Tuesday, January 11, 2011

Bakti Nestle anak istimewa


KHIDMAT yang diberikan oleh sukarelawan Nestle ROCK akan diteruskan dari semasa ke semasa.


MEMIKUL konsep tanggungjawab sosial, Nestle (Malaysia) Berhad tampil menyerikan Pusat Jagaan Tasputra Perkim menerusi program kesukarelawan Reaching Out to Community & Kids (Nestle ROCK).

Jentera 18 orang yang dikenali ROCKers digerakkan untuk membersihkan ruang utama kanak-kanak dan kawasan persekitarannya.

Usai bersarapan pagi, mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang melaksanakan tugasan yang berbeza.

Kumpulan pertama iaitu pasukan pembersihan bertindak membersihkan kawasan persekitaran yang telah disasarkan manakala pasukan pengasingan dan penyimpanan memilih peralatan dan perabot yang perlu dikekal atau digantikan dengan yang baru.

Pengarah Eksekutif Jabatan Sumber Manusia dan Hubungan Korporat Nestle (Malaysia) Berhad, Zainun Nur Abdul Rauf menerangkan, objektif utama penganjuran Nestle ROCK adalah untuk menggalakkan pekerjanya melaksanakan tanggungjawab sosial kepada komuniti.

“Selain itu, menerusi acara seumpama ini ia dapat meneguhkan ikatan silaturahim antara kakitangan dan masyarakat luar selain memberikan bantuan sedaya mampu kepada insan yang kurang bernasib baik,” ujarnya yang turut sama terlibat dalam program Nestle ROCK.

Dalam pada membersihkan rumah kebajikan tersebut, Nestle juga tidak melepaskan peluang menyumbangkan alatan audiovisual dan bahan bacaan untuk memudahkan pembelajaran kanak-kanak di sana.

Menjawab persoalan bagaimana terbentuknya sukarelawan Nestle ROCK, Zainun Nur memberitahu, keanggotaannya bermula dengan inisiatif penubuhan Syarikat Kesihatan, Pemakanan dan Nutrisi pada tahun 2005 yang berfungsi untuk menggalakkan penglibatan pekerja dalam komuniti setempat.

Program unik Nestle itu telah berjaya melibatkan 6,000 orang kakitangan bekerja 16 jam tambahan setiap tahun untuk menyempurnakan tanggungjawab sosial di 30 buah pusat kebajikan seluruh negara.

Terkini, Nestle membantu golongan kelainan upaya, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas dalam usaha memberikan mereka pendidikan, aktiviti gaya hidup sihat, pembangunan sukan, penjagaan alam sekitar, pembangunan kawasan kampung serta pembasmian kemiskinan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: