![]() |
| |
MUSIM tengkujuh mula dirasai di kebanyakan tempat di pantai timur Semenanjung.Berikutan itu, dalam sedikit masa lagi, akan ada pengusaha-pengusaha resort dan calet terpaksa menghentikan operasi mereka disebabkan keadaan laut yang bergelora.
Ini termasuk di Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Tioman dan beberapa pulau lagi termasuk di Johor.
Bagi penggemar aktiviti di laut dan pulau, pasti mereka tercari-cari tempat yang sesuai untuk meneruskan aktiviti tersebut.
Pengunjung pasti tercari-cari destinasi sesuai yang mampu menawarkan percutian terbaik dengar air laut yang cantik, penginapan menarik dan banyak lagi pakej berkaitan.
Sebenarnya, berada di Sipadan, Sabah sejak dulu lagi menjadi idaman kebanyakan penggemar aktiviti di laut dan pulau.
Bukan sahaja rakyat tempatan, malah Sipadan turut menjadi tumpuan ramai kalangan pelancong luar negara.
Ini kerana Sipadan dianggap sebagai antara destinasi pelancongan bertaraf dunia hingga ia sentiasa menjadi tumpuan sepanjang tahun.
Yang pasti, kedatangan pelancong ke Sipadan tidak putus-putus dari awal tahun hingga Disember.
Tambahan pula pulau-pulau di sini tidak terkena tempias musim tengkujuh yang boleh menyebabkan ia terpaksa menghentikan operasi.
Selain, Sipadan, beberapa pulau sekitar Tawau turut menjadi tumpuan pelancong sama ada untuk menyelam, snorkeling, bersantai dan sebagainya.
Oleh itu, tidak hairanlah, sesiapa yang hendak bercuti di Sipadan dan pulau-pulau sekitarnya perlu terlebih dahulu merancang dan membuat tempahan awal.
Selain tinggal di calet dan resort, pengunjung juga berpeluang menginap di atas kapal yang menyediakan kemudahan seperti sebuah hotel terapung.
Kapal MV Celebes Explorer menyediakan pelbagai kemudahan bukan sahaja kepada para penyelam, malah untuk mereka yang hanya sekadar melancong, bercuti, berehat dan menenangkan fikiran.
Mereka yang dapat datang ke Sipadan serta beberapa pulau sekitarnya dianggap amat bertuah kerena untuk ke Sipadan memerlukan permit daripada pihak berkuasa negeri.
Namun, pelancong tidak perlu risau kerena perjalanan mereka termasuk permit, tempat tinggal dan sebagainya boleh diuruskan oleh para pengusaha pelancongan.
Sesuatu yang amat menarik apabila berada di sekitar Sipadan ialah kehidupan lautnya.
Jika di pantai timur Semenanjung, penyu yang ditemui pasti akan menjauhkan diri daripada para pengunjung.
Namun di Sipadan, jangan terkejut apabila menemui banyak penyu dengan saiz yang amat besar.
Malah, bagi para penyelam, penyu yang ditemui itu tidak akan menjauhkan diri daripada mereka selagi hidupan laut itu tidak diganggu.
Pengunjung boleh mendekati penyu-penyu di Sipadan ini pada jarak yang amat dekat asalkan ia tidak disentuh atau diusik.
Tidak hairanlah, pengunjung kerap berpeluang merakamkan gambar-gambar menarik bersama penyu.
Penyu di Sipadan merupakan antara tarikan utama yang boleh ditemui sepanjang masa dan tahun.
Yang pasti, pengunjung tidak akan kecewa apabila berada di Sipadan.
Sebenarnya banyak lagi daya tarikan di Sipadan melibatkan spesies hidupan lautnya yang tidak boleh ditemui di laut pantai timur Semenanjung.
Tidak keterlaluan jika dikatakan apabila seseorang itu sudah berada di Sipadan, tidak ada tempat lain yang dapat menandingi destinasi di Sabah itu.
Oleh itu, mereka yang inginkan percutian menarik di Sipadan pada Oktober ini boleh menghubungi Lt. Kol. Mohd. Nasir Ali (Bersara) di talian 019-6415964 atau e-mel nasir0469@yahoo.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: