|
|
Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan kerjasama Courts Malaysia (Courts) baru-baru melancarkan kempen kesedaran bertema Harapan Untuk Anak-Anak Kita yang bertujuan memupuk kesedaran bahawa kanser boleh dicegah sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat.
Kempen tersebut disifatkan cara terbaik untuk menyemai amalan gaya hidup sihat di peringkat awal kehidupan demi mengurangkan risiko kanser apabila sudah dewasa.
Ketua Eksekutif dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr. Saunthari Somasundaram berkata, sudah tiba masanya generasi masa depan dididik untuk menjadikan diri mereka teladan yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat yang mengatakan 'tidak' kepada kanser.
Katanya, senario semasa menunjukkan dengan jelas bahawa masyarakat sedang menuju gaya hidup yang merosakkan dengan peningkatan kadar merokok dan amalan yang kurang sihat.
"Seruan untuk menjalani gaya hidup sihat memang sering dibuat tetapi disiplin dan kesungguhan diperlukan untuk mengamalkannya.
"Pesanan kesihatan memang biasa kita dengar setiap hari seperti berhenti merokok, berhenti mengambil alkohol, elakkan pendedahan berlebihan kepada matahari, kekalkan berat badan yang sihat, lindungi diri daripada jangkitan yang menyebabkan kanser dan sebagainya.
"Malangnya nasihat ini sukar dimanfaatkan kerana gaya hidup moden yang kurang aktif.
"Kami mahu kanak-kanak menjadi pendorong positif yang menggalakkan perubahan sekali gus mempengaruhi ahli keluarga dan orang di sekeliling mereka bahawa merokok dan alkohol membawa mudarat.
"Pada masa sama menekankan juga bahawa kita boleh memilih apa yang kita makan dan aktiviti yang kita lakukan semasa beriadah," ujar Dr. Saunthari.
Selain itu menurutnya, kempen tersebut juga akan mengetengahkan masalah kanser pediatrik yang meliputi lebih 10 peratus daripada semua kanser baru di kalangan kanak-kanak di bawah 14 tahun.
Walaupun ini dianggap jarang berlaku dan tiada kaitan dengan risiko gaya hidup seperti merokok atau pengambilan alkohol, ia masih menjadi ancaman kesihatan yang perlu diberi perhatian.
"Punca kanser kanak-kanak tidak diketahui, tetapi ia mempunyai kadar pemulihan lebih tinggi berbanding kanser dewasa," katanya.
Mengulas mengenai fasa kedua program penyebaran maklumat dan kesedaran ini, Dr. Saunthari berkata, program di sekolah ini dirangka untuk mendidik pelajar dan perlu bersifat interaktif untuk mendapatkan perhatian mereka.
"Kita belum lagi menyempurnakan kaedah penyampaian tetapi kami bercadang untuk bermula pada awal 2011 dan akan membuat pengumuman lebih hampir dengan tarikh ini,"
Sementara itu sebagai sebahagian daripada kempen kesedaran, NCSM dan Courts turut memperkenalkan koleksi imej oleh jurugambar terkenal, Kid Chan.
Gambar-gambar tersebut adalah rakaman saat manis pesakit yang berjaya sembuh penyakit kanser bersama ahli keluarga mereka.
Orang ramai berpeluang menyaksikan gambar yang bermakna ini pada peti derma, poskad, poster dan bendera kecil yang diedarkan di kesemua 50 gedung Courts di seluruh negara.
Kempen ini bertujuan meraih RM1 juta untuk membantu membiayai lebih banyak aktiviti NCSM termasuk peringkat kedua kempen yang merangkumi program penyebaran maklumat di sekolah dan usaha menyokong penghidap kanser kanak-kanak yang memerlukan bantuan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: