Tuesday, January 18, 2011

Kerjasama P1-SKT capai 280,000 pelanggan




Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1) dengan kerjasama rakan perniagaan Koreanya, SK Telecom (SKT) mencapai sejarah baru dengan memperoleh 280,000 pelanggan perkhidmatan jalur lebar P1 4G.

Pencapaian itu adalah setelah enam bulan kerjasama strategik antara P1 dengan syarikat telekomunikasi mudah alih terbesar Korea itu.

Menteri Telekomunikasi dan Penyelia Korea Selatan dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Korea, Seejoong Choi berkata, kerjasama itu akan meningkatkan daya saing Korea dan Malaysia menerusi jalur lebar wayarles 4G melalui inovasi, kreativiti dan aliran bebas maklumat.

“Komitmen P1 dan SKT akan memastikan jalur lebar 4G dapat diakses secara meluas dan membolehkan pengguna menikmati perkhidmatan pada tahap baik dengan harga berpatutan.

“Kami gembira kekuatan Korea dalam inisiatif teknologi maklumat dan telekomunikasi dapat dikongsi dengan industri ICT tempatan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif P1, Michael Lai berkata, Malaysia adalah negara pertama di dunia mengeluarkan lesen 4G iaitu pada 2007 untuk memastikan rakyat mempunyai pilihan capaian jalur lebar tanpa wayar lebih luas dan efektif kos.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: