PETALING JAYA: Siapa sangka, selepas sepuluh tahun terpisah, penyanyi Edlin Abdul Rahim bertemu dan bercinta kembali dengan bekas kekasihnya.
Sengaja merahsiakan namanya, Edlin yang pernah menyertai Akademi Fantasia musim kedua (AF2) berkata kali terakhir dia bertemu dengan lelaki itu sewaktu belajar di tingkatan empat.
Bagaimanapun selepat tamat sekolah, mereka berdua menyambung pelajaran di Melbourne, Australia tetapi sayang sekali tidak pernah berjumpa.
“Percaya atau tidak, walaupun belajar di tempat yang sama, kami tidak pernah berjumpa antara satu sama lain. Tetapi itu semua kerja Tuhan, kami bertemu semula pada tahun lepas melalui Facebook,” kata Edlin kepada mStar Online.
Selepas pertemuan itu, kedua-dua mereka telah melafazkan rasa cinta serta termasuklah sudah berjumpa dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak.
“Dia orang Kuala Lumpur. Setakat ini, keluarga kami sudah pun berkenalan. Kalau ada jodoh, insya-Allah kami akan berkahwin.
“Saya tertarik dengan sikapnya yang baik hati, bercakap dengan lemah lembut dan menghormati keluarga.
“Keluarga saya tidak kisah tentang harta dan pangkat seseorang itu asalkan dia ikhlas dan jujur dengan saya, cukuplah,” cerita anak sulung daripada dua beradik ini.
Bercerita tentang karier seninya, Edlin masih lagi menyanyi dan sering menjayakan persembahan tertutup dan juga aktiviti melibatkan Astro.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: