Friday, January 28, 2011

Ford Fiesta 1.4L sesuai di bandar




BEBERAPA ketika dulu, memerhati model-model baru Ford yang dilancarkan di pasaran global, acap kali terasa hampa kerana model itu tidak pun diperkenalkan ke Malaysia.

Ini kerana strategi pemasaran Ford Malaysia ialah kepada kenderaan pacuan empat roda, khususnya trak pikap yang sememangnya diakui merevolusikan segmen trak pikap di negara ini.

Setelah Ford melepaskan pegangan sahamnya di Malaysia dengan Sime Darby berperanan sebagai pemegang francais menerusi Sime Darby Auto Connexion (Auto Connexion), barulah dilihat satu bentuk kesungguhan membawa jenama Ford bersaing dalam segmen kereta penumpang. Ini seiring dengan populariti kereta penumpang Ford pada 1980an.

Pengenalan model Focus perlahan-lahan meraih momentum, apatah lagi terdapat pilihan enjin diesel dengan transmisi klac kembar. Atas alasan tertentu, hanya Ford Ranger mencatat jualan yang memberangsangkan, bermakna banyak lagi tugas perlu dilakukan untuk menjana jualan model-model lain.

Beberapa pemerhati industri berpendapat masih wujud keraguan di kalangan rakyat Malaysia terhadap jenama Ford yang tertumpu pada isu nilai kereta terpakai dan kos alat ganti. Pastinya, Auto Connexion akan menggandakan promosi bagi meningkatkan keyakinan pengguna.

Justeru, pengenalan model Fiesta adalah suatu isyarat penting kepada rakyat Malaysia bahawa Auto Connexion bersedia membawa model yang menepati kehendak dan cita rasa generasi semasa.

Sekian lama selesa dengan pacuan empat roda, 2011 adalah masa yang tepat bagi jenama Ford diangkat kembali dan bersaing untuk menembusi pasaran jenama kereta Jepun dalam segmen kereta penumpang.

Melihat model Ford Fiesta ini, tidak boleh tidak kita akan membandingkannya dengan Mazda2. Ini kerana kedua-duanya berkongsi platform badan yang sama, dan dipasang di kilang Auto Alliance Thailand (AAT) di Rayong, Thailand. Perbezaan yang wujud antara kedua-duanya ialah transmisi gear dan perwatakan kendalian kereta.

Pengeluaran Fiesta di kilang AAT di Thailand bermula awal tahun lalu dan negara seperti Singapura dan Australia yang telah menjual lebih awal model ini mendapatkan bekalan dari Eropah. Kini semua Fiesta datang dari Thailand.

Terdapat tiga varian Fiesta yang diperkenalkan oleh Auto Connexion ke Malaysia iaitu Fiesta LX 1.4 liter transmisi manual (RM69,888); Fiesta Sedan LX 1.6L Ti-VCT (RM78,888) dan Fiesta Sport 1.6L Ti-VCT (RM82,888).

Auto Connexion menyusun sesi pandu uji satu persatu ke atas varian-varian ini. Minggu ini, ulasan bermula dengan Fiesta LX 1.4 liter. Saiznya ialah 3,950 mm panjang, 1,722 mm lebar dan 1,475 mm tinggi. Menggunakan transmisi manual 5 kelajuan, ia adalah model asas bagi Fiesta. Secara umumnya, kesemua varian Fiesta menggunakan enjin empat silinder dan varian 1.4 Liter ini adalah ideal bagi pemanduan dalam bandar dari segi penggunaan bahan api. Masa kesesakan lalu lintas, gear manual tidak berapa selesa untuk kaki.

Varian 1.4 LX ini menawarkan kuasa maksimum 96 kW pada 6,000 rpm dan kuasa kilas 128 Nm pada 4,050 rpm. Dengan tangki penuh sebanyak 42 liter, Ford menyatakan ia menggunakan 5.7 liter bagi setiap 100 km. Satu aspek menyeronokkan ialah kereta kecil ini boleh dipacu sehingga 175 km sejam.

Penulis bertuah semasa tempoh pandu uji ini kebetulan jatuh pada hari perlawanan akhir pertama Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 29 Disember lalu. Selain meraikan kemenangan, aliran keluar penulis menggunakan Fiesta ini terasa lebih 'licin' dengan saiznya yang kecil dapat menyusup ke depan semasa kesesakan di sekitar stadium. Ramai juga yang terpesona melihat model Fiesta ini.

Sebagai model asas, varian ini tidak dilengkapi lampu kabus dan rim roda aloi (perlu dipasang sendiri oleh pemilik), tetapi bila dinilai secara teliti, ciri-ciri yang terdapat di dalamnya tidaklah 'miskin tegar'. Tingkapnya menggunakan kuasa elektrik, begitu juga pengalihan cermin sisi, paparan pelbagai fungsi, sistem audio yang boleh memainkan MP3 dan aux jack. Dari segi keselamatan, beg udara untuk pemandu serta ciri keselamatan pasif ABS, EBD, ISOFIX dan pengesan mengundur.

Satu aspek positif yang ketara pada Fiesta (walaupun pada varian 1.4 liter ini) ialah kesenyapan bunyi enjin dan ruang kabin. Bila kereta dipecut laju, perbualan sesama rakan di dalam kabin tidak perlukan suara ditinggikan.

Sebagai model bersaiz kecil, tentunya ia menjadi tarikan untuk mereka yang perlu memasuki bandar dan menghadapi isu seperti kos minyak yang tinggi, kos meletak kereta atau ruang kereta terhad, Fiesta 1.4 liter ini adalah pilihan terbaik.

Dari sudut kurang menariknya ialah pada harga hampir RM70,000, Fiesta sebagai sebuah kereta diimport sepenuhnya tidak boleh menyaingi harga kereta-kereta yang dipasang di dalam Malaysia. Tepuk dada tanyalah selera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: