
SETELAH lengkap mengenakan pakaian kemeja berlengan panjang yang dibutang pada hujung lengan dan lehernya, Baharudin Arshad mencapai pula cermin mata, topi, sarung tangan dan penutup hidung.
Pakaiannya sudah nampak segak untuk urusan pejabat. Namun, kesudahannya berbeza pula apabila penampilannya itu dipadankan dengan topi, penutup hidung dan sarung tangan.
“Inilah pakaian saya setiap hari ke kilang,” tutur pemilik dan pengusaha syarikat DinKopi Sdn. Bhd. itu kepada krew Kosmo! sambil menguntumkan senyuman. Sambutan mesra lelaki berusia 63 tahun itu belum menjawab mengenai gaya pemakaiannya itu setiap kali dia melangkah ke kilang kopi syarikatnya.
“Saya bukan ke kilang untuk duduk di pejabat tetapi bersama-sama dengan pekerja lain memproses kopi. Malah, saya sendiri yang akan melakukan kerja membancuh dan memasak kopi. Jika orang lain buat, saya takut rasa dan kualitinya jadi berbeza.
![]() |
| PROSES memasak kopi dilakukan sendiri oleh Baharudin bagi mengekalkan kualiti dan rasa kopi jenamanya. |
“Pentingnya saya berpenampilan sebegini adalah kerana semasa proses membancuh dan memasak, air gula yang menggelegak akan terpercik. Jika terkena pada kulit, tentu akan melecur.
“Cabarannya bukan itu sahaja. Jika terlebih panggang pun, kopi boleh terbakar dan menyemburkan api berwarna hijau. Dalam keadaan tertentu, ada kebarangkalian insiden itu mengancam nyawa,” katanya mengenai kesukaran yang pernah dihadapi selama melibatkan diri dengan bijian gelap tersebut.
Anak sulung daripada 13 orang adik beradik itu menambah, api gas juga perlu sentiasa dijaga supaya tidak marak jika berlaku sebarang kerosakan pada perkakasan memanggang bijian kopi di kilang tersebut.
Sememangnya bagi peminat minuman itu, detik menikmati dan menghirup kopi yang pekat dan panas sememangnya begitu mengasyikkan. Meskipun menghargai aroma dan rasanya, masih ramai yang tidak tahu mengenai kepayahan cara pembuatan sebelum bijian kopi itu melalui proses pembungkusan.
Kepayahan proses

Tidak cukup dengan ‘set’ pakaian bertutup penuh sedemikian, Baharudin terpaksa berdepan dengan bahang kawah kopi ketika ia dipanggang dan dimasak. Bukan sahaja suhu tersebut merimaskan, dia dan para pekerjanya perlu pula membiasakan diri dengan bau pekat kopi yang meresap sehingga ke kerongkong.
Selepas kopi dimasak, asap yang berkepul-kepul memenuhi ruang kilang juga mungkin boleh menyebabkan seseorang yang tidak biasa kesesakan nafas lalu berasa pening atau mahu pitam.
“Saya sudah biasa dengan situasi macam ini. Iyalah, sejak berumur 13 tahun saya sudah membantu ayah memproses kopi. Kalau dulu lagi sukar kerana kopi diproses bukan menggunakan mesin tetapi dengan menggunakan bakaran kayu api.

“Bayangkan kalau begitu caranya, asap lebih banyak dan bahang yang dirasai juga jauh lebih kuat. Kayu juga sukar didapati ketika itu,” ceritanya.
Perniagaan kopi mula diusahakan ayahnya sejak tahun 1959 itu dengan dikenali sebagai ArshadKopi Sdn. Bhd.. Kini, Baharudin menyambung kepakaran warisan keluarga itu dengan nama DinKopi Sdn. Bhd..
Mengenai rutin pembuatannya, Baharudin memberitahu, biji kopi mentah perlu terlebih dahulu dipanggang selama 40 hingga 45 minit.
“Kita boleh tahu kopi itu masak apabila ia bertukar daripada warna coklat muda ke coklat kehitaman. Kopi yang masak juga akan mengeluarkan bunyi ‘klik-klik’ seakan-akan bunyi bertih jagung yang masak.
“Selepas dipanggang, kopi akan dimasukkan ke dalam mesin bancuh dan dimasak. Kemudian, bijirin gandum yang dipanggang bersama marjerin dan gula dicampurkan ke dalam kopi tersebut untuk menjadikan rasanya bertambah enak.

“Proses memasaknya sama dengan proses memanggang iaitu selama 40 sehingga 45 minit. Saya kena pastikan kopi betul-betul masak dan sebati jika tidak ia akan melekat-lekat dan menyukarkan proses yang seterusnya,” katanya.
Jelasnya, selepas kopi dimasak ia akan disejukkan menggunakan kipas besar. Tujuannya untuk menjadikan kopi ringan, rangup dan senang dileraikan. Selepas itu, kopi yang dimasak akan dimasukkan ke dalam mesin pemecah kopi. Jadi bongkah-bongkah kopi yang sebesar bola itu akan menjadi kecil seperti bertih jagung.

“Seterusnya, kopi akan dimasukkan ke dalam mesin pengisar. Di situ, kita boleh selaraskan sama ada untuk menghasilkan kopi kasar atau halus,” katanya.
Isteri Baharudin, Maimon Mijan, 56, selaku pengurus DinKopi Sdn. Bhd. memberitahu, suaminya paling gemar minum kopi ketika cuaca sejuk terutamanya pada waktu pagi dan malam.
Menurutnya, jika suaminya tidak minum secawan kopi sebelum bekerja, dia akan berasa lemah dan tidak bersemangat.
“Ramai yang kata kalau minum kopi hari-hari dalam jumlah yang banyak akan memberi kesan yang tidak baik tetapi sebenarnya tidak. Suami saya minum kopi setiap hari semenjak kecil sehinggalah sekarang.
“Walaupun begitu, dia tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan seperti darah tinggi dan kencing manis. Ini kerana, adunan membuat kopi ini adalah tradisional. Ia tidak dicampur dengan bahan-bahan lain seperti kopi 3 dalam 1,” kata Maimon yang turut membantu Baharudin di kilang setiap hari.
Penggemar kopi

Sementara itu, bagi Suzilah Zainuddin, 32, harinya tidak akan sempurna tanpa menikmati secawan kopi O panas. Paling kurang pun anak bongsu daripada dua beradik itu akan minum dua hingga tiga cawan kopi setiap hari.
“Semuanya disebabkan pengaruh emak yang suka minum kopi dibuat dibancuh pekat dan manis. Bukan itu sahaja, emak saya juga melatih saya minum kopi sejak saya berusia tiga tahun.
“Saya juga dibekalkan minuman kopi setiap kali ke sekolah. Mungkin disebabkan itu saya jadi ketagih. Malah, saya akan bawa bekalan kopi apabila masuk asrama dan jika pergi bercuti.
“Kalau tidak minum jadi lemah dan tidak bermaya. Tetapi apabila minum serta-merta saya menjadi bertenaga dan kurang mengantuk. Kopi juga membantu saya berfikir dengan cepat,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu mengenai obsesnya terhadap kopi.
Jelas Suzilah, dia hanya menggemari kopi buatan ibunya dan air tangannya sendiri.
“Mak dan saya kalau buat kopi mesti pekat dan manis. Pernah kawan saya minum beritahu kopi yang saya buat untuk satu cawan boleh dibahagikan pada dua cawan,” katanya yang boleh minum pelbagai jenis kopi sama ada kopi ubat mahupun kopi campuran.
![]() |
| SUZILAH (berdiri) cuba 'mempengaruhi' rakan baiknya, Roslyna, untuk meminati minuman kopi. |
Berlainan pula dengan rakan Suzilah, Roslyna Ahmad Radzuan, 32. Menurutnya, dia akan menolak terus jika diberi minuman berkafein seperti kopi.
“Saya akan pening jika minum minuman berkafein. Pernah dulu masa mula bekerja dan balik lewat, rakan-rakan mengajak saya minum di gerai dan membuat pesanan air kopi. Saya yang cuba minum ketika itu terus merasa pening,” imbasnya.
Tetapi Roslyna mengakui, minuman kopi juga memberi kesan yang baik.
“Suami saya ada asma tetapi tidak terlalu teruk. Pernah terjadi, ubat asma dia habis. Kebetulan pula ketika itu dia mandi pada waktu malam. Akibatnya, dia mengalami sesak nafas.
“Kebetulan ketika itu saya tengah membancuh kopi untuk suami. Selepas dia minum, sesak nafasnya semakin berkurangan,” kata Roslyna.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: