BEBERAPA tahun lalu, sosok perkasa pemilik nama sebenar, Dwayne Johndon yang dikenali dalam dunia gusti sebagai The Rock berusaha menurunkan berat badan asal sebanyak 30 kilogram daripada berat asalnya iaitu 116 kilogram - semata-mata ingin kelihatan normal di skrin lebar.
Perubahan ketara itu diakui jelas terbayang tatkala menonton beberapa filem lakonannya. Itu semua kerana mengikut kehendak Hollywood.
Namun, lain pula situasi kali ini. Bergelar individu menyandang usia 39 tahun pada tahun ini, Dwayne lewat kebelakangan ini lebih senang menampilkan bentuk badannya di layar lebar sama seperti ketika dia menggalas tanggungjawab sebagai ahli gusti pada tahun 90-an dahulu.
Dihampiri kesempatan mengisi filem berbalut drama aksi, Faster sebagai teraju utama bernama Driver, anak jati California, Amerika Syarikat itu bagaimanapun meluah keterujaan kerana tidak perlu bersungguh-sungguh untuk menurunkan berat badannya seperti sebelum ini.
"Sebaiknya, berotot kekar selalu lebih bagus. Bayangkan, saya bekerja keras sebelum ini semata-mata hendak memberi komitmen terhadap filem dibintangi termasuk membentuk tubuh lebih ideal. Diberi amanah menjayakan Faster, saya seronok untuk memainkan karakter Driver. "Dalam tempoh tiga bulan setengah, saya berjaya menaikkan semula berat badan agar kelihatan lebih sasa dalam filem. Pengarah mahu watak Driver nampak perubahan diri selepas berada dalam sel tahanan selama 10 tahun," jelas Dwayne yang turut mengkaji kehidupan banduan untuk watak itu.
Naskhah garapan George Tillman Jr. yang memulakan penggambaran awal Januari tahun lepas itu mengenengah plot cerita pembalasan dendam Driver terhadap penjenayah yang membunuh abangnya ketika berlaku sebuah rompakan bank sehingga dia ditangkap pihak berkuasa lalu dipenjara. Bergandingan dengan aktor terkenal, Billy Bob Thornton, pelakon lain yang turut mendukung kelancaran Faster ialah Carla Gugino, Moon Bloodgood, Oliver Jackson-Cohen, Maggie Grace dan Matt Gerald.
Berikut sedutan temu bual media antarabangsa bersama Dwayne Johnson.
Boleh kongsi bersama peminat tentang watak anda dalam filem Faster?
Dwayne (D): Saya tidak diberi nama tertentu seperti dalam filem lain kerana pengarah ingin kelainan dengan memberi gelaran Driver. Sama hal dengan Billy Bob Thornton yang dikenali dengan panggilan Cop dan Oliver (Killer).
Secara ringkas, penonton akan menyaksikan amarah Driver yang ingin membalas dendam terhadap kematian abangnya.
Tidak hanya itu, Driver harus menanggung kesulitan kerana difitnah sehingga menyebabkan dia dipenjara selama 10 tahun.
Selepas tamat tempoh itu, bermula misi Driver bagi memburu dua individu pernah menganiaya dirinya - Cop dan Killer. Paling menarik, Driver membunuh mangsa-mangsa tanpa belas ihsan demi menunjukkan sisi gelapnya.
Boleh jelaskan terperinci tentang karakter Driver?
Terus terang, watak Driver dianggap cukup mencabar sekali gus menguji ketahanan fizikal dan mental saya. Bahkan, ia punya keseimbangan warna gelap dan putih dalam keseluruhan filem ini.
Driver tidak digambar sebagai individu kejam semata-mata demi mencari keadilan. Dia bagaimanapun masih terisi dengan perasaan kasih sayang sesama insan lain di sekeliling. Semangat kekejaman Driver sebenarnya diserap sewaktu berada dalam penjara.
Pada waktu itu, dia yang pada awal mengalami sindrom kejutan budaya terhadap atmosfera asing itu semakin lama dapat membiasakan diri.
Selepas itu, Driver mengenali beberapa orang tahanan melakukan jenayah membunuh dan rompakan di dalam sel tahanan.Dia mempelajari kehidupan lelaki sebenar dalam penjara termasuk menjalani latihan fizikal bagi memantapkan dirinya selepas keluar dari pusat tahanan tersebut.
Bagaimana pengalaman berada di bawah pengarahan Tillman?
Saya cukup bertuah bekerja dengan Tillman, seluruh tenaga produksi dan material hebat umpama Faster. Menjadi sebahagian daripada individu menjayakan filem ini menjadi pengalaman bernilai kepada saya.
Sebagai aktor, saya begitu mengagumi projek filem menggunakan sistem bunyi canggih dan teknik imej janaan berkomputer. Selebihnya, saya berpuas hati dengan karakter ditawarkan tambahan pula jalan cerita Faster sedikit sebanyak memapar realiti kehidupan manusia di zaman moden ini.
Tidak terkecuali, setiap adegan dalam filem ini memperlihat luahan emosi dalam situasi berbeza sama ada babak pembunuhan, fizikal dan berkomunikasi dengan kanak-kanak. Saya akui selesa dapat bekerja dalam filem terbitan rumah produksi CBS Films dan Tristar Pictures ini.
Bagaimana perasaan menjadi hero yang digelar pembunuh tidak berhati perut dalam Faster?
Kali pertama membaca skrip filem ini, saya tidak menganggap Driver sebagai hero atau pembunuh kejam. Saya sebaliknya membuat kesimpulan bahawa Driver merupakan lelaki tertindas oleh keadaan dan orang lain.
Kalau anda menontonnya kelak, pasti kalian dapat memahami dengan lebih lanjut tentang konflik dan dilema dihadapi Driver. Dia bukan suka-suka ingin menjadi pembunuh.
Hakikatnya, Driver sendiri mengalami kesengsaraan akibat membunuh orang-orang yang pernah mengakibatkan abangnya meninggal dunia.
Driver menjadi manusia sanggup berbuat apa saja demi kepentingan insan-insan disayangi. Selepas berkali-kali membaca skrip, saya dapat merasakan keserasian dengan sebenar diri yang mengutamakan keluarga dalam kehidupan realiti.
Komen anda tentang Billy Bob Thornton sebagai gandingan bersama?
Enggan berselindung, saya terharu apabila diberi peluang berlakon bersama Billy. Begitupun, kami tidak pernah bersua muka atau berbual sepanjang saya melibatkan diri dalam bisnes hiburan.
Saya akui menjadi salah seorang peminat Billy dan sentiasa mengagumi bakat lakonannya baik menerajui karya aksi atau komedi. Penyatuan kami dalam Faster tidak memberi sebarang masalah.
Malah, keserasian antara satu sama lain mudah wujud tanpa perlu mencuri masa panjang ibarat sesetengah pelakon pernah bekerja dengan saya sebelum ini.
Apa ekspektasi anda terhadap Faster?
Sama seperti harapan membintangi filem-filem sebelum ini, saya ingin audiens melihat transisi diri daripada karakter biasa berbentuk komedi dan kekeluargaan kepada pembunuh tidak berhati perut.
Penantian saya selama ini terhadap watak mencabar akhirnya menjadi kenyataan menerusi karya Faster. Tiada lagi diingini, saya mahu masyarakat melihat nilai filem itu sendiri sebelum melakukan sebarang rumusan.
Naskhah aksi menjadi makanan ruji saya. Saya punya fizikal tubuh ahli gusti lalu menjadikan ia sebagai keistimewaan. Ironinya, saya berbadan besar berbanding orang biasa. Justeru, ini kenyataan buat saya sebagai penama Dwayne 'The Rock' Johnson.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: