Monday, January 3, 2011
Lydiawati buka tudung?
Kehadiran Lydiawati ketika menghadiri majlis sidang media pelancaran drama Ustaz Amirul dengan skaf jaring rona putih dan bergaya ranggi dengan seluar jean mengundang tanda tanya apakah pelakon berusia 47tahun itu telah berubah imej.
Malah dia bagai bersedia untuk menjawab pertanyaan media mengenai penampilan terbarunya itu. Ibu kepada dua cahaya mata ini menjelaskan bahawa imej barunya itu sekadar memenuhi kehendak pengarah.
Lydiawati yang membawa karakter ibu kepada pelakon Shaheizy Sam untuk filem terbaru arahan Ahmad Idham berjudul 8 Jam yang kini sedang rancak menjalani penggambaran di Chow Kit. Dia berkata apa saja yang ingin diperkatakan orang terhadap dirinya, itu hak masing-masing. “Terpulanglah apa orang nak cakap, yang penting saya tahu apa yang saya buat dan Allah juga tahu saya lakukan semua ini kerana mencari rezeki yang halal. Bagi saya, hati budi manusia tidak seharusnya diukur dari penampilan seseorang kerana pokok pangkal adalah hati kita.
“Saya bergaya begini bukan disebabkan kegagalan rumah tangga kerana gaya ini hanyalah untuk sementara waktu. Ia hanya sekadar tuntutan kerja. Selepas ini saya akan kembali dengan imej dulu,” katanya yang turut memegang watak seorang ibu dalam drama bersiri Ustaz Amirul yang akan menemui penonton pada 7 Januari depan. Lydiawati yang kembali aktif setelah empat tahun menyepi berkata dia harus akur untuk membataskan aktiviti seni demi anak-anak. Malah Lydiawati berkata dia tidak terlalu memilih watak yang diberi memandangkan usianya yang tidak lagi muda.
Katanya, dia menerima apa saja tawaran asalkan mendatang rezeki supaya dapat membesarkan dua cahaya mata yang sedang membesar iaitu Nor Munira, 25 , dan Puteri Batrisya, 8 tahun. “Saya tidak pernah berhenti berlakon tetapi hanya berehat seketika kerana ketika itu anak-anak masih kecil. Selain membesarkan anak-anak, saya juga berehat kerana menuntut ilmu.
“Sebagai manusia, saya juga ada kekurangan. Sepanjang empat tahun berehat saya gunakan kesempatan itu mengikuti kelas pengajian al-Quran bersama dengan anak-anak sekali,” katanya yang mengakui gembira dengan kehidupan dilalui sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: