LAMPU pentas di panggung utama Teater Jakarta malap perlahan-lahan. Muzik orkestra terus mengalun tanpa henti. Begitu lampu padam, seluruh panggung gemuruh dengan tepuk sorak menyambut tamatnya pementasan lebih dua jam Muzikal Laskar Pelangi.
Apabila lampu dinyalakan semula, semua penonton bangun hampir serentak memberikan standing ovation kepada para pemain yang masuk pentas untuk curtain call. Tepuk gemuruh itu berakhir lebih 15 minit.
Menurut orang yang dekat dengan produksi itu, begitulah keadaannya hampir setiap malam sepanjang tiga minggu pementasan muzikal tersebut. Saya yang melihat dengan mata kepala sendiri suasana di Teater Jakarta pada malam kedua terakhir pementasannya waktu itu jadi teringat kepada sambutan terhadap Muzikal Puteri Gunung Ledang ketika ia dipentaskan di Kuala Lumpur untuk kali pertama sekitar Februari 2006 dulu.
Muzikal Laskar Pelangi diangkat daripada novel Andrea Hirata dengan judul sama yang sebelumnya jadi fenomena di Indonesia – kisah semangat 10 anak keluarga miskin yang belajar dalam serba kekurangan di sebuah sekolah di Pulau Belitung, Sumatera.
Ia diarahkan oleh Riri Riza yang sebelumnya memindahkan novel itu ke layar lebar pada 2008. Filem itu sempat jadi fenomena juga. Ia antara yang paling laris dalam sejarah sinema Indonesia – ditonton lebih sejuta orang dalam masa 10 hari saja – dan diberi penghargaan di beberapa festival filem antarabangsa.
Laskar Pelangi yang kali ini diangkat ke pentas dalam bentuk muzikal mengulangi fenomena novel dan filemnya. Biarpun dengan harga tiket yang agak mahal bagi penonton Indonesia, ia dapat sambutan hangat dengan tiket untuk semua persembahan sepanjang dua minggu terakhir habis terjual lebih awal.
Ia dianggarkan ditonton tidak kurang 25,000 orang berdasarkan kepada jualan tiket untuk 28 persembahan sepanjang tiga minggu itu.Muzikal Laskar Pelangi itu bersandar kepada acuan muzikal gaya Broadway tetapi alunan muzik dan gerak tarinya tampil dengan irama dan lengguk Melayu. Percik bumbu Melayu cukup terasa antara tingkah gendang dan langkah jogetnya.
Muziknya digubah dan diarahkan oleh Erwin Gutawa yang sebelum ini mengarahkan muzik untuk Muzikal P. Ramlee. Gerak tarinya pula disusun oleh Hartati, koreografer papan atas Indonesia, yang terkenal di pentas antarabangsa dengan karya-karyanya yang teguh berakar pada tradisi budaya – begitu ditulis pada buku program Muzikal Laskar Pelangi. Naskah dan lirik lagu-lagunya ditulis oleh Mira Lesmana – regu kreatif Riri sejak sekian lama.
Daripada senarai warga kerjanya yang panjang, produksi muzikal ini ringkasnya diterajui oleh mereka yang terbaik dalam bidang masing-masing. Tetapi ia bukan tiket mudah untuk mengerjakan sebuah muzikal apalagi ia diangkat daripada novel yang begitu popular yang sebelumnya juga sudah difilemkan, dan juga popular.
“Kita akan berikan sesuatu yang baru,” kata Mira yang juga salah seorang penerbit muzikal itu dalam banyak interviu menjelang pementasan. Janji itu, setidak-tidaknya, tidak dia mungkiri.
Sesuatu yang baru itu tentulah aspek kekaguman sebagai sebuah karya pentas, dan tentunyalah sebagai sebuah teater muzikal. Rata-rata orang yang telah menontonnya mengatakan muzikal ini serba-serbi bagus – muziknya bagus, koreografinya bagus dan sesuatu yang diakui sangat bagus, suara para pemainnya.
Tetapi bagi Riri sendiri dia tidak mahu selesa dengan puji-pujian itu. Dia berharap muzikal itu akan dapat dipertunjukkan kembali dan diperbaiki beberapa aspeknya.
“Kami sedar masih banyak ruang untuk diperbaiki namun respons penonton yang sangat-sangat baik adalah bukti bahawa pertunjukan ini punya potensi besar menjadi tontonan yang diterima khalayak yang luas di Indonesia,” kata Riri.
Khalayak yang luas itu tentulah tidak hanya di Indonesia tetapi di Malaysia juga.“Ya, saya sedia bawa muzikal ini ke Kuala Lumpur,” kata Riri menjawab pertanyaan tentang masa depan Muzikal Laskar Pelangi, sebelum menambah, “kalau ada yang mahu membiayainya.”
Kalau nanti Muzikal Laskar Pelangi jadi datang bermain di Kuala Lumpur, harap-harapnya penggiat dan pengurus teater di sini akan dapat belajar banyak perkara.
Pelajaran paling utama, sebuah teater muzikal persiapannya bukan sebulan dua – latihannya panjang dan penonton tahu sesebuah karya itu sudah siap atau tidak untuk dipertunjukkan. Keduanya, ini juga sangat menarik, yang ditampilkan di pentas itu semuanya penyanyi yang boleh berlakon dan menari. Mereka bukan pelakon yang dipaksa menari dan menyanyi.
Tetapi sebelum sempat muzikal itu datang ke Istana Budaya, ia mungkin akan lebih dulu singgah di Esplanade, Singapura. Pegawai panggung itu khabarnya ke Jakarta menonton Muzikal Laskar Pelangi dan membuat jemputan mulut kepada Riri dan Mira.
Setelah mati suri atau koma lebih 20 tahun, teater muzikal kembali menggeliat di Indonesia. Tahun lalu saja, ada sekurang-kurangnya tiga teater muzikal yang besar dipertunjukkan di Jakarta. Selain Laskar Pelangi, dua lagi iaitu Onrop! arahan Joko Anwar dan Diana: Rahasia Hatiku arahan Garin Nugroho, kedua-duanya sutradara filem sama seperti Riri.
Sambutan terhadap semua muzikal itu dan kemuncaknya terhadap Laskar Pelangi pasti jadi ubat kuat yang akan memacu bangkitnya semula ghairah teater muzikal di Indonesia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: