Tuesday, January 25, 2011
McDonald's hasrat miliki 300 restoran
PERBELANJAAN RM112 juta dilabur McDonald’s Malaysia untuk membuka 21 restoran baru seluruh negara tahun ini.
Pelaburan itu membabitkan kerja pengubahsuaian 13 restoran sedia ada.
Pengarah Urusannya, Sarah Casanova berkata, restoran baru itu menjana 1,500 pekerjaan untuk rakyat Malaysia, selain menyediakan peluang latihan dan pembangunan membina kemahiran sepanjang hayat.
"Matlamat utama kami membawa McDonald’s ke mercu lebih tinggi dengan menambah baik pengalaman pelanggan menjamu selera di restoran supaya pelanggan dapat menikmati detik menyeronokkan," katanya.
Menurutnya, McDonald’s Malaysia menjangka mencapai peningkatan 15 sehingga 20 peratus pada jualan tahun ini, didorong satu siri langkah inovatif merancakkan jualan.
"McDonald’s Malaysia pertama kali sejak 29 tahun kehadirannya di sini, mencapai jualan melebihi RM1 bilion, satu peningkatan 24 peratus daripada tahun sebelumnya," katanya.
Berhubung pembukaan restoran baru, Sarah berkata, sebanyak 20 daripadanya akan dilengkapkan dengan kemudahan pandu lalu.
"Pembukaan restoran baru itu kebanyakannya di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru," katanya sambil memberitahu McDonald’s Malaysia berhasrat memiliki 300 restoran menjelang 2014 berbanding 204 restoran sedia ada yang melayan lebih 12 juta pelanggan sebulan.
Strategi lain termasuk pembungkusan, pakaian seragam dan produk baru disertai tahap perkhidmatan lebih baik dan kemudahan lain seperti pandu lalu dan perkhidmatan WiFi percuma.
McDonald’s Malaysia merancang mempunyai 30 peratus kedai francais.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: