Saturday, September 25, 2010

Rawatan terbaik di Ingress Auto


Siva Kumar Krishnan (kanan) menunjukkan pembaikan semula BMWX6 yang dilakukan dengan kemas.


KEUNGGULAN yang dimiliki oleh jentera BMW terhasil daripada gabungan kejuruteraan dan nilai prestij yang menjanjikan pengalaman memandu penuh kepuasan dan gaya.

Keistimewaan kenderaan Jerman itu bukan hanya pada prestasi bahkan pada setiap inci badan yang bersalut komponen terbaik. Jaminan kepuasan pemanduan jentera sebenar itu adalah penghasilan yang diperhalusi dari 'jantung hingga ke kulit'.

Namun itu tidak beerti ia terkecuali daripada kemalangan yang boleh mencacatkan prestijnya. Justeru, BMW yang dihasilkan dengan ketelitian dan ketepatan memerlukan pembaikan yang setaraf apabila terbabit dalam kemalangan.

Di negara ini hanya bengkel yang dilantik oleh Auto Bavaria Malaysia sahaja wakil sah untuk kerja pembaikan dan cat (B&P). Satu daripadanya adalah bengkel Ingress Auto yang memulakan operasi sejak April lalu.

Kemudahan seluas 24,000 kaki persegi yang terletak di No. 2779 Jalan Damansara Sungai Penchala, Kuala Lumpur, Ingress Auto kini menawarkan perkhidmatan B&P kepada pemilik BMW.

Siva Kumar Krishnan selaku Ketua Unit Body & Paint Ingress Auto berkata, bengkel yang melepasi piawaian Auto Bavaria itu dibangunkan dengan kos RM5 juta yang dilengkapi kemudahan dan peralatan paling canggih.

Tempoh menunggu paling singkat

Walaupun baru memulakan operasi, pengalaman berpuluh tahun daripada 20 orang tenaga kerja memberi jaminan pembaikan dan gantian bahagian kenderaan dilakukan lebih cepat.

Melalui kecekapan pengurusan dokumen, Ingress memberi jaminan masa menunggu yang disingkatkan separuh daripada tempoh biasa. Secara purata, syarikat itu mampu menyiapkan kira-kira 70 buah kenderaan setiap bulan.

"Kita memberi anggaran masa menunggu paling singkat dan akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan penyerahan dilakukan dalam tempoh yang dijanjikan.

"Untuk kerja-kerja mengecat semula bumper yang rosak akibat kemalangan kecil biasanya mengambil masa maksimum tiga hari sahaja," ujarnya.

Di Ingress Auto, kualiti pembaikan kenderaan BMW dilakukan dengan peralatan khas yang diluluskan melalui piawaian antarabangsa dan semestinya menggunakan alat-alat ganti tulen.

Antara kelengkapan termoden di bengkel itu adalah celtte bench yang digunakan untuk membetulkan semula badan kenderaan yang terjejas akibat kemalangan.

Selain itu, bengkel juga dilengkapi mesin pemeterian untuk kerja pembaikan chasis, bahagian aluminium dan penyambungan bahagian dalam.

Berbekalkan kecanggihan teknologi dan kepakaran pekerja, ketepatan badan dan rangka BMW dikatakan dapat dikembalikan 100 kepada keadaan asal.

Ujarnya, selain menawarkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi Ingress Auto juga berusaha untuk mengurangkan tekanan dan beban akibat kemalangan yang ditanggung pemilik BMW dengan mempermudahkan urusan.

"Khidmat kita termasuk penjelasan mengenai tuntutan dan polisi insurans yang kadang-kala tidak difahami dengan baik oleh pelanggan,"jelasnya.

Menurutnya, selepas menghubungi pusat khidmat pelanggan (BMW Call Voice) perbincangan akan disusuli dengan persetujuan harga dengan pelanggan yang dibuat berdasarkan anggaran Pusat Kajian Motor (MRC).

Sebaik sahaja dipersetujui, proses pemeriksaan, penanggalan bahagian, membaiki badan kenderaan, mengecat, mengilat dan memeriksa terus berjalan. Selepas pemeriksaan akhir, pihaknya akan menunggu tindakbalas pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: