SETIAP orang inginkan sebuah kehidupan yang baik dan membahagiakan. Mampu kah mereka memiliki apa yang di hajati?
Setiap kehidupan ada matlamatnya, jika berusaha mencari kejayaan pasti dapat, termasuk juga soal hati dan perasaan.
Luahan perasaan Shira dari utara tanah air mungkin boleh dikongsi bersama pembaca. Yang baik jadikan teladan yang buruk jadikan sempadan.
Inilah kisah Shira.
"Saya masih bujang berumur 25 tahun. Jika di usia ini ramai kenalan sudah mempunyai kehidupan sendiri baik lelaki mahupun wanita saya masih keseorangan mencari hala tuju hidup.
"Nasib selalu tidak menyebelahi saya kerana setiap kali berkawan dengan lelaki saya akan menemui kegagalan. Kali terakhir tiga tahun lalu.
"Sejak itu pintu hati saya telah tertutup untuk mana-mana lelaki. Namun pertemuan dengan seorang lelaki telah mengubah bencinya hati saya kepada lelaki.
"Kejadian ini berlaku sejak tiga bulan kebelakangan ini. Saya mula sayang dan jatuh hati kepadanya tanpa pengetahuan dia.
"Hubungan yang pada mulanya sebagai kawan akhirnya beralih kepada cinta. Dia yang saya kenali lima tahun lalu tiba-tiba muncul kembali. Dia adalah sahabat kepada bekas kekasih saya.
"Perasaan sayang dan cinta terhadapnya hanya Allah saja yang tahu. Hanya doa dan solat hajat saja yang menjadi kekuatan untuk saya dalam usaha memiliki cintanya.
"Saya tahu kekurangan diri saya. Saya hanya bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berbanding dia yang berjawatan tinggi di sebuah jabatan kerajaan.
"Kadang-kadang saya berfikir adakah enggan boleh terbang bersama pipit? Adakah saya hanya bermimpi di alam fantasi?
"Hanya air mata yang menjadi sahabat saya di kala ini apabila memikirkan tentang perasaan sayang saya kepadanya. Saya begitu berharap untuk memiliki cintanya. Salah kah tindakan saya ini?
"Kadang-kadang saya berfikir kenapa Allah temukan saya dengan dia jika saya tiada jodoh dengannya. Pernah juga sahabat saya berkata jangan sangat berharap untuk memiliki cinta orang yang tidak mencintai kita.
"Tetapi saya menidakkannya kerana saya percaya Allah sentiasa memakbulkan doa hamba-Nya yang tidak putus asa.
"Apakah tindakan yang harus saya lakukan? Patutkah saya berterus terang tentang perasaan saya kepadanya?
"Atau saya pendamkan sahaja perasaan ini untuk selamanya? Saya tidak boleh terima kenyataan jika dia disatukan dengan wanita lain. Saya sering terbayangkan perasaan saya yang duka lara sekiranya itu terjadi.
"Saya menjadi serba salah dan berharap sesuatu akan terjadi untuk memungkinkan impian saya menjadi kenyataan," kata Shira dengan penuh harap.
Soal hati dan perasaan tidak sesiapa boleh campur, itu urusan peribadi yang menjadi hak mutlak seorang manusia.
Namun, saya harap Shira tidak bertepuk sebelah tangan. Bimbang juga nanti keadaan menjadi sebaliknya apabila cinta ditolak atau sebagainya.
Apa pun adalah baik jika Shira berterus terang dengan lelaki itu. Luahkan apa yang terkandung dalam hati.
Dalam era globalisasi tidak salah jika timba mencari perigi sebab jodoh tidak akan datang jika tidak disertakan dengan usaha.
Dulu-dulu memang anak gadis malu untuk memulakan langkah tetapi tidak pada zaman ini. Lelaki atau gadis boleh membuka langkah asalkan ia ada matlamat ke arah kehidupan lebih positif dan membahagiakan.
Shira perlu segera bertindak daripada terus melayani perasaan yang bagaikan bertepuk sebelah tangan.
Saya percaya apa yang Shira rasakan itu adalah perasan cinta yang suci dari hati - siapa pun lelaki itu bukan alasan. Mungkin benar seperti kata Shira, jika lelaki itu bukan jodohnya masakan Tuhan temukan mereka tambahan pula ia kawan kepada bebas kekasihnya!
Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang berlaku di sebalik pertemuan semula itu. Soal enggang boleh terbang bersama pipit sudah tidak boleh diguna pakai. Siapa pun kita bila sudah sampai jodoh akan bersatu juga.
Pada masa yang sama Shira harus bersedia menerima sebarang kemungkinan. Jika cintanya diterima oleh lelaki itu, alhamdulillah, jika tidak, jangan kecewa kerana seperti yang saya sebut di awal catatan ini, tidak semua yang dihajati akan dimakbulkan Allah SWT.
Jika sebaliknya berlaku, jangan kecewa dan putus asa. Semoga Shira ditemukan dengan seorang lelaki yang lebih baik daripada lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya sebelum ini.
Seorang lelaki yang boleh menjadi suami dan mampu menjadi pembimbing dan teman hidup hingga ke penghujung nyawa.
Mengundur diri, sepatah kata daripada saya, hidup adalah perjuangan yang selalu akan didatangi ujian yang tidak kenal waktu. Sebagai insan, kita harus keluar daripada ujian itu sebagai pemenang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: