Sunday, January 23, 2011

Chong Wei buru gelaran ketujuh


KEHADIRAN Misbun (kiri) dijangka mampu membantu Chong Wei menghadapi Taufik Hidayat pada perlawanan akhir hari ini.


SEPERTI diramal, jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan halangan sukar untuk mara ke pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2011.

Semalam, pemain ranking No. 1 dunia itu mudah menewaskan pemain muda China, Chen Long 21-9, 21-9 pada aksi separuh di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kemenangan itu sekaligus menyaksikan Chong Wei layak beraksi di pentas final dan di jadual berdepan perseorangan Indonesia, Taufik Hidayat hari ini.

Taufik layak ke pentas final selepas menewaskan rakan senegaranya, Simon Santoso 21-15, 21-19.

Pada aksi final hari ini, Chong Wei sudah pastinya ada misi yang tersendiri untuk dilaksanakan.

Sekiranya menang ke atas Taufik, anak jati kelahiran Pulau Pingan itu bukan sahaja berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu malah merekodkan kejuaraan ketujuh secara peribadinya.

"Saya harap saya dapat mempertahankan kejuaraan saya dan melakarkan kejuaran ketujuh dalam kejohanan kali ini," kata Chong Wei yang kini berusia 29 tahun.

Sebagai rekod, Chong Wei menjuarai Terbuka Malaysia pada tahun 2004, 2005, 2006, 2008, 2009 dan 2010.

Tidak keterlaluan sekiranya kita mengatakan peluang Chong Wei untuk merangkul gelaran juara pada kejohanan kali ini adalah sangat cerah.

Ia berdasarkan rekod pertemuannya dengan Taufik yang nyata lebih memihak kepada pemain negara itu.

Dalam 16 pertemuan sebelum ini, Chong Wei mencatatkan kemenangan sebanyak 10 kali.

Bagaimanapun, Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkan mengenai soal tersebut kerana mahu fokus terhadap prestasi dirinya sendiri.

"Saya lebih suka fikirkan mengenai prestasi saya sendiri.

"Apa yang saya harapkan saya mampu tampil dengan prestasi terbaik esok.

"Namun, saya perlu juga berhati-hati kerana Taufik ketika ini dilihat berada pada pretasi terbaiknya juga," jelas Chong Wei.

Sebaik tamat sahaja aksi final hari ini, Chong Wei akan berlepas pula ke Korea Selatan pada sebelah malam bagi menyertai Siri Super Terbuka Korea Selatan 2011 yang akan bermula Selasa ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: