Wednesday, January 12, 2011

Asyraf beralih bidang penulisan skrip



Juara rancangan Imam Muda, Asyraf mengakui dia kini mula berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip bagi mengembangkan lagi kerjayanya dalam bidang penyiaran.

Menurut Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, dia tidak hanya mahu mengembangkan dakwah dan memberi pengajaran setakat di hadapan kamera sahaja, tetapi dia juga mahu mengembangkan dakwah melalui bidang penulisan skrip untuk mendidik masyarakat.

“Saya sedang belajar dan berjinak-jinak dalam bidang penulisan skrip berunsur keagamaan dan cerita-cerita nasihat yang boleh memberi keinsafan kepada penonton. Bagi saya dengan cara ini secara tidak langsung dapat memberi sumbangan kecil kepada masyarakat,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Asyraf berkata, dia merancang untuk membuat iklan pendek yang berkaitan agama dan diselitkan dengan hadis-hadis serta potongan ayat-ayat al-Quran dan disesuaikan dengan jalan penceritaan dunia moden.

“Buat masa ini segalanya masih dalam proses perbincangan, tetapi jika berjalan lancar, iklan-iklan pendek ini akan dimuatkan dalam laman Youtube atau laman-laman sesawang lain sebagai permulaan,” katanya yang kini sedang menghabiskan pengajian peringkat Sarjana dalam Syariah di Universiti Malaya.

Asyraf juga berhasrat menggunakan pakej biasiswa yang dimenanginya ke Universiti Antarabangsa Al Madinah untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula.

Sementara itu, Asyraf yang kini mengendalikan program Soal Asyraf mengakui rezekinya semakin bertambah sejak menjuarai program tersebut. Malah tanggungjawab sebagai imam juga dapat diperkembangkan dengan lebih meluas.

“Alhamdulillah rezeki semakin banyak dan lepas dikenali ini, saya dapat jemputan daripada banyak institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memberi ceramah.

“Walaupun saya sudah melepaskan jawatan sebagai imam di Masjid Desa Petaling, Kuala Lumpur, tetapi saya juga dapat mengembangkan dakwah ke tempat lain dan tidak statik di satu kawasan sahaja,” katanya.

Mengulas kemunculan program Imam Muda musim kedua, Asyraf berkata, tiada langsung perasaan cemburu terhadap kehadiran peserta untuk musim akan datang ini.

Menurutnya, kita memerlukan lebih ramai lagi tenaga imam muda untuk membantu memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

“Saya gembira dan menantikan kehadiran imam-imam muda baru daripada keluaran akan datang. Kami di sini memerlukan lebih ramai lagi imam muda yang dapat membantu melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepada kami sebagai pendakwah.

“Tiada apa yang perlu dicemburukan kerana segala punca rezeki adalah daripada Allah. Saya juga mengajak agar mereka yang hebat-hebat di luar sana untuk tampil menyertai program ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: