Dia cuma mahu menjadi manusia yang telus kerana sentiasa berpegang kepada prinsip, kebenaran biar cuba diselindungi lambat laun akan mampu dihidu juga. Tatkala pekung kenyataan semakin terbuka, Scha gusar tidak mampu menanganinya lantas meletakkannya dalam situasi sulit untuk memperbetulkan semula keadaan.Namun, selepas berdepan satu demi satu episod yang menguji kekuatan dan kesabarannya sepanjang 2010, Scha kembali menilai diri.Keterbukaan kata Scha, ada ketika menjerat diri lalu mengheretnya dalam situasi lemas yang menyukarkan dirinya untuk bernafas selesa.
“Scha perlu bijak mengawal diri, memberi reaksi hanya apabila diminta dan harus berfikir panjang sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Itu yang cuba Scha lakukan selepas berdepan pelbagai episod pahit, tahun lalu,” kata Scha tatkala lembaran kontroversi silam kembali diselak.
Akur semua itu terlalu berat untuk dilaksanakan, apatah lagi pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 28, ini selesa memilih untuk berterus terang. Namun dalam situasi tertentu, Scha menerima hakikat ketika berdiam itu lebih baik daripada bersuara mempertahankan diri kerana interpretasi setiap manusia itu berbeza-beza.
“Industri hiburan itu sendiri bersifat eksentrik, sarat dengan keunikan dan kepelbagaian sikap pemainnya membuatkan tidak semua orang bersedia menangani kebenaran. Belajar daripada pengalaman lalu, Scha mengambil pendekatan untuk berkongsi perkara yang hanya lunak didengar dan diterima oleh majoriti.
“Scha menerima kenyataan Scha tidak boleh cuma memuaskan hati sendiri kerana hati dan pendapat orang lain juga wajar dihormati,” kata Scha yang semakin mengerti permainan industri hiburan.
Kekasih kepada pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari ini berkata, selama ini dia mengambil pendekatan telus supaya peminat memahami segala yang bersarang di sudut hati dan pemikirannya. Scha juga enggan menyesakkan fikirannya dengan isu remeh, apatah lagi menyembunyikan kebenaran kerana kurang gemar dirinya dibaluti lapisan halangan yang cuma membawanya jauh daripada masyarakat.
“Scha percaya jika bersikap ikhlas dan benar, lebih banyak kebaikan akan datang. Orang juga senang dan tidak sesekali menjadikan diri kita sebagai subjek untuk ‘ditembak’. Sekarang Scha memilih untuk bercakap apabila perlu. Sebahagian lagi kisah hidup Scha akan disimpan kemas tanpa perlu dikongsi kerana penilaian setiap manusia terhadap diri Scha tidak sama,” katanya.
Mahu lebih hati-hati bercakap
Scha tidak menafikan dulu dia terlalu terbuka untuk berkongsi apa saja kerana tidak mahu dirinya menjadi sasaran subjek sendaan media dan khalayak. Ternyata prinsip yang diamalkan selama ini cuma membawanya meniti satu demi satu episod yang menguji. Semua itu memaksa Scha supaya kembali berfikir untuk tidak terus dilukai.
“Baru Scha sedar tidak semua orang mempunyai kecenderungan yang sama, jadi kali ini Scha cuba mengikut rentak dan situasi.
Tetapi semua itu tidak bermakna Scha perlu mengubah diri dan menjadi orang lain. Scha tetap Scha yang sama, cuma lebih berhati-hati dalam tindak tanduk serta perkataan yang mungkin selama tidak disenangi ramai,” katanya.
Sengaja perbualan bersama B*POP tidak menyentuh mengenai hubungan cintanya dengan Awal kerana ia sudah terlalu klise untuk diperkatakan. Scha yang pada permulaan bicara agak tenang, perlahan-lahan mengungkap rasa bimbang apabila persoalan mengenai karier lakonannya mula dibincangkan.
Kata pelakon yang baru menyempurnakan penggambaran drama bersiri, Awan Dania 3 di Bali, Indonesia di samping Gambit Saifullah, dia resah apabila acap diserahkan watak sama. Gusar gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah itu berganda apabila menyedari namanya sering menjadi pilihan pengarah untuk membawakan watak tomboy.
“Pengarah nampak Scha semakin selesa dengan watak itu. Disebabkan itu, Scha menolak beberapa tawaran filem yang mahukan Scha beraksi dengan peranan hampir sama. Ia bukan isu baru kerana di Hollywood juga berlaku perkara yang sama. Mungkin kerana keberkesanan lakonan yang diberikan membuatkan pengarah selesa memberikan watak yang sama kepada seseorang pelakon.
Tolak watak stereotaip
“Tetapi sebagai pelakon, Scha juga mahu mempelbagaikan lakonan. Jika terus diberikan peranan gadis berperwatakan tomboy, sampai bila pun Scha tidak akan belajar perkara baru dalam bidang lakonan.
“Untuk itu, pada 2011 ini, Scha menjadi semakin selektif dalam menerima sesuatu tawaran. Bukan menolak tuah atau rezeki, cuma Scha tidak mahu terbawa dengan peranan stereotaip,” katanya.
Bakal muncul dengan tiga filem, Aku Bukan Tomboy, Awan Dania The Movie dan Libas, Scha tidak meletakkan sepenuh kesalahan itu kepada penerbit atau pengarah.
Scha berkata, dia juga harus dipersalahkan kerana tidak merencana karier lakonannya dengan baik pada permulaan bergelar pelakon.
“Scha menyertai dunia lakonan tanpa sebarang latar atau pengetahuan dalam bidang ini. Jadi Scha memilih watak yang dekat dengan diri supaya tidak nampak kekok di depan kamera. Tetapi lama kelamaan, Scha mahukan cabaran baru dan Scha sedar keinginan itu cuma terlaksana sekiranya lebih selektif,” katanya yang masih terikat sebagai Bintang Eksklusif Astro sehingga April ini.
Terkejut jadi finalis dua kategori
Seandainya lembaran 2010 diselak, Scha sebenarnya tidak yakin namanya akan melepasi Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010. Ini kerana kata Scha, sepanjang 2010 dia memilih untuk tidak terlalu menjadi fokus media kerana enggan terus diasak persoalan yang sama.
“Sangka Scha tidak mungkin lagi nama akan tersenarai. Tetapi apabila dimaklumkan nama Scha masih tersenarai, mengejutkan lagi apabila membolosi dua kategori ABPBH 2010, jujurnya ia jauh daripada jangkauan.
“Bayangkan tahun lalu, paparan mengenai diri Scha lebih menjurus kepada isu kontroversi dan itu cukup membimbangkan.
Ternyata peminat kini lebih menilai bakat dan mereka juga sedia memaafkan kesilapan. Semua itu memberi peringatan berguna kepada Scha supaya tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya.
ABPBH 2010 yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 3 April depan menyaksikan Scha bersaing untuk dua kategori - Pelakon Filem Wanita Popular dan Pelakon TV Wanita Popular.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: