Friday, January 14, 2011

Marsha kesal difitnah




Jika rakan seangkatannya di Akademi Fantasia 3 sudah memiliki empat hingga lima album, pemilik nama Marsha Milan Londoh atau Marsha terpaksa bersabar demi menggapai impiannya mempunyai sebuah album sendiri setelah enam tahun program itu berakhir.

Pernah terlintas di hati kecil gadis ini untuk meninggalkan bidang nyanyian sebaliknya memberikan tumpuan kepada kerjaya lakonan yang menjanjikan lebih pulangan kepadanya.

Namun, gadis ini memujuk hati dengan menjadikan Adibah Noor sebagai inspirasi. Baginya, jika penyanyi itu sanggup menanti 10 tahun untuk memiliki album pertama, jadi kenapa perlu dia terlalu cepat untuk mengalah.

Pada tarikh keramat 11 Januari 2011, Marsha memperkenalkan album solo sulungnya, ‘Yang Pertama’ yang memuatkan lima buah lagu.

“Selepas tamat pengajian di AF, saya sudah berniat menghasilkan album dengan bajet sendiri, kerana saya sedar pada waktu itu Astro mempunyai terlalu ramai artis. Sudah tentu mereka tak mampu melayan semua. Jadi saya pun nekad mengumpul wang sedikit demi sedikit.

“Saya sanggup tidak pakai kereta atau membeli benda yang tidak sepatutnya semata-mata mahu mengumpul wang untuk buat album. Apabila wang yang dikumpul sudah mencukupi dan ada lebih sedikit, barulah saya berani membeli kereta,” katanya kepada media selepas selesai melancarkan album solonya di Alexis, Great Eastern Mall baru-baru ini.

Bagaimanapun kata Marsha, bukan mudah untuk melihat albumnya wujud kerana terlalu banyak dugaan yang terpaksa ditempuhi. Salah satunya apabila dia ditimpa penyakit bronkitis hampir tiga bulan yang menyebabkannya menunda semua jadual rakaman.

“Sudahlah terpaksa menanti untuk satu tempoh yang panjang untuk menghasilkan album ini, kemudian beberapa bulan sebelum album ini siap, saya ditimpa penyakit bronkitis hampir tiga bulan.

“Disebabkan penyakit itu suara saya menjadi serak dan tidak boleh menyanyi dengan baik. Ada juga artis yang menempah studio untuk merakamkan lagu, jadi saya sedikit terkejar-kejar untuk menghasilkan album ini. Namun saya bersyukur kerana dapat juga melancarkan album ini tepat pada masa yang ditetapkan,” kata Marsha yang turut memperlihatkan kebolehannya sebagai penulis lagu.

Walaupun menegaskan album itu dihasilkan dengan hasil titik peluh sendiri, namun masih ada suara-suara berbisik bahawa kos album yang mencecah puluhan ribu ringgit itu ditaja ahli perniagaan yang sedang rapat dengannya kini.

“Sekiranya saya ditaja, saya tidak akan buat lima lagu saja. Lebih baik saya ambil kesempatan buat 10 lagu. Lagipun individu yang dimaksudkan itu tidak ada kena mengena langsung dengan pembikinan ini. Dia cuma memberi nasihat dan sokongan sahaja kepada saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: