Sunday, September 26, 2010

Shahz selesa diam

AKUR dengan ketentuan yang tersurat buatnya, putik cinta yang sebelum ini indah pandangannya akhirnya tiba di titik penamat, Shahz Jaszle pasrah dan lebih selesa untuk mendiamkan diri.

pix_middle


Berkali-kali anak kelahiran Kuala Lumpur ini memujuk supaya kisah itu tidak diungkit, namun atas status selebriti dan pendatang baru dalam gelanggang seni, dia tunduk menyerah.

Entah mana datang silapnya, hubungan intim pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Tari Tirana dan Bionik ini bersama pengacara Wanita Hari Ini dan MyTV3, Sheera terbengkalai tanpa membongkar puncanya. Shahz tidak mahu mengulas dan meluahkan rajuk hatinya.


“Biarlah perkara yang berlalu terus pergi tanpa kembali. Jujurnya, saya tidak mahu lagi babak itu diulang tayang. Cukuplah ia meninggalkan impak kepada saya baik daripada aspek peribadi mahupun kerjaya yang masih samar mengintai peluang untuk bertapak. Saya tidak mahu mengulas panjang.

“Tiada siapa perlu dipersalahkan kerana semua itu tertulis begitu. Mungkin silap itu datangnya daripada saya juga, namun Alhamdulillah ia berlalu tanpa rasa perit hingga menjerat diri. Yang perlu difikirkan adalah diri sendiri yang masih terkapai-kapai meninjau ruang bagi mengukuhkan kerjaya,” katanya.

Shahz yang ditemui di lokasi drama Asmara baru-baru ini begitu seronok
menceritakan pengalaman barunya menggenggam watak utama untuk drama bersiri yang ditayangkan di slot Lestary sejak 31 Ogos lalu, setiap Selasa jam 9 malam di TV3.


“Syukur apabila usaha gigih saya selama ini dalam memperbaiki mutu lakonan akhirnya mendapat perhatian peminat dan membuka mata pihak lain.

“Siapa sangka, saya berpeluang memegang watak utama bagi drama siri terbitan Suhan Movies yang sarat dengan mainan emosinya.

“Bukan mudah meraih kepercayaan orang dan saya terkejut apabila watak Asmara diberi kepada saya yang masih hijau di atas pentas lakonan.

“Mungkin ini habuan atas usaha dan kegigihan dalam mencari identiti lakonan sendiri. Sebagai pendatang baru yang terpaksa bersaing dengan barisan pelakon lain sememangnya memerlukan satu peluang yang benar-benar mampu menolak kita ke fasa lebih tinggi.

“Asmara sebuah drama yang memberi kebebasan sepenuhnya kepada saya bagi mengembara keseluruhan bakat tersembunyi yang saya miliki.

“Mana tidaknya, meskipun konsepnya masih sama menceritakan perihal remaja masa kini namun plot cerita dan garapannya jelas mematangkan lakonan saya. Pastinya peluang ini tidak sekali saya persiakan,” katanya yang memegang watak Asmara.

Drama bersiri arahan Haikal ini menceritakan mengenai seorang pemuda yang baik dan keseorangan tanpa keluarga kecuali neneknya, Asmara yang berdepan pelbagai konflik hidup.

Bukan kehendaknya dan tidak pernah terlintas di fikirannya, Asmara terhimpit pula dengan rasa cinta dan pergolakan perasaan dengan seorang gadis yang menyembunyikan seribu satu rahsia di sebaliknya.

Belum pun lama mana dalam industri, jejaka berusia 22 tahun ini berdepan insiden kejar-mengejar dari satu lokasi ke lokasi penggambaran lain.

Takut fokus pada karakter tersasar jauh, Shahz bagaimanapun menyifatkan dua tawaran lakonan yang datang padanya adalah satu keputusan di saat akhir dan pihak penerbitan diberitahu lebih awal akan senario yang menghimpitnya.

“Bukan tamak atau takut terlepas peluang hingga mengambil dua tawaran dalam masa sama, sebaliknya jadual penggambaran diatur lebih awal bagi mengelak pertembungan.

“Saya akui memang penat, namun setakat ini segala perancangan dan pergerakan dua penggambaran ini masih terkawal dan tidak mengganggu mana-mana pihak.

“Alhamdulillah watak Asmara dan karakter Iskandar untuk drama bersiri Pengantin Untuk Dijual tayangan Astro Box Office ini tidak membebankan saya walaupun hakikatnya kedua-dua watak ini bertentangan antara satu sama lain.

“Mana tidaknya, Asmara seorang yang misteri dan kurang berkomunikasi manakala Iskandar pula menggambarkan perihal seorang lelaki yang gemar berfoya-foya.

‘Namun saya tidak sesekali mencampur-adukkan jiwa itu dalam satu rasa, sebaliknya ruang dan masa yang diberi sebelum masuk ke set penggambaran sudah cukup buat saya mencari fokus serta pemahaman watak itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: