Saturday, January 8, 2011

Azam 2011: Sihat mental, fizikal


JANGAN dibiarkan andai batuk berterusan melebihi dua minggu. Dapatkan rawatan dan elak daripada tersebar.


APA azam 2011 anda? Kewangan yang stabil, kerjaya lebih kukuh atau tukar kereta baru? Apa sahaja yang anda idamkan, tolong pastikan yang satu ini tidak disisihkan - kesihatan.

Semua pasti setuju jika dikatakan tidak ada guna kemewahan dan harta benda jika tubuh badan menderita sakit. Kesihatan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Walaupun tubuh badan yang sihat belum tentu menjamin kebahagiaan tetapi tanpa penyakit sekurang-kurangnya kita mampu berusaha mencapai hidup yang lebih selesa.

Merujuk tafsiran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan bermaksud bebas daripada sebarang penyakit dari segi fizikal, mental dan sosial.

Perlu diingat, sejajar dengan kemajuan sesebuah negara, penyakit berkaitan mental dan sosial juga mula menular di samping dalam masa yang sama penyakit melibatkan fizikal belum mampu dibendung sepenuhnya.

Menurut perangkaan WHO, pada 2009, sebanyak 450 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar tetapi kurang separuh daripada mereka menerima rawatan yang diperlukan.

Pertubuhan itu turut menganggarkan menjelang 2020, penyakit mental kemungkinan mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Menyingkap diari kesihatan sepanjang tahun lalu, penyakit berpunca daripada gaya hidup masih menjadi antara beban yang menghantui kebanyakan rakyat Malaysia.

Diabetes, tekanan darah tinggi, strok, paras kolestrol tinggi, obesiti, kegagalan buah pinggang, jantung, kanser dan sebagainya adalah penyakit yang sangat berkait rapat dengan gaya hidup.

Mungkin tahun baru ini waktu yang sesuai untuk mengubah segalanya. Jalani gaya hidup yang lebih sihat, jaga pemakanan, jangan lupa bersenam, lakukan pemeriksaan saringan berskala, jauhi rokok dan arak - itu antara kunci kesihatan secara am.

Kesedaran awal dalam menangani setiap penyakit harus ada dalam setiap diri individu. Sikap menangguhkan rawatan dan menunggu sehingga penyakit menunjukkan tanda-tanda serius harus dibuang.

“Kurang manis ya!”

Jadikan 2011 sebagai permulaan untuk peristiwa yang manis dan bukan dihinggapi penyakit yang berpunca daripada makanan manis.

Berdasarkan Kajian Pengambilan Makanan di Kalangan Orang Dewasa Malaysia 2002/2003, pengambilan gula yang ditambah dalam minuman ialah sebanyak tujuh sudu teh sehari (51g) iaitu empat sudu teh (21g) gula pasir dan tiga sudu teh (30g) susu pekat manis.

Berdasarkan jumlah penduduk seramai 28.31 juta pada tahun 2009 dan pengedaran gula domestik sebanyak 806,381.88 metrik tan, pengambilan gula per kapita sehari pada tahun 2009 adalah 78 gram atau 16 sudu teh sehari atau 16 peratus daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa.

Jika dicampurkan gula domestik dan gula industri iaitu 1,281,183.04 metrik tan pada tahun 2009, pengambilan gula per kapita sehari adalah 124 gram atau 25 sudu teh sehari atau 25 peratus daripada keperluan tenaga sehari bagi orang dewasa.

Pengambilan gula yang berlebihan boleh mengakibatkan pengambilan tenaga yang berlebihan. Ini boleh mengundang peningkatan berat badan dan menyebabkan obesiti.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) III, 2006 mendapati 29.1 peratus orang dewasa di Malaysia berlebihan berat badan 14 peratus pula obes. Ini telah menunjukkan peningkatan berbanding NHMS II, 1996 iaitu masing-masing 16 peratus (berlebihan berat badan) dan 4 peratus (obes).

Prevalens pesakit diabetes dalam kalangan penduduk yang berumur lebih daripada 30 tahun juga telah meningkat daripada 6.3 peratus pada tahun 1996 (NHMS II) kepada 14.9 peratus pada tahun 2006 (NHMS III).

Penyakit kebal

Tahun 2010 tetap menyaksikan penyakit-penyakit kebal seperti demam denggi terus meragut nyawa dan seakan tiada kesudahannya.

Biar pun pelbagai langkah telah dilakukan, tidak kurang juga dengan program kesedaran namun penyelesaiannya masih samar. Kematian demi kematian terus dicatatkan. Malah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah mengaku ‘kalah’ berperang dengan penyakit yang berpunca daripada haiwan kerdil itu.

Menurut kenyataan akhbar terbaru yang dikeluarkan pihak itu, secara keseluruhannya, jumlah kes terkumpul demam denggi dari bulan Januari hingga 4 Disember lalu adalah sebanyak 44,143, iaitu peningkatan sebanyak 16 peratus atau 6,081 kes berbanding dengan 38,062 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun 2009.

Bagaimanapun, angkanya menunjukkan sedikit penurunan sejak beberapa minggu kebelakangan ini iaitu bagi tempoh 28 November hingga 4 Disember lalu, sejumlah 600 kes demam denggi dengan dua kematian telah dilaporkan. Ini menunjukkan penurunan sebanyak 29 kes atau lima peratus berbanding 629 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes mingguan pada tahun lalu juga menurun sebanyak 184 kes berbanding jumlah kes yang dilaporkan pada minggu sama tahun 2009 iaitu 784 kes. Walaubagaimanapun terdapat enam buah negeri menunjukkan peningkatan kes pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya iaitu Kelantan (meningkat 16 kes), Sarawak (sembilan kes), Kedah dan Selangor masing-masing (lapan kes), Perak (tiga kes) manakala Terengganu meningkat sebanyak satu kes.

Kes kematian akibat denggi juga meningkat sebanyak 65 peratus atau 51 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 130 kematian berbanding 79 dalam tempoh yang sama pada tahun 2009.

Satu lagi penyakit bawaan nyamuk iaitu Chikungunya juga masih mencatatkan kes namun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, sebanyak 803 kes dicatatkan, menurun sebanyak 84 peratus atau 4,241 kes berbanding dengan 5,044 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

Bagi tempoh 28 November hingga 4 Disember lalu sahaja, terdapat enam kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak empat kes berbanding dua kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dalam berbicara mengenai penyakit yang ‘berkembang’ dalam persekitaran moden, penyakit kuno seperti tibi pula jangan dilupakan. Penyakit yang mula dikesan sejak zaman Firaun itu seakan kebal merentasi zaman.

Merujuk perangkaan, angka jangkitan terus meningkat tahun 2009 dengan 17,496 kes baru direkodkan. Bagi tahun 2008 pula, sebanyak 17,506 kes baru didaftarkan. Daripada angka ini, 10,441 disahkan dijangkiti kuman tibi dengan 2207 kes melibatkan pendatang asing.

Pada 2007, kes tibi yang dicatatkan sebanyak 16,917 iaitu pecahan sebanyak 62.3 kes bagi 100,000 penduduk.

Secara keseluruhan kes tibi di Malaysia menunjukkan sedikit kemajuan daripada 25 tahun lepas iaitu 68 kes bagi setiap 100,000 penduduk bagi tahun 1985.

Pengamal perubatan tidak menolak dakwaan bahawa penyebaran kuman tibi di negara ini turut disumbang oleh kebanjiran pendatang asing ke negara ini.

Saringan yang tidak ketat, apatah lagi melibatkan pendatang asing tanpa izin (Pati) menyebabkan kuman tibi merebak secara senyap tanpa disedar.

menasihatkan semua pihak agar mengambil langkah untuk mengelak penyakit ini dengan melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kerap.

Selain itu, penyakit bawaan bakteria seperti leptospirosis terus menjadi antara penyebab kematian.

Beberapa kes melibatkan virus leptospira yang dibawa oleh kencing tikus itu dikesan di beberapa negeri, antaranya Kedah, Perlis, Perak dan Pahang.

Walaupun angkanya tidak tinggi, namun kesedaran tentang bahaya penyakit itu harus ada dalam setiap diri individu.

Penyakit pandemik

Pernah mencetuskan kerisauan seluruh negara, Influenza A (H1N1) sehingga kini masih memburu mangsanya walaupun tidak serius seperti dulu.

Kempen kesedaran yang dijalankan nampaknya menunjukkan hasilnya, biar pun masih belum berjaya sepenuhnya.

Setiap individu harus mengetahui perbezaan antara selesema biasa atau H1N1.

Langkah-langkah awal menangani penularan wabak dilihat faktor paling utama menghalang ia daripada terus berkembang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: