Sunday, September 26, 2010

Tak buru gelaran 'superstar'

DIA pelapis bintang besar berpotensi. Punya pakej lengkap baik daripada segi bakat mahupun rupa, Nur'Arina Abdul Malek atau nama komersialnya Erin Malek antara pelakon muda yang menonjol buat masa ini. Lima tahun berkecimpung dalam arena seni tanah air, gadis yang kini berusia 16 tahun itu menjayakan lima filem dan 25 drama.

pix_middle



Kata anak sulung tiga beradik ini, pembabitannya dalam bidang ini bukan untuk mengejar populariti atau glamor, sebaliknya kerana rasa cinta yang mendalam selain ingin mencuba.

"Bukan gelaran 'superstar' yang saya buru tetapi mahu lakonan saya diingati dan dihargai. Mungkin apa yang saya idamkan ini tidak boleh diperoleh dalam waktu terdekat, barangkali memakan masa beberapa tahun lagi. Saya tidak kisah menanti dan tidak mahu terburu-buru.


"Saya masih ada komitmen sebagai pelajar sekolah dan apabila tamat pengajian nanti baru saya akan merencana langkah sebagai pelakon sebaik mungkin.

"Saya sifatkan tempoh lima tahun dalam industri sebagai fasa awal pembelajaran, di mana saya tahu asas lakonan dan situasi di lokasi penggambaran.

"Banyak yang perlu saya belajar kerana ilmu di dada masih cetek, malah saya perlu bekerja lebih keras jika mahu jadi pelakon yang baik," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama seram Durga Ninsun beberapa minggu lalu.

Diminta memberi komen apabila dia dikatakan bakal menggantikan pelakon terkenal Fasha Sandha satu hari nanti, sambil menggeleng kepala, duta produk Syasya dan Ginvera ini terdiam seketika.

Benar, Fasha idolanya selain Erra Fazira dan Liyana Jasmay, namun tidak pernah terlintas di hati untuk menggantikan tempat mana-mana aktres.

Baginya, setiap pelakon ada pesona tersendiri dan andai dia berpeluang berada sama tinggi dengan idolanya, dia akan tampil sebagai pelapis dengan aura baru, bukan sebagai pengganti.

"Segan bila sebelum ini ada orang sekeliling cakap perkara sama. Saya terlalu hijau dalam bidang ini, perjalanan saya masih jauh. Memang tidak dinafikan saya mahu masyarakat ingat saya seperti mana mereka ingat Fasha, Erra dan ramai lagi pelakon hebat tetapi saya perlu bekerja lebih keras untuk merealisasikannya.

"Mana mungkin saya dapat menggantikan tempat mereka kerana setiap pelakon ada kelebihan, pesona dan aura tersendiri. Saya mahu jadi pelapis baru yang membuatkan industri lebih berwarna-warni. Sesungguhnya saya sedar ia bukan usaha mudah dan perlu melipatgandakan usaha. Paling penting jika mahu berjaya, jangan pandang belakang, sebaliknya perlu sentiasa berfikiran positif dan maju ke depan," katanya merendah diri.

Beralih ke perkembangan terkini, Erin yang baru selesai penggambaran telefilem Sebelum Terlupa terikat dengan komitmen filem Senjakala dan telefilem Bangunlah Mama. Biarpun hanya memegang watak sampingan dalam Senjakala, filem garapan Ahmad Idham itu memberi pengalaman berbeza buat gadis berjiwa periang ini apabila buat pertama kalinya melakonkan watak remaja hamil.

"Dalam filem aksi ini saya menjayakan watak Intan yang hamil pada usia 18 tahun. Sepanjang tiga hari penggambaran, saya belajar banyak perkara baru apabila perlu menzahirkan watak yang tidak pernah saya bawa.

"Kelakar rasanya bila beraksi depan kamera dengan perut besar dan wajah penat. Saya diajar macam mana perempuan hamil berjalan. Biarpun hanya terbabit dalam beberapa babak, saya berpuas hati kerana impian berlakon dalam filem aksi tercapai.

"Saya seorang yang lasak dan sukakan filem aksi. Sebelum ini saya pernah mengikuti kelas seni pertahanan diri dan belajar memandu bot tetapi disebabkan mahu berlakon, saya terpaksa tinggalkan hobi itu. Harapnya selepas ini saya dapat lebih banyak peluang berlakon dalam filem aksi," katanya.

Mengulas lanjut wataknya dalam Bangunlah Mama yang turut dibintangi Marissa Yasmin, Redzuan Hashim dan Aril Zafril, anak jati Kuala Lumpur ini memegang watak anak yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada ibu yang mengalami tekanan jiwa akibat kecurangan suami.

"Dalam telefilem ini watak saya pendiam dan sentiasa ada di sisi ibu apabila diperlukan. Ia menuntut saya banyak bermain dengan emosi dan ekspresi wajah.
Pengalaman berlakon dalam beberapa filem dan drama, antaranya Bilut dan Hidayah, banyak membantu saya menjiwai watak ini," katanya yang pernah menjayakan klip video Noktah Cinta dendangan Hafiz AF dan Happy (Amy Mastura).

Erin tidak ketinggalan berkongsi rasa gembira drama yang menyaksikan dia memegang watak utama buat pertama kalinya, Durga Ningsun kini bersiaran di slot Seram TV3, setiap Khamis jam 9.30 malam.

Durga Ningsun adalah produksi seram ketiganya selepas filem Congkak dan drama Pusaka yang kini hangat ditayangkan di TV2 setiap Selasa, jam 10 malam.

"Saya berterima kasih kepada Ahmad Idham kerana percayakan saya. Sepanjang sebulan penggambaran Durga Ningsun, saya beri komitmen terbaik. Watak Aria jauh berbeza dengan karakter sebenar saya di mana dia pendiam, sentiasa dalam ketakutan dan tertekan apabila kerap dirasuk.

"Menyangka dirinya bebas daripada cengkaman roh jahat, Aria mengambil keputusan menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan. Malangnya di asrama, roh berkenaan masih memburunya.

"Alhamdulillah ketika penggambaran, saya tidak berdepan gangguan atau situasi menyeramkan. Kru juga tidak banyak bercerita kerana tidak mahu saya takut," katanya yang mula menjadi sebutan selepas membintangi filem Tentang Bulan.

Menyingkap sisi peribadinya, gadis cantik ini menikmati keindahan zaman remaja seperti kebanyakan teman sebaya, namun memahami resam artis yang mudah dicuit kontroversi, dia sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak tanduknya supaya tidak ada hati terluka.

"Saya mengutamakan perasaan dan nama baik keluarga. Ketika mula-mula menceburi bidang ini, Papa berpesan supaya saya berhati-hati. Pesanannya saya pegang hingga ke hari ini. Bagi mengelak fitnah atau tohmahan bukan-bukan, Mama selalu menemani saya.

"Ada juga sesekali saya keluar melepak dengan kawan. Ke mana saja saya pergi dan dengan siapa, pasti Mama dan Papa tahu. Jika ada masalah, saya lebih senang berkongsi dengan keluarga daripada kawan. Papa dan Mama adalah sahabat karib saya dan merekalah tempat saya mengadu," katanya.

Diusik soal cinta, sambil ketawa Erin berkata, sebagai remaja dia tidak terlepas daripada dibuai perasaan ingin dicintai dan mencintai.

"Orang tua saya terbuka dalam soal ini. Mereka tidak pernah mengongkong saya kerana cinta adalah sebahagian pengalaman dalam hidup. Setakat ini saya belum bertemu yang sesuai, mungkin kerana saya memilih orangnya. Saya sukakan lelaki tinggi, berkulit cerah dan tarikan utama adalah mata.

"Bohong kalau saya kata tak pernah minat dengan sesiapa, tetapi terpaksa tarik diri apabila dia ada teman. Saya tidak suka merampas kekasih orang. Tak mengapa, saya masih muda, masih ada banyak masa," katanya.

Di sebalik wajah lembutnya, siapa sangka Erin gemar cabaran laut dalam. Dalam usia semuda 15 tahun, dia ada lesen menyelam dan setakat ini melakukan lebih 20 selaman di sekitar Pulau Perhentian dan Tioman.

Hobi ini diwarisi daripada bapanya dan untuk mendapatkan lesen berkenaan dia terpaksa memujuk ibunya selama setahun.

"Pada mulanya Mama menentang keras hasrat saya. Sebagai ibu, dia risaukan keselamatan saya tetapi melihat kesungguhan saya selain sokongan padu daripada Papa, akhirnya Mama lembut hati.

"Saya rasa sangat bertuah apabila dapat melihat keindahan hidupan marin. Pemandangan dalam laut sangat cantik dan ia buat saya sedar akan kebesaran Ilahi. Pengalaman menyelam sungguh menyeronokkan. Saya tidak kisah berpanas, kulit gelap, malah tangan luka akibat terkena batu karang satu perkara biasa," katanya.


>PROFIL
NAMA: Nur'Arina Abdul Malek
ASAL: Kuala Lumpur
LAHIR: 15 Julai 1994
HOBI: Menyelam, berenang, membaca dan menyanyi
FILEM: Bilut, Tentang Bulan, BS21, Congkak dan Senjakala
PENGACARA: Apa Cerita, TVIQ
ANTARA DRAMA: Dilema Wanita, Hidayah, Suu Lee Maryam Haryati, Dairi Ramadan Rafique dan Dilema Wanita

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: