CABARAN yang harus dilalui seorang pengacara agar tidak terlalu banyak bercakap agak aneh bunyinya. Seperti kebiasaan pengacara diberi tanggungjawab untuk membentuk suasana sesuatu majlis, acara mahupun program agar lebih hidup.
Teater Muzikal Tun Mahathir yang akan 21 hingga 30 Januari ini di Panggung Sari Istana Budaya (IB) ini juga menjadi pengalaman pertama Sarimah yang berbangga dapat menurutinya sama.
“Menerusi teater ini saya tidak akan lebih gila-gila kerana tidak sesuai dengan konteks zaman jalan cerita, cabaran saya adalah untuk diam dan tidak terlalu banyak bercakap.
“Saya hanya akan menyampaikan fakta sejarah mengikut jalan cerita yang diberikan penulis dan pengarah, namun kalau saya diberikan kebebasan daripada pengarah untuk menceritakan kisah ini mengikut bahasa saya lagi baik,” katanya.
Lebih memberi cabaran buat Sarimah adalah menjadi pelakon yang terakhir menerima skrip memandangkan watak pencerita ini adalah watak baru yang diwujudkan bagi membantu penonton memahami jalan cerita.
“Sebaik menerima tawaran di dalam teater ini, saya terus berjumpa penerbit dan pengarah menyatakan yang saya sangat teringin terbabit sama dalam teater ini, saya terus menunjukkan jadual saya yang agak penuh, namun mereka memberikan saya watak susur iaitu pencerita.
“Memandangkan watak susur adalah watak baru sememangnya ia tiada rujukan untuk dilihat lalu saya meminta rujukan watak, sedihnya mereka menyatakan tiada rujukan untuk watak ini malah melihat daripada keupayaan saya sebagai pengacara sebelum ini.
“Apa yang saya akan buat adalah membaca, menghafal dan berlakon, kiranya agak terkejut juga sebab saya hanya ada 10 hari untuk menghayati skrip yang baru diberikan.
“Bila dapat skrip saja saya terus menulis kembali pada kad untuk memudahkan saya menghafal dan menghayati lalu mencuba beberapa sudut, sebenarnya dalam masa 10 hari itu, saya hanya ada enam hari saja untuk berlatih bersama semua pelakon bermula pada 14 Januari ini, ini satu cabaran tapi bagi saya Insya-Allah saya yakin boleh dengan pengalaman sebelum ini mengacara banyak program secara langsung, harapan saya adalah untuk menyampaikan fakta dan jalan cerita teater ini,” katanya.
Sarimah juga akui tawaran itu juga amat istimewa buat dirinya yang tidak ditawarkan kepada orang lain, lalu memberikan ia pengalaman mengenali dengan lebih mendalam idolanya Tun Mahathir.
“Sebaik menerima tawaran teater ini saya cukup teruja untuk menyertainya kerana tahu ia adalah kisah Tun Mahathir, jadi saya gembira menerima watak ini.
“Sebagai watak pencerita yang sememangnya dekat dengan hati saya, ia satu penghargaan dan gembira dapat menyampaikan kisah Tun yang bukan saja kisah dia tetapi jika difikirkan betul-betul ia adalah kisah sejarah pembangunan negara,
“Tun Mahathir juga turut disanjung oleh negara lain, apa yang berlaku, pada diri saya ia seperti tanggungjawab atau ibarat sebagai guru sejarah yang menyampaikan penceritaan dalam bentuk yang menarik,” katanya.
Satu peranan sudah cukup
Menerima watak sebagai pencerita iaitu perantara antara jalan cerita dengan penonton sedikit sebanyak turut menyamai dengan kariernya sebelum ini sebagai pengacara televisyen.
“Watak ini juga tidak jauh dari diri saya dan pencerita adalah perantara antara jalan cerita dan penonton. Jadi saya gembira menerima watak ini kerana pencerita dekat dengan hati saya dan untuk menceritakan satu cerita seperti ini satu penghargaan.
“Satu peranan ini saja sudah cukup bagi saya untuk menyampaikan penceritaan mengikut cara saya kerana saya tahu, kisah Tun ini bukan saja hanya mahu di tonton oleh rakyat negara ini malah warga asing yang mengenali Tun turut tidak ketinggalan mahu menonton teater ini, jadi saya harus berusaha menceritakan dengan lebih baik.
“Bila kita berlakon teater kita tidak boleh syok sendiri kerana setiap karektor ada peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Kita ambil apa yang diberi dan menyampaikan dengan sebaik mungkin serta tidak menidakkan apa yang diberikan penerbit mahukan. Menyampaikan sejarah dengan cara yang menarik, ia sangat berbeza dengan muzikal lain.
“Banyak perkara yang saya dapat tahu selepas membaca skrip buat kali pertama dan banyak perkara yang tidak disangka di sebalik kehebatan Tun Mahathir,” katanya.
Info
Tukar dan tonton
*
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: