Monday, January 17, 2011

Laluan penerbangan Kota Kinabalu-Perth lonjakkan kedatangan pelancong ke Sabah




Laluan Kota Kinabalu-Perth yang baru dilancarkan Malaysia Airlines (Mas) dijangka melonjakkan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah, sejajar dengan komitmen syarikat penerbangan kebangsaan itu untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai Hab Timurnya.

Bandar raya di Australia akan menjadi destinasi antarabangsa kedua diperkenal selepas Haneda (Tokyo) November, sejak Mas melancar secara rasmi Hab Timurnya, di Kota Kinabalu, Oktober lalu.

Penerbangan sulung syarikat penerbangan kebangsaan itu berlepas ke Perth pada 7 petang kelmarin, terlewat sedikit daripada jangkaan waktu berlepas jam 6 petang disebabkan keadaan cuaca dan penerbangan balik ke Kota Kinabalu pula tiba jam 7.55 pagi semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, iaitu antara penumpang yang diberi sambutan meriah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi semalam, berkata ia adalah peristiwa yang sangat penting untuk mempromosi pelancongan di negara ini, terutamanya Negeri Sabah.

Beliau berkata, masyarakat Sabah adalah antara jumlah terbesar komuniti asing yang tinggal di Perth, dengan anggaran sekitar 20,000 orang dan laluan baru ini akan memenuhi keperluan mereka selain pelancong Australia yang datang ke negeri ini.

“Pelajar Malaysia berada di tempat ketiga jumlah pelajar asing di Perth, sungguhpun kami tidak mempunyai perangkaan sebenar.

“Jadi saya harap semua pihak dan bukan setakat penggiat pelancongan di Sabah saja, akan bekerjasama untuk mempromosikan laluan baru ini dan memastikan terdapat jumlah penumpang yang mencukupi untuk mewajarkan kesinambungan sektor baru penerbangan ini,” katanya.

Beliau berkata, ini kerana pada masa lalu, laluan Kota Kinabalu-Sydney yang ditawarkan syarikat penerbangan kebangsaan Australia, Qantas Airways, dihentikan berikutan jumlah penumpang yang rendah.

Pengerusi Mas, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, purata jumlah penumpang berada pada 86 peratus bagi kedua-dua penerbangan sulung itu, di mana penerbangan menuju ke Perth membawa 119 penumpang dan balik pagi semalam pula membawa 155 penumpang dalam pesawat 160 tempat duduk Boeing 737-800.

Beliau berkata, perkhidmatan itu menawarkan penerbangan tanpa henti tiga kali seminggu bagi laluan berkenaan, dan akan melengkapkan 10 penerbangan tanpa henti sedia ada dari Kuala Lumpur ke Perth.

Ditanya mengenai destinasi antarabangsa akan datang dari Kota Kinabalu yang bakal diperkenalkan syarikat penerbangan itu, Dr Munir berkata, buat masa ini keutamaan adalah untuk menjayakan laluan sedia ada bagi memastikan jumlah penumpang yang tinggi.

“Jika ia dapat dipertingkatkan, langkah seterusnya menambah kekerapan penerbangan. Memanglah kami akan mengkaji memperkenalkan laluan lain, namun sebelum kami pergi ke peringkat seterusnya, kami mahu memastikan laluan yang kami tawarkan sekarang berjaya,” katanya.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mas, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz berkata, selain Haneda dan Perth, Mas sudah menyediakan beberapa laluan antarabangsa terus dari Kota Kinabalu seperti Osaka, Seoul, Hong Kong dan Taipei.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: