Saturday, September 25, 2010

Stor TMaG terbaru


AARIC Wong Hon Fui (kiri) dan Chia Hann Lii bersama Naib Presiden Eksekutif TaylorMade Golf, David Abeles.


DI KALANGAN kaki golf, TaylorMade antara jenama yang menjadi kegilaan kerana kualiti dan prestasinya.

Ketika ini permintaan untuk produk dari jenama itu di seluruh dunia telah meningkat dan telah menjadi jenama golf nombor satu dunia.

Begitu juga di Malaysia. TaylorMade cukup sinonim dengan produk dan peralatan golf.

Dari driver kepada iron, fairway woods, wedge, putter hingga kepada bola, ramai yang memilih TaylorMade.

Selari dengan permintaan yang kian bertambah itu dan demi memenuhi keperluan pelanggannya, TaylorMade-adidas Golf Malaysia (TMaG) melangkah setapak lagi ke hadapan dengan membuka francais stor di Wisma MPL, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Pembukaan stor dengan kerjasama dengan syarikat All In Golf Sdn. Bhd. membabitkan ruang seluas kira-kira 300 meter persegi yang menampilkan barisan barangan dan peralatan TaylorMade dan adidas terkini.

Daripada peralatan kepada pakaian, aksesori dan kasut boleh didapati di premis ini.

"TaylorMade-adidas Golf mengembangkan perniagaannya melalui ruang niaga francais ini didorong oleh prestasi perniagaan yang positif dalam tempoh 24 bulan lalu.

"Mengambil kira persekitaran perniagaan yang mencabar sejak dua tahun lalu, kejayaan yang ditunjukkan oleh stor TMaG sebelum ini mengagumkan.

"Kami gembira kerana stor-stor ini telah menyumbang secara positif kepada perniagaan kami secara keseluruhan," kata Pengurus Negara TaylorMade-adidas Golf Malaysia, Heng Lye Guan.

Katanya, pembukaan stor baru di Kuala Lumpur itu merupakan langkah untuk menyediakan khidmat lebih baik kepada penyokong jenama itu dan pemain golf secara keseluruhan.

Premis perniagaan yang baru dibuka di Wisma MPL itu merupakan francais stor TaylorMade-adidas Golf yang ketiga di negara ini.

Ia bukan sekadar menawarkan barangan, peralatan dan aksesori tetapi juga kemudahan tempahan set atau fitting menjelang tahun depan.

Dengan adanya kemudahan itu pemain golf boleh menempah set golf TaylorMade mengikut keperluan permainan mereka.

"Sebagai sebuah stor konsep penuh, pemain golf diberi jaminan untuk mendapatkan produk golf TaylorMade dan adidas bukan sahaja menyeluruh tetapi juga yang terbaru," kata rakan kongsi All In Golf (M) Sdn. Bhd., Aaric Wong Hon Fui.

Rakan kongsinya, Chia Hann Lii menambah apabila memilih untuk bekerjasama dengan TaylorMade, mereka mensasarkan kepada jenama yang mampu menembusi pasaran secara menyeluruh.

"Kami datang kepada TaylorMade-adidas Golf kerana ia merupakan jenama yang terkenal di seluruh dunia.

"Mereka telah berada dalam industri ini selama 32 tahun dan kami cukup kagum siri adidas golf.

"Kami difahamkan mereka telah menghasilkan tanda aras baru dalam perniagaan golf sejak beberapa tahun lalu dan kami gembira dapat menyertainya," kata Hann Lii.

Walaupun ia merupakan pendatang baru dalam perniagaan golf, All In Golf yang merupakan usaha sama antara Hon Fui dan Hann Lii sebenarnya telah mempunyai empat tahun pengalaman dan perniagaan korporat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: