
Berlainan pula dengan penyanyi berkulit hitam manis, Farawahida Razali yang menganggap penganjuran rumah terbuka sebagai salah satu medium berkongsi rezeki dengan keluarga dan peminatnya.
Bagi Farawahida atau mesra di sapa Fara berkata, Aidilfitri tahun ini disifatkan paling bermakna kerana setelah lima tahun bergelar artis, Fara dapat menganjurkan rumah terbuka di kampung halamannya di Taiping, Perak pada Syawal kelima yang lalu.
“Fara bersyukur semuanya berjalan lancar dan tidak sangka hampir 1000 tetamu datang kerana Fara tidak membuat promosi atau menguar-uarkan tentang rumah terbuka ini.
"Tetapi, Fara bersyukur kerana makanan yang disediakan cukup untuk menampung tetamu yang datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya lagi, dia berasa puas kerana 80 peratus menu pada hari itu di masak sendiri bersama ibunya dan segala kepenatan itu hilang sebaik mendengar pujian tetamu tentang makanan yang disediakan.
“Kami menyediakan laksa, meehun, sup, ketupat palas, kuah kacang. Manakala lemang dan sate kami tempah daripada kedai,” katanya yang mengadakan rumah terbuka dari jam 3 petang sehingga malam.
Selain menjamu tetamunya dengan makanan yang lazat, Fara turut tidak menghampakan permintaan tetamunya untuk mendendangkan beberapa buah lagu.
Fara berkata, dia turut berduet dengan sepupu dan peminat yang hadir.
“Fara puas kerana dapat meluangkan lebih banyak masa dan mengeratkan silaturahim dengan semua yang hadir pada hari itu.
“Fara bercadang jika rezeki Fara murah lagi tahun hadapan, Fara ingin membuat rumah terbuka Fara secara besar-besaran dan mengajak rakan taulan, sanak-saudara, peminat Fara untuk menghadirinya. Itu pun bergantung pada keadaan,” kata Fara mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: