Monday, January 24, 2011

Jang Hyuk Mahu Berlakon Sampai Mati

SEJAK kebelakangan ini, trend hiburan tanah air menunjukkan ramai di kalangan rakyat negara ini tanpa mengira usia menyukai drama, filem, muzik dan apa-apa sahaja hiburan dari Korea.

Ia dapat dilihat apabila semakin ramai artis Korea datang ke negara ini untuk membuat persembahan konsert mahupun mempromosikan drama bersiri yang dibintangi oleh mereka.

Salah seorang daripadanya ialah Jang Hyuk, pelakon popular Korea yang berkunjung ke ibu negara pada 18 Januari lalu bagi mempromosikan drama bersiri terbaru, Midas dalam satu majlis pelancaran di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur.

Jang Hyuk atau nama sebenarnya, Jung Yong Joon, 35, berkongsi tentang keseronokannya berlakon walaupun sudah memiliki pengalaman berlakon selama lebih 15 tahun.

Katanya, dia tidak pernah terfikir untuk bersara kerana minat mendalamnya dalam bidang lakonan yang bermula selepas dia membintangi drama Model pada tahun 1997.

“Saya akan berlakon sampai mati. Haha. Maksudnya saya akan terus berlakon selagi para peminat masih mengingati serta memberikan sokongan kepada saya,” katanya secara bergurau kepada wakil media.

Jang Hyuk

Dalam drama Midas yang masih menjalani penggambaran itu, Jang Hyuk memegang watak Dohyun sebagai seorang peguam yang bijak tetapi tidak bercita-cita tinggi. Ia akan ke udara menerusi saluran One HD iaitu saluran berdefinisi tinggi di Astro pada 23 Mac. Drama itu dijangka mendapat sambutan menggalakkan ekoran daripada penerimaan memberangsangkan daripada orang ramai.

Selepas kejayaan terbaru merangkul Anugerah Hadiah Utama dan Pasangan Terbaik untuk The Slave Hunter pada Anugerah Drama KBS 2010, Jang Hyuk mengakui dia tidak pernah terfikir untuk menukar haluan kerjayanya menjadi seorang penyanyi walaupun dia menyanyi dalam satu babak drama Midas.

“Dari segi kerjaya, minat nombor satu saya adalah berlakon dalam drama. Saya berasa puas apabila dapat mewujudkan satu perhubungan rapat dengan semua lapisan masyarakat menerusi lakonan saya,” katanya yang pernah muncul dalam video muzik untuk album rapnya, TH Project yang dikeluarkan pada 2000.

Mengenang kembali pengalamannya berkecimpung dalam dunia seni bagi tempoh lebih sedekad itu, pelakon kacak ini menyifatkan kejayaan terbesar dalam kariernya apabila mendapat kepercayaan dan pujian daripada para peminatnya.

Jelas Jang Hyuk, dia bangga sekiranya para penonton mengingati kemunculannya dalam drama atau filem setiap kali berakhirnya sesuatu tayangan rancangan hiburan.

Dia langsung tidak merasakan dengan kebanjiran artis baru di industri seni sebagai satu cabaran tetapi melihatnya sebagai suatu persaingan yang sihat.

Bapa kepada dua anak ini berpendapat seseorang pelakon itu harus lebih memahami karakter yang dibawanya kerana dari situlah, para penonton akan menilai terhadap sesuatu keupayaan seseorang pelakon itu.

Sementara itu, Jang Hyuk memasang impian untuk mengembangkan kerjayanya ke Hollywood suatu hari nanti. Namun, ini tidak bermakna dia akan mengabaikan keluarganya kerana kerjaya dan keluarga adalah sama-sama penting.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: