KUALA LUMPUR: Sebuah rancangan realiti yang memaparkan kehidupan seorang gadis yang bakatnya dikesan melalui laman portal YouTube, akan menemui penonton setiap Selasa bermula hari ini, pukul 6 petang.
Rancangan realiti di TV3 itu diterbitkan sebanyak 13 episod dan diberi judul Gadis Semasa Sunsilk.
Program ini bertujuan meningkatkan gaya peribadi wanita muda bagi membolehkannya menikmati kehidupan dengan penuh keyakinan.
Gadis yang masih dirahsiakan identitinya itu mempunyai bakat yang luar biasa. Dia akan mendapat bimbingan ke arah pembentukan imej dan bakat oleh komposer Ajai, pelakon Wardina dan pakar dandanan tempatan Bambang Sateto.
Rancangan itu diterbitkan oleh syarikat produksi Red Comunications Sdn Bhd. Ia diarahkan oleh Bernard Chauly.
Siri drama realiti itu akan merakamkan transformasi saat-saat manis, pahit, tawa dan tangisan yang bakal di tempuhi gadis berkenaan dalam perjalanan hidupnya.
Benard berkata, pada tiga episod pertama, rancangan tersebut akan memaparkan detik-detik penting dalam mengenal pasti seorang wanita untuk dipilih menyertai pencarian itu.
Selepas itu pula para penonton akan diperlihatkan bagaimana gadis berkenaan diberi pendedahan kepada dunia glamor selain khidmat nasihat serta bimbingan pakar dalam merealisasikan hasratnya untuk mengejar impian.
“Penonton akan dapat menyaksikan bagaimana seorang gadis yang begitu naif mendapat tunjuk ajar, bimbingan dan keyakinan dalam mengejar impian hidupnya. Ia sebuah rancangan yang menarik bagaimana sukarnya mencari seseorang melalui laman YouTube,” kata Benard.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: