DI SAAT seluruh warga dunia asyik ‘melayan’ Facebook, laman web sosial paling popular, seluruh masyarakat dunia digemparkan dengan laporan bahawa laman itu bakal ditutup tidak lama lagi.
Mendengar khabar belum pasti itu, setiap yang mendaftar sebagai pengguna Facebook tertanya-tanya apakah laporan itu benar atau sekadar khabar angin semata-mata.
Tidak lama selepas khabar angin ‘penamatan riwayat Facebook’ dan tiada kenyataan rasmi yang mengesahkan tentang penutupan laman web itu, maka ramailah peminat setianya yang tersenyum dan menarik nafas lega.
Apa yang pasti, usikan nakal untuk seluruh pengguna Facebook di dunia itu membuatkan manusia terlopong seketika, membayangkan apa akan berlaku terhadap dunia masing-masing tanpa laman web sosial itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CASO Sdn Bhd, Ezran Baharum berkata, ia bukan satu perkara mustahil apabila terdapat desas-desus tentang penutupan operasi Facebook yang dikatakan akan bermula Mac ini.
Mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang teknologi maklumat (IT), pemuda 27 tahun ini berkata, keputusan tersebut mungkin dibuat atas beberapa faktor termasuklah ketagihan melampau masyarakat dunia terhadap laman itu.
“Saya tak terkejut mendapat perkhabaran ini. Kalau betul ia akan ditutup, dapat kita katakan mungkin kerana pengasasnya telah mencapai satu peringkat kejayaan yang dia sendiri tidak jangkakan sebelum ini,” katanya kepada Mingguan mStar baru-baru ini.
Menurut Ezran yang banyak terlibat dengan bidang pembangunan ICT dan multimedia, ramalan tersebut dibuat setelah mengkaji latar belakang Mark Zuckerberg dan bagaimana anak muda itu membangunkan laman web sosial itu tidak lama dulu.
Zuckerberg yang pernah menuntut di Universiti Harvard, Amerika Syarikat dikatakan tidak menyimpan hasrat untuk mengaut keuntungan seperti yang diperolehnya sekarang apabila beliau membina Facebook, sebaliknya hanya bermatlamat mewujudkan sebuah rangkaian sosial di kalangan pelajar universiti.
Tuah Zuckerberg, tanpa disangka-sangka Facebook terus mendapat perhatian ramai dan berjaya meluaskan rangkaiannya ke seluruh pelosok dunia, termasuklah Malaysia.
Dalam pada itu, Ezran tidak menolak kemungkinan seandainya benar Facebook ditutup, ia juga ada kaitan dengan sikap masyarakat dunia yang terlalu obses terhadap laman tersebut.
“Mungkin beliau mahu bawa orang seperti itu keluar daripada ketagihan. Dalam masa yang sama mungkin beliau juga ingin keluar dari tekanan yang terpaksa dihadapinya.
“Sememangnya tidak mudah untuk menguruskan sebuah laman web yang beroperasi tanpa henti di seluruh dunia,” jelasnya yang sedang membangunkan laman web sosial, 1malaysia.com.
Patah tumbuh, hilang berganti
Sekiranya Facebook dihapuskan, penggemar-penggemar laman web sosial tidak perlu bimbang atau kecewa.
Ini kerana, banyak individu dan syarikat di seluruh dunia sering berlumba-lumba membangunkan laman web yang sama atau yang lebih baik berbanding apa yang ditawarkan sebelum ini.
Malah terdapat banyak laman alternatif seperti Twitter, MySpace dan Friendster yang boleh dilayari.
“Memang akan ada yang kecewa. Dulu masa Michael Jackson tiada pun ramai yang sedih, tapi sekejap sahaja, bila ada penyanyi baru yang berbakat, mereka terima juga, ini semua adatlah.
“Dalam hal ini, kalau pengguna bertemu dengan laman web baru seumpamanya, mereka akan lupa yang lama dan beri fokus kepada yang baru,” ujarnya.
Mengulas kesan terhadap ekonomi negara seandainya Facebook benar-benar ditamatkan operasi, graduan Universiti Lim Kok Wing ini berkata, ia mungkin berlaku tetapi kesan tersebut terlalu kecil.
Pun begitu, Ezran bersetuju ketiadaan Facebook bakal memberi impak negatif terhadap syarikat dan individu yang sebelum ini menjana pendapatan sepenuhnya dengan laman itu.
“Mereka yang bergantung seratus-peratus dengan Facebook untuk bisnes mungkin terpaksa mencari alternatif lain bagi menarik pelanggan.
“Begitu juga dengan artis yang mana mereka perlu beralih ke laman lain untuk memberitahu perkembangan terkini kepada peminatnya,” katanya.
Ezran juga tidak menafikan kebanyakan laman web sosial yang dibina pada masa kini mampu membuatkan seseorang tidak dapat berenggang dengan komputer masing-masing.
Justeru, sama ada laman itu akan ditutup atau sebaliknya, beliau berharap agar setiap pengguna dapat menyeimbangkan penggunaan supaya tidak memberi kesan terhadap pekerjaan, pelajaran dan kehidupan seharian.
1malaysia.com setanding Facebook?
Percaya atau tidak, CASO Sdn Bhd menjadi salah satu syarikat tempatan yang bermatlamat bersaing dalam membangunkan laman web sosial.
Ketua Pegawai Teknikal syarikat ini, Tan Yew Hong berkata mulai sekarang orang ramai dapat menikmati tawaran setanding laman sosial lain dengan mendaftar di laman web 1malaysia.com.
Laman sosial yang mula dibuka kepada umum pada 12 Januari lalu merupakan laman web sosial yang dibangunkan oleh tujuh anak muda berusia 26-32 tahun, termasuklah Yew Hong dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ezran Baharum.
“Kami cuba bina laman ini sejak 2008 dan ia tiada kaitan dengan laporan kononnya Facebook akan ditutup. Kami tak tahu menahu pun tentang itu. Semuanya berlaku secara kebetulan,” katanya.
Menurut Yew Hong, sepanjang membangunkan 1malaysia.com, pasukannya banyak memberi tumpuan kepada kandungan dan fungsi berbeza dengan laman sosial sedia ada.
Mengetengahkan konsep feel like home (seperti di kediaman sendiri), Yew Hong yakin laman web ciptaan anak Malaysia ini mampu menarik perhatian masyarakat tempatan dan dunia memandangkan keunikan aplikasi serta ciri-ciri istimewa yang ditonjolkan.
“Kami ambil masa yang agak lama untuk siapkan laman web sosial ini kerana memikirkan ciri-ciri yang boleh membuatkan orang ramai mendaftar.
“Hasilnya, laman ini wujud dengan ciri interaktif selain menampilkan persembahan lebih mantap dan menarik,” jelasnya.
Walaupun 1malaysia.com yang menggunakan versi Beta ini masih lagi di peringkat percubaan, namun pasukan ini sentiasa mengembangkan aplikasi yang ada ke tahap yang lebih baik.
Salah satu keistimewaan yang akan dinikmati pengguna adalah dari segi kesempurnaan dan kepantasan ketika melayari laman web ini.
“Setakat ini kita ada lapan pelayan yang bertapak di Malaysia. Kami yakin ia mampu memberi pengalaman baru kepada mereka yang gemar melayari laman web seperti ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: