![]() |
| Selamanya juga Volvo dikenali di seluruh dunia sebagai kenderaan yang dibina dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan |
MUNGKIN ada yang akan bertanya, rupa sama, jadi apa bezanya Volvo S40 ini?'. Mungkin benar persepsi sedemikian kerana sememangnya tiada perubahan drastik dilakukan pada badan kenderaan buatan Sweden ini.
Dari luaran, apa yang nyata ialah Volvo S40 dipasang dengan aksesori iaitu spoiler di belakang dan body kit yang menyerlahkan gaya sport pada kereta ini. Namun, penampilan Volvo S40 ini adalah seiring dengan perubahan industri automotif dunia yang mencipta teknologi enjin yang jimat bahan api.
Volvo S40 2.0 ini dipasang dengan transmisi Powershift yang inovatif bagi memberikan pemanduan yang lebih lancar dan licin, yang diterjemahkan sebagai memiliki kecekapan bahan api yang lebih baik berbanding versi 2.4 liter.
Menurut Volvo Malaysia, kotak gear automatik powershift klac-berganda enam kelajuan ini mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 11 peratus berbanding enjin 2.4 liter.
Selain itu, ciri-ciri baru yang dipasang pada Volvo S40 ini ialah Blind Spot Information System (BLIS) yang pertama kali diperkenalkan pada model kenderaan utiliti sports barunya, XC60. BLIS menggunakan kamera yang terletak pada cermin sisi pintu yang akan mengesan kenderaan yang berada di kedudukan tidak kelihatan pada pemandu. Apabila ada kereta atau motosikal memotong (sama ada dari kiri atau kanan) lampu pada pintu akan menyala, sekali gus memberitahu pemandu mengenai kewujudan kereta yang bergerak itu dan mengelak daripada berlanggar.
Satu lagi ialah Kawalan Cengkaman Kestabilan Dinamik (DSTC) yang dipasang sebagai ciri standard dalam kenderaan. DSTC mengawal dan membantu menstabilkan kenderaan jika ia mendapati wujud kecenderungan untuk terbabas.
Ciri baru lain pada Volvo S40 ini ialah dua lampu xenon yang memberikan pencahayaan yang lebih terang kepada pemandu sama ada pada waktu malam atau gelap. Volvo S40 ini juga menggunakan sistem tanpa kunci iaitu pintu kereta boleh dibuka dan dikunci tanpa perlu menggunakan kunci sebenar. Enjin pula boleh dinyalakan dengan hanya memutarkan tombol di sebelah radio.
Disebalik dimensi kenderaan ini yang bersifat sebuah kereta kompak, Volvo S40 2.0 Powershift ini masih mampu menawarkan ruang dalaman yang luas dan fleksibel. Setiap kerusi boleh dilipat rata ke depan, sekali gus memberi lantai luas untuk mengangkut barang besar, misalnya. Ruang dalaman ini diilhamkan dari rekaan produk Scandinavia yang menekankan kepada permukaan tidak berlekuk, bahan-bahan sebenar dan berfungsi baik. Kereta ini juga memaparkan konsol tengah yang menyediakan banyak ruang meletak barang (telefon, contohnya).
Sistem pendingin hawa pada Volvo S40 juga bukan sembarangan. Ia menggunakan teknologi Sistem Kualiti Udara Dalaman (IAQS) yang mengurangkan jumlah gas, puing-puing dan bau tertentu yang tidak menyenangkan dalam udara daripada memasuki kabin. Selain itu, semua tekstil dan kulit yang digunakan adalah bermutu dan dipersijilkan dibawah ÖKO-TEX 100 iaitu piawaian antarabangsa yang memastikan bahawa fabrik telah diuji sepenuhnya bagi memastikan tiada bahan menyerap alergi atau pelepasan bahan toksik.
Selamanya juga Volvo dikenali di seluruh dunia sebagai kenderaan yang dibina dengan keutamaan diberikan kepada aspek keselamatan. Matlamat Volvo ialah menjelang tahun 2020, tiada sesiapa akan terbunuh atau cedera dalam Volvo.
Selain sistem BLIS, DSTC dan lampu xenon yang disebut di atas, Volvo juga menyediakan elemen keselamatan perlindungan menerusi sistem luaran yang berperanan menyerap dan mengedarkan tekanan kuasa semasa pelanggaran supaya kawasan penumpang kekal dan tidak musnah seberapa yang boleh. Badan kenderaan ini dibina dalam bentuk kurungan besi menggunakan pelbagai gred besi, di mana semua komponen berinteraksi antara satu sama lain bagi memastikan perubahan bentuk (semasa pelanggaran) yang terkawal.
Volvo S40 turut dipasang dengan segala teknologi keselamatan yang dibangunkan sendiri oleh Volvo seperti WHIPS (Whiplash Protection System), SIPS (Side Impact Protection System) dan IC (Inflatable Curtain).
Oleh kerana enjin 2.0 liter ini difokuskan kepada usaha mengurangkan penggunaan bahan api, ia bagaikan kurang bertenaga, terutama kepada yang tidak gemar memandu perlahan. Enjinnya menawarkan kuasa maksimum 145 kuasa kuda pada 6000 revolusi per minit (rpm) manakala kuasa kilas ialah 185 Newton meter pada 4500 rpm. Jika diteliti pada angka berkenaan, ia merupakan pesaing kepada Honda Accord dan Toyota Camry. Dan sememangnya itulah strategi pemasaran Volvo. Anda jemu sudah memandu kereta Jepun, cubalah Volvo.
Volvo S40 2.0 Powershift empat silinder ini turut didatangkan dengan warna baru iaitu brilliant blue dan dijual pada harga RM169,950 (tanpa insurans)
Pakej aksesori bagi Volvo S40 merangkumi spoiler dan tailgate bernilai RM1,713; body kit (RM6,259); sistem navigasi (RM2,832), pedal sport (RM693) dan pemegang beg (RM143).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: