BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan berita sedih mengenai letusan Gunung Merapi, Indonesia yang mengorbankan banyak jiwa, harta benda dan ternakan malah memberi impak besar terhadap alam sekitar.
Bencana itu pasti menjadi mimpi ngeri kepada penduduk setempat sampai bila-bila. Bencana itu satu pengalaman pahit yang terpaksa ditelan biarpun mereka sudah sebati dengan kehidupan di sekitar gunung tersebut.
Situasi dan perasaan tersebut amat berbeza bagi kami, golongan pencinta alam dan pendaki gunung. Letusan gunung berapi sememangnya dicari dan ditunggu-tunggu. Bukan mahu melakukan ‘kerja gila’ atau ‘mencari nahas’ tapi sekadar ingin meneroka pengalaman baru.
Penulis dan para pendaki lain melakukan perancangan rapi termasuk mencari masa dan tarikh sesuai sebelum melakukan pendakian di kawasan gunung berapi.
Matlamat penulis hanya satu, iaitu mahu menghayati keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan dan melihat sendiri ia menghamburkan lahar panas keluar dari perut bumi. Bagi penulis, letupan dan percikan lahar merah sebenarnya merupakan satu keindahan yang sangat jujur dan asli.
Namun, bukan semua gunung berapi boleh didaki dengan mudah. Para pendaki memerlukan permit khas daripada pihak berkuasa, itu pun selepas kawasan itu disahkan selamat untuk didaki.
Diiringi bantuan seorang pendaki tempatan, Bambang Pamungkas, penulis dan isteri serta seorang lagi rakan memulakan pengembaraan di Gunung Rinjani yang terletak di Lombok.
Berketinggian 3,726 meter (12,224 kaki), ia merupakan gunung berapi tercantik dan kedua tertinggi di kepulauan Indonesia. Pada asalnya, ia merupakan sebuah kawasan pergunungan yang sangat luas tapi berpecah menjadi beberapa bahagian selepas satu letupan kuat pada tahun 1847.
Letupan tersebut telah mewujudkan satu kawah besar di tengah-tengah pusat gunung ini yang kemudian menjadi tasik yang dikenali sebagai Tasik Segara Anak. Dengan ketinggian 2,000 meter (6,600 kaki) dari aras laut, ia merupakan tasik tertinggi di sini.
Letupan besar
Mengikut rekod, beberapa siri letupan besar telah berlaku di antara tahun 1994, 1995 dan 1996 yang kemudian mewujudkan satu anak gunung di tengah tasik dikenali sebagai Gunung Baru atau Anak Rinjani. Letupan terakhir pernah direkodkan adalah pada Oktober 2004.
Sebenarnya gunung berapi itu telah ‘mati’ dan Anak Rinjani itulah yang menjadi buruan pencinta alam dan pendaki gunung untuk melihat ia meletup dan memuntahkan lahar merahnya setiap pagi.
Lahar panas dan batuan yang dihambur keluar dari perut bumi itu menyebabkan tasik yang berkeluasan kira-kira 51 kilometer (km) persegi itu semakin mengecil. Ia merupakan petanda Anak Rinjani semakin membesar dan matang.
Letupannya juga kedengaran semakin kuat dan gemanya pasti memenuhi setiap ruang kawasan lembah pergunungan.
Menurut Bambang, letupan gunung berapi sukar dijangka bergantung kepada keaktifannya.
“Lazimnya, letupan yang kedengaran lebih kuat daripada letupan sebelumnya. Bayangkan, jika gunung ini tidak meletup beberapa hari, pasti letupannya akan lebih kuat,” ujar Bambang serius.
Fenomena unik itu sempat kami saksikan semasa aktiviti mendaki Gunung Rinjani baru-baru ini. Pendakian empat hari tiga malam itu telah memberikan suatu pengalaman yang sangat menakjubkan. Pengalaman kali pertama berdepan dengan gunung berapi nyata sangat mengujakan dan mendebarkan.
Kawasan perkhemahan kami yang hanya beberapa ratus meter dari anak gunung, bergegar kuat mengejutkan semua pendaki yang lena tidur akibat keletihan. Gegaran itu menyebabkan kami semua kelam-kabut bergegas keluar tanpa sempat memakai kasut lantas memandang ke arah gunung tersebut.
Dalam kesejukan dan kegelapan itu, kami melihat batuan merah terhambur keluar dari permukaan anak gunung. Ia seperti melihat percikan bunga api tetapi hakikatnya lebih besar dan kasar. Letupan biasanya berlaku sekitar pukul 2.30 pagi dan berlaku hampir setiap hari.
|
|
Kelu dan kecoh
Melihat situasi itu menyebabkan lidah berasa kelu. Setiap kali berlaku letupan, suasana di kawasan perkhemahan akan bertukar kecoh kerana masing-masing sangat teruja untuk menyaksikannya. Penulis sendiri tidak sempat mengambil gambar kerana semuanya berlaku dengan pantas.
Bagi memulakan pendakian ke gunung itu, pendaki boleh memilih sama ada menggunakan trek Sembalun dan turun melalui trek Senaru atau sebaliknya.
Kami memilih memulakan pendakian menggunakan trek Sembalun kerana ia lebih mudah dan menyajikan pemandangan yang berbeza.
Sebahagian besar trek Sembalun dipenuhi lalang dan spesies pokok pain dan cemara yang tumbuh melata di sekitar kawasan berbukit.
Pendakian sering dilakukan sekitar 9 pagi bermula dari pejabat Taman Negara Rinjani sehingga ke tapak perkhemahan di Palawangan Sembalun. Di situ, pendaki boleh memilih untuk berhenti berkhemah di kawasan perkhemahan di pertengahan trek.
Pendakian sekitar dua hari sudah mencukupi kerana sambil mendaki pendaki boleh dapat menikmati keindahan alam semula jadinya yang cukup mengagumkan.
Trek savana
Laluan yang dikenali sebagai savana itu uniknya hanya hanya ditumbuhi lalang pada permukaan landskap cerun yang luas terbentang. Lalang-lalang yang panjang itu seolah-olah beralun mengikut irama yang didendangkan deruan angin sejuk yang cukup nyaman. Lebih menarik sekiranya saat-saat itu dapat dirakamkan dengan kamera atau video.
Malam di kawasan perkhemahan cukup sejuk hinggakan salakan beberapa ekor anjing yang mengekori kami sejak siang sayup-sayup kedengaran membelah kesunyian malam.
Salakan itu bukan bermakna anjing-anjing tersebut terlihat ‘hantu’ seperti yang sering dimomokkan di dalam filem, tetapi sebenarnya ia sedang menahan kesejukan dan meminta ihsan kami.
Kem Palawangan Sembalun pula terletak di tengah-tengah trek atas banjaran gunung, dengan sebelah kiri dan kanannya terdapat jurang yang sangat dalam. Situasi itu memberi pemandangan yang sangat menarik, apatah lagi disusuli deruan angin yang kuat di sekitar tapak perkhemahan.
Di kem tersebut, pendaki lazimnya memulakan pendakian ke puncak sekitar pukul 2 pagi. Jika cuaca baik, pendaki berpeluang melihat matahari mula membelah langit ketika berada di puncaknya.
Pada awal pendakian, pendaki pasti dikejutkan dengan letupan Anak Rinjani yang bergema. Bagaimanapun dari jarak itu, pendaki tidak berpeluang untuk melihatnya kerana ia terlindung daripada pandangan mata.
Sekiranya bernasib baik dan berada pada kedudukan yang tepat di atas banjaran yang terbuka, pendaki berpeluang melihat Anak Rinjani meletup untuk kali kedua.
Walaupun agak jauh tapi keseluruhan tasik dan gunung itu dapat dilihat dengan jelas walaupun dalam kesamaran cahaya awal pagi. Batu batu panas yang merah menyala terhambur ke udara sebelum jatuh bertaburan.
Pendakian ke puncak tidaklah sukar cuma cuaca dan angin kencang sering menjadi penghalang. Masalah lain yang mungkin dialami ialah mabuk gunung seperti sakit kepala dan kesukaran bernafas.
Treknya agak berpasir dan berwarna hitam dan tiada apa mampu tumbuh di atasnya kecuali pokok elderweiss atau digelarkan orang tempatan sebagai Pokok Kekal Abadi.
|
|
Turun gunung
Selepas puas bergambar di puncak, pendaki turun semula ke Kem Plawangan Sembalun. Sesudah bersarapan dan berkemas, pendaki menyambung perjalanan turun ke Kem Tasik melalui trek yang curam dan berbatu batu. Kawasan tapak perkhemahannya sangat unik kerana mengadap Tasik Segara Anak dan Anak Rinjani.
Seterusnya, pendaki akan terus menyambung perjalanan turun ke Pejabat Taman Negara Senaru. Trek Senaru sebenarnya lebih mencabar dari Trek Sembalun lantaran laluannya berbukit dan dipenuhi curam berbatu serta trek yang lebih panjang. Kawasan hutan di sekitarnya juga adalah berbeza kerana dipenuhi hutan tropika yang hampir sama dengan hutan di Malaysia.
Jadi jika anda memilih mendaki menggunakan laluan itu, anda akan berhadapan dengan trek mendaki yang sangat panjang dan diakhiri dengan bukit berbatu yang sangat curam.
Anggaran jarak 36 km naik dan turun adalah satu perjalanan berbaloi buat pendaki kerana Gunung Rinjani menyajikan pemandangan dan pengalaman yang hebat.
Bulan April hingga November adalah musim mendaki terbaik untuk memulakan pendakian dan terpulang kepada pendaki untuk memilih pakej mendaki selama empat atau lima hari. Suatu yang pasti, ia tetap memberi satu kesimpulan yang sama, iaitu kami tetap mahu kembali ke situ.
Pada yang berminat, bolehlah mendapatkan pakej mendaki di Internet atau hubungi saja Bambang Pamungkas di laman web http://pendakijatim.multiply.com/ atau e-mel ke garempa@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: