Saturday, January 8, 2011

13 tahun hidup dengan jantung transplan

Doktor memberitahu tempoh hidupnya hanya bertahan enam bulan setelah dia disahkan menderita serangan jantung. Albert Gunaratnam memandang kedua anak remajanya dan berjanji untuk melihat mereka melalui dewasa.

Tiba-tiba dia mencengkam dadanya kerana sakit itu tidak dapat bertahan lagi.

Ketika itu, isteri Albert, Mary Tresa diberitahu oleh doktor bahawa dia tidak mempunyai peluang untuk hidup.

Tresa tidak dapat mengawal kesedihan dan dia menuju ke wad untuk menemani Albert.

"Tuhan, aku mempunyai komitmen yang banyak dan mahu melihat anak-anakku membesar," ujar Albert sambil menitiskan air mata di hadapan isterinya.

Bukan sahaja tidak dapat memberus gigi sendiri, Albert juga sukar berjalan dan berdiri.

"Kadang-kadang saya sukar bernafas kerana jantung saya gagal berfungsi. Saya memerlukan jantung baru dengan segera kerana saya hanya akan hidup enam bulan lagi ," ujarnya.

Kehidupan baru

Di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini, Albert memandang wajah isterinya sambil berkata, "Saya tidak akan berjaya mengharungi penderitaan ini tanpa sokongan anda dan anak-anak."

Albert merupakan penerima organ jantung yang paling lama dan masih hidup ketika ini.

Mengimbau peristiwa 13 tahun lalu, keadaan seolah-olah pulih apabila keluarga Albert diberitahu bahawa ada insan yang sudi menderma jantung untuknya.

Pada 10 April 1998, Albert menerima jantung baru yang memberikan kehidupan kedua buat Albert dan keluarga.

Albert bukanlah seorang perokok tegar namun desakan dan tekanan kerja banyak mempengaruhi kesihatannya di awal usia 50 tahun.

Kebetulan pada tahun 1989, dia disahkan menghidap diabetes. Selama tujuh tahun sebelum mendapat sakit jantung, dia bergantung pada ubat diabetes. Namun, penyakit ini menyebabkan jantungnya rosak.

"Jika saya tidak mendapat penderma organ ketika itu, mungkin saya sudah tiada lagi didunia ini. 13 tahun telah berlalu, ia seolah-olah memberi saya kehidupan baru. Masalah sekarang ialah mencari penderma organ. Sebab itulah saya merayu masyarakat di luar sana agar sedar tentang isu ini dan mendaftar sebagai penderma organ," katanya yang mengalami serangan jantung pertama pada tahun 1996.

Jika diizinkan, Albert sendiri ingin menderma organ-organnya tetapi atas nasihat doktor, impiannya ini mungkin tidak tercapai.

Pengambilan ubat-ubatan selama hampir 20 tahun memberi kesan terhadap organ-organnya.

Namun, Albert tetap gembira kerana isteri dan anak-anaknya telah mendaftar sebagai penderma organ sebagai sokongan kepada kempen ini.

Walaupun sudah mendapat jantung baru, Albert masih menjaga pemakanan, bersenam dan memakan ubat.

"Sehari saya akan memakan banyak jenis ubat termasuk diabetes, kolestrol dan darah tinggi. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan menyimpan dalam sebuah kotak ubat dan menuliskan kategori ubat yang perlu dimakan mengikut masa. Saya fikir, orang ramai perlu mengikut nasihat doktor supaya mendapat kualiti kehidupan yang lebih baik," ujarnya mengakhiri perbualan selepas ditemui pada program Bicara Hati di IJN, Kuala Lumpur baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: