam cuaca akan menyusutkan hasil tanaman padi di seluruh negara sehingga 18.4 peratus pada 2030.

Vo Thanh telah melihat isu pemasinan pengairan air sebelum ini tetapi ia tidak pernah masuk jauh ke kawasan pedalaman dari laut.

Namun, yang menjadi masalah dalam kes Binh Thanh bukanlah garam-garam itu. Ia adalah masalah yang disebabkan rangkaian kompleks sistem daik dan pintu air yang dibina untuk mengelakkan pemasinan itu, katanya.

"Pintu-pintu lain ditutup untuk membenarkan air bersih masuk, oleh itu air masin telah mengalir ke sana," katanya.

Menurut pakar, ia adalah contoh masalah yang akan dihadapi Vietnam dengan lebih kerap selepas ini. Walaupun pilihannya sukar, ia terpaksa diterima.


KESAN kemarau pernah menjadi ujian terbesar terhadap para petani dalam sejarah agrikultur Vietnam.


"Perkara ini sudah pun terjadi sekarang dan bukan pada masa depan, dan ia akan menjadi lebih teruk," kata Koos Neffjes, penasihat polisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk perubahan cuaca di Vietnam.

"Mudah untuk menyatakan apa yang kita perlukan di sini pada tahun 2100, tetapi sukar untuk mengatakan apakah kepentingan hari esok," katanya.

Konsultan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) memberi markah yang tinggi kepada kerajaan Vietnam atas pengesanan awalnya mengenai risiko dan keperluan menerima keadaan itu.

Tahun ini, parti pemerintah Komunis memasukkan keperluan untuk berhadapan kesan-kesan perubahan cuaca di dalam draf awam dokumen polisi mereka. Ia disediakan untuk pelan Parti Kongres setiap lima tahun pada bulan Januari bagi menunjukkan komitmen parti tersebut.

Kerajaan meluluskan Program Sasaran Kebangsaan untuk berhadapan perubahan cuaca dua tahun lalu dan mengumpulkan penghantaran pelan-pelan wilayah untuk dimasukkan ke dalam pelan kebangsaan.

Ternyata, terdapat perubahan yang ketara mengenai cara kerajaan memahami masalah itu dan pelaksanaan pendekatannya.

Masa depan

"Saya rasa mereka telah membuat banyak perkara sejak dua tahun lalu. Tetapi saya fikir, situasi penting ini memerlukan mereka bertindak lebih pantas pada masa depan," kata Nguyan Thi Yen, koordinator perubahan cuaca untuk NGO CARE International di Vietnam.

"Kami mengharapkan sokongan terus diberi kepada komuniti di peringkat tempatan untuk menangani isu perubahan cuaca. Mereka juga perlu memahami situasi tersebut dalam konteks tempatan untuk mengambil tindakan berjaga-jaga mengikut perancangan tempatan. Ia amat penting," katanya.

Di beberapa pergunungan wilayah utara, tempat beliau mengadakan tinjauan baru-baru ini, kadar pemahaman dan tindakan dilihat sangat terhad, katanya.

Mengikut pemerhatiannya, kerajaan tempatan di Delta Mekong dan beberapa kawasan pantai lain dilihat mempunyai pemahaman yang jauh lebih baik.

Penerimaan juga memerlukan kerajaan untuk berfikir secara menyeluruh, merangkumi aspek sosial, ekonomi, penggunaan tanah dan beberapa polisi lain. Semua itu, menurut pakar, bakal menjadi cabaran lantaran pendekatan kemajuan itu hanya dikenal pasti di kawasan yang memiliki teknologi dan golongan yang memahami konteks tersebut.

"Apa yang diperlukan ketika ini ialah kepakaran kejuruteraan," kata Jeremy Carew-Reid kepada Pusat Antarabangsa berpangkalan di Hanoi untuk Pengurusan Persekitaran.


SEKTOR pertanian menjadi pintu rezeki untuk majoriti rakyat Vietnam.


Masyarakat tempatan ketika ini berfikir bahawa pembinaan daik atau beting adalah jawapan kepada masalah banjir. Sebagai contoh, beliau menyebut bahawa kerajaan meluluskan pelan pembinaan sistem daik bernilai AS$650 juta (RM2275.7 juta) yang merangkumi bandar raya Ho Chi Minh, hab komersial Vietnam.

Beliau bagaimanapun khuatir sekiranya pelan berkenaan yang bertujuan menghentikan banjir boleh mencetus satu masalah baru kepada bandar raya itu yang berkepadatan lebih tujuh juta orang penduduk.

"Pelan itu telah ditangguhkan berikutan semakin ramai orang mengkritik pelaksanaannya," katanya.

Reaksi

Untuk tempat-tempat seperti penempatan masyarakat di Binh Thanh, cabaran persekitaran akan terus meningkat. Pada masa yang sama, kitaran tindakan reaksi perubahan dan respons akan memainkan peranannya sendiri.

Le Van Banh, pengusaha padi di Institut Kajian Beras Delta Cuu Long berkata situasi pemasinan air akan lebih memburuk, tetapi para pengkaji sedang mencipta beras baru yang dapat bertahan walaupun di dalam air yang lebih masin.

Berdiri di atas ladang sawahnya yang berlumpur yang menghasilkan tiga kali tuaian setahun, petani Nguyen Van Banh membuat lubang di atas daik ladang sawahnya bersama seorang pekerja dan menanam kekacang bersama isterinya.

Ditanya sekiranya dia bimbang dengan perubahan cuaca, jawapannya: "Kami tidak mempunyai masa untuk bimbang mengenai perkara itu."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: