Sunday, September 26, 2010

Punca jantung cacat

APABILA disebut penyakit jantung kongenital, ia merujuk kepada kanak-kanak iaitu bayi hingga yang berumur 15 tahun. Penyakit jantung kongenital bermakna berlaku kecacatan jantung akibat masalah ketika pembentukan jantung bayi.

pix_middle


Kecacatan jantung kongenital ada banyak jenis seperti jantung berlubang (ada lubang pada dinding antara bilik dalam jantung), injap jantung tidak terbentuk sempurna (menyebabkan kebocoran darah) atau yang lebih serius — ketiadaan injap atau bilik pada jantung.

Mempunyai anak yang sakit jantung memang membuatkan ibu bapa tertekan dan takut terhadap kemungkinan yang berlaku.


Dalam keadaan ini, yang lebih baik ialah ibu bapa belajar memahami keadaan anak dan rawatan diperlukan. Cuba berbincang dengan doktor atau ibu bapa lain yang ada anak dengan masalah sama.

Antara kebimbangan ibu bapa ialah apa akan anak mereka lalui apabila dia perlu jalani pembedahan; adakah si kecil berasa sakit? Usah bimbang kerana anak anda diberi anestesia atau ubat bius.

Apa itu anestesia atau ubat bius?
Ia untuk mengawal kesakitan ketika pembedahan. Ubat bius ini membuatkan anak berasa selesa. Pakar bius ialah doktor yang bertanggungjawab memastikan pesakit kecil selesa dan selamat sepanjang pembedahan.


Bius digunakan untuk:
> Menenangkan kanak-kanak
> Menyekat rasa sakit kanak-kanak
> Membuatkan kanak-kanak tidak sedarkan diri untuk jalani pembedahan
Ubat bius digunakan dalam pembedahan jantung ialah bius menyeluruh; ia membuatkan kanak-kanak langsung tidak sedar dan tidak berasa sakit sepanjang pembedahan. Ada beberapa cara memberi ubat bius iaitu melalui:
> Suntikan ke dalam salur darah
> Sedut nafas (anak perlu bernafas dalam topeng muka khas)

Dalam kedua-dua cara, ubat bius memberi kesan kepada otak dan seluruh badan.
Semua ubat bius ada kesan sampingan, tetapi kesan sampingan besar sangat jarang berlaku. Antara risiko kesan sampingan ialah alahan pada ubat atau darah yang digunakan.

Pakar bius akan memantau tanda penting pada tubuh pesakit, terutama tekanan darah dan degupan jantung, supaya kesan sampingan ini dapat dielak.

Bagaimana kanak-kanak boleh bersedia menerima ubat bius?
Biasanya pakar bius berjumpa ibu bapa atau penjaga dan kanak-kanak sehari sebelum pembedahan. Dia melihat keadaan dan rekod kesihatan kanak-kanak untuk membuat penilaian sama ada pesakit boleh diberi bius menyeluruh.

Satu keadaan yang tidak membolehkan kanak-kanak diberi ubat bius ialah jika dia demam kerana sebarang jangkitan perlu dirawat sebelum pembedahan. Pakar bius juga akan berbincang dengan ibu bapa atau penjaga mengenai risiko ubat bius, terutama berkaitan masalah anak.

Hanya selepas itu baru dia meminta kebenaran ibu bapa atau penjaga untuk memberi ubat bius kepada anak. Ibu bapa perlu menandatangani perjanjian persetujuan.

Ibu bapa juga diminta berhenti memberi anak makan sebelum pembedahan. Ia bertujuan mengosongkan perut anak supaya jika pesakit muntah selepas diberi ubat bius, makanan dalam perut tidak masuk ke dalam paru-paru dan menjejaskan pernafasan anak.

Anak anda diberi ubat sebelum dihantar ke bilik pembedahan bagi mengurangkan kegelisahan. Ibu bapa juga boleh membantu menghilangkan ketakutan dan tekanan anak dengan bertenang dan menerangkan apa bakal berlaku.

Berterus terang dengan anak bahawa mereka mungkin mengalami ketidakselesaan dan kesakitan sedikit selepas pembedahan; pada masa sama meyakinkan anak bahawa anda akan berada dekat dan ubat akan diberi kepada mereka.

Apa yang berlaku dalam bilik bedah?
Di Institut Jantung Negara (IJN), seorang penjaga dibenarkan masuk ke bilik bedah untuk menemankan anak. Dalam bilik bedah, anak anda diberi ubat tidur atau pelali dalam bentuk suntikan atau gas.

Apabila anak tidur, ibu atau bapa perlu meninggalkan bilik pembedahan dan tunggu di ruang menunggu Unit Rawatan Rapi (ICU). Pembedahan jantung biasanya mengambil masa empat hingga enam jam.

Beberapa tiub disambung selepas kanak-kanak tidur bagi membantu pakar bius memantau keadaan pesakit ketika pembedahan dan ia terus dipasang apabila pesakit dipindahkan ke ICU.

Satu tiub dipasang pada salur darah di tangan atau pangkal paha untuk memantau tekanan darah dan membolehkan sampel darah diambil tanpa perlu mencucuk tangan pesakit berulang kali untuk pemeriksaan. Satu lagi tiub dipasang pada salur darah di leher atau pangkal paha untuk pemeriksaan jumlah darah anak dan pemberian ubat.

Ada alat dipasang pada badan anak untuk memantau pernafasan dan fungsi jantung. Pesakit juga memerlukan bantuan pernafasan melalui tiub (tiub endotrakea) yang dimasukkan dalam mulut ke trakea.

Ia disambung ke mesin pernafasan (dipanggil ventilator) kerana pesakit ‘dilumpuhkan’ dengan beberapa jenis ubat untuk menenang dan menghentikan pergerakannya sepanjang pembedahan.

Untuk membantu pakar bedah, jantung kanak-kanak dihentikan dengan ubat dan dipasangkan mesin jantung yang dikawal oleh pakar bius dan pakar perfusi.

Apabila pembedahan selesai, mesin jantung ditanggalkan dan jantung kanak-kanak kembali berfungsi. Kanak-kanak dimasukkan ke ICU yang dijaga oleh seorang lagi doktor pakar rawatan rapi.

Apa berlaku dalam ICU?
Pakar bedah jantung dan pakar rawatan rapi akan menjaga pesakit. Berapa lama pesakit perlu berada di ICU bergantung kepada keadaannya. Sepanjang di ICU, pesakit diberi ubat tahan sakit dan ubat tidur supaya berasa selesa kerana masih memerlukan pemantauan rapi.

Anak anda mungkin memerlukan alat bantuan pernafasan sekurang-kurangnya sehari. Jika anak dalam keadaan stabil, ibu bapa digalakkan memegang dan bercakap dengan anak. Bagaimanapun sebelum masuk ke ICU, ibu bapa mesti mencuci tangan dengan bersih untuk mengelak jangkitan kuman.

Bilangan pelawat juga dihadkan untuk mengurangkan risiko jangkitan. Anak anda dipindahkan ke wad biasa apabila keadaannya lebih stabil dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan atau pemantauan rapi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: