Sunday, September 26, 2010

Anith beralih arah

GAGAL melebarkan sayapnya sebagai penyanyi terkenal seperti mana teman seperjuangan dalam One In A Million (OIAM), tidak langsung mengusik rezekinya. Tanpa ruang buatnya dalam gelanggang nyanyian, kini Anith Aqilah Sulaiman Lim beralih ke cabang lakonan pula.

pix_middle


Watak Elena yang diberi padanya dalam drama bersiri muzikal popular, Kau & Aku untuk musim kedua membuka lembaran baru dalam diari seni gadis berusia 19 tahun ini. Mungkin bersandar pada wajah dan personaliti yang lincah, berjaya memancing pihak penerbitan untuk menyerahkan skrip drama kepadanya.

Menurut Anith yang bersyukur berpeluang kembali ke pentas seni selepas lebih setahun senyap, menyifatkan tawaran untuk Kau & Aku bakal menyingkap sebuah peluang baru buatnya untuk kembali aktif seperti mana yang pernah diimpikan sebelum ini. Mana tidaknya, tidak semena-mena ditawarkan watak utama.


“Mustahil untuk saya tolak tawaran ini kerana ia datang tepat pada waktunya. Malah siri muzikal ini memang popular dan sudah mempunyai penontonnya sendiri.
Saya memang minat berlakon sejak di bangku sekolah cuma ketika itu peluang tidak pernah pula ada. Namun peluang menyertai OIAM tahun lalu setidak-tidaknya meletak satu kaki saya ke dalam gelanggang seni ini walaupun hakikat sebenar terlalu perit untuk ditelan.

“Watak Elena menggambarkan seorang gadis yang lemah-lembut dan penuh kewanitaan. Justeru agak sukar untuk saya menghayati karektor itu memandangkan sifat sebenar saya bertentangan dengan Elena. Saya periang, tegas dan lasak. Namun itulah cabaran yang perlu saya tempuh bagi menghidupkan watak itu dengan baik.

“Siapa sangka saya mampu menyandang watak utama menggantikan Mila yang sudah dihentikan peranannya dalam siri pertama. Skripnya saja sudah mengundang emosi dan plot ceritanya kali ini lebih dramatik. Saya yakin penonton akan terhibur dengan garapan terbaru drama ini,” katanya.


Keputusan untuk menerima tawaran ini bukanlah semudah yang disangka sebaliknya Anith terpaksa mengangkat beg meninggalkan pengajian buat seketika. Tidak hanya terpaksa menangguh pelajaran, malah anak ketiga daripada empat beradik ini gigih meyakinkan ibu bapanya yang bimbang akan masa depan kerjaya seni anak kesayangan mereka itu.

“Selepas tersingkir daripada OIAM memang tidak dinafikan, saya menjadi sangat terkilan dan seakan berputus asa. Mana tidaknya, sebaik meninggalkan pentas program itu, laluan kerjaya yang menjadi impian setiap peserta itu hilang dalam sekelip mata. Saya terkontang-kanting sendiri mengintai peluang.

“Saya menyambung pengajian di Aswara dalam lapangan Muzik dan Vokal. Sekarang baru saja setahun dan masih berbaki dua tahun lagi namun tiba pula tawaran Kau & Aku ini. Sebelum ini memang ada juga tawaran lakonan namun ibu memang tidak mengizinkan dan meminta agar saya menghabiskan dulu pengajian. Namun apabila watak Elena tiba, saya berfikir banyak kali dan risau jika peluang ini tidak datang lagi kemudian hari.

“Alhamdulillah ibu yakin dengan janji saya untuk kembali menghabiskan pengajian selepas berehat satu semester bagi meletak sepenuh fokus kepada drama ini. Penggambaran bermula September ini hingga Disember bagi menghabiskan kesemua 26 episod. Namun sesi latihan lakonan, nyanyian dan tarian sudah bermula sejak awal Ogos lalu,” katanya.

Drama muzikal bersiri ini masih dibarisi Akim, Aril, Farish Aziz, Raja Farah dan finalis program Anak Wayang, Ammar.

Gadis yang tidak henti mengusik orang ini bagaimanapun masih lagi menggenggam harapan untuk memiliki lagunya sendiri. Meskipun bukan hari ini, Anith percaya impian itu akan tiba suatu hari nanti.

“Saya tidak akan melupakan minat saya dalam nyanyian. Sejak dulu saya meminati lapangan itu dan pastinya ia tidak terus lenyap begitu saja. Selepas tamat pengajian nanti, saya akan berusaha memastikan apa yang dihajatkan terlaksana. Alhamdulillah saya gembira dengan apa yang ada hari ini buat saya kerana masih ada juga yang mengenali siapa saya. Setidak-tidaknya selepas ini peminat boleh melihat lakonan saya pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: