Digital Mall, milik penuh SM Digital Sdn Bhd, menjadi operator pusat beli-belah digital pertama yang menawarkan kemudahan e-dagang untuk penyewa dengan pelancaran Virtual Mall.
Pengarah Eksekutif SM Digital Mall, Eric Seow berkata, pusat beli-belah maya ini menawarkan lebih banyak pilihan dan nilai bagi memudahkan pelanggan.
Menurutnya, Virtual Mall mencerminkan peningkatan trend dalam kalangan segmen khusus pengguna Malaysia.
“Semakin ramai pengguna melakukan urus niaga dan pembelian dari rumah, terutama barangan yang menawarkan khidmat penghantaran lantaran gaya hidup yang sibuk.
“Mereka akan mencari jenama dan peruncit yang dipercayai, tetapi pada masa sama tidak mahu keluar dari rumah atau pejabat untuk mendapatkan perisian, perkakasan, aksesori atau peranti terkini,” katanya.
Pelancaran sempena ulang tahun keempat kompleks itu dan disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Menurut Seow, pihaknya turut menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan luar Lembah Klang dan menawarkan rangkaian meluas jenama dan produk pada harga sama dengan jaminan penghantaran pantas.
Sementara itu, Lim berkata, pelancaran Virtual Mall menjadi langkah konkrit bagi menggalakkan penerimaan konsep e-dagang secara besar-besaran di negara ini.
“E-dagang sudah menukar tradisi perniagaan dan menyediakan capaian lebih meluas terhadap pasaran baru dan dijangka mampu memacu pertumbuhan ekonomi sehingga 10.2 peratus menjelang 2015.
“Pelancaran Virtual Mall mencerminkan penerimaan meluas konsep e-dagang dalam kalangan usahawan dan membantu rakyat beli-belah dengan selesa,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: