Sunday, September 26, 2010

Semarak sambutan Aidilfitri

TERPAKU seketika tatkala mata melihat kelincahan sekumpulan remaja yang lengkap memakai baju kebaya dan selendang meluncur laju di gelanggang luncur ais di Sunway Pyramid.

pix_middle
pix_topright


Pertunjukan diberi nama 'Raya On Ice' itu dipersembahkan oleh 10 peluncur dari Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid (ALASP).

Bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri, program itu adalah acara tahunan Sunway Pyramid bagi meraikan hari perayaan utama di negara ini.


Jurulatihnya, Shazfinas Hashim berkata, bila tiba musim perayaan, banyak pihak sibuk mengadakan pelbagai program bagi meraikannya.

Seperti tahun sebelumnya, Sunway Pyramid Ice (SPI) mengadakan persembahan luncur ais yang mengetengahkan elemen berkaitan sambutan Syawal.

"Bagi menghidupkan suasana Aidilfitri, peluncur dipakaikan dengan baju tradisional Melayu iaitu kebaya dan juga selendang.

"Malah mereka menari dan melakukan luncuran mengikut rentak lagu raya yang dipasangkan seperti 'Seloka Hari Raya' dan 'Sesuci Lebaran' dan persembahan mereka nyata berjaya menarik perhatian penonton," katanya.

Untuk persembahan sekitar 10 hingga 15 minit, mereka mengambil masa dua bulan untuk melakukan persiapan.

Katanya, walaupun peluncur berkenaan adalah pelajar ALASP, semua mereka terikat dengan waktu persekolahan dan masa mereka terhad.

"Rata-rata peserta berusia tujuh hingga 12 tahun dan masih bersekolah. Mereka hanya mengadakan latihan tiga kali seminggu.

"Bukan masalah besar bagi mereka untuk menguasai gerakan dan luncuran dikehendaki kerana mereka sememangnya didedahkan dengan teknik itu," katanya ketika ditemui di SPI baru-baru ini.

Program itu bukan saja menambah kemeriahan sambutan lebaran, malah menyemai semangat perpaduan di kalangan generasi muda untuk menghargai dan menghormati hari perayaan kaum berbeza.

Aktiviti luncur ais mula berkembang sejak kurun ke-19 apabila ia diiktiraf sebagai satu sukan dan popular di kalangan masyarakat Eropah.

Shafinas berkata, sukan luncur ais di negara ini masih belum berkembang sepenuhnya dan terkebelakang berbanding negara lain.

Katanya, walaupun negara tidak mengalami musim salji, sukan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri.

"Kemudahan luncur ais yang terhad seakan-akan menyentap minat mereka dan menyukarkan sukan ini untuk berkembang.

"Gelanggang luncur ais di Sunway Pyramid adalah satu-satunya gelanggang sukan itu di negara ini yang menjadi tempat peminatnya untuk melakukan latihan," katanya.

Namun, menurutnya, gelanggang bersaiz 877.5 meter persegi itu kini dianggap kecil bagi pelajar ALASP berikutan pertambahan bilangan pelajarnya saban tahun.

Katanya, secara purata SPI menerima 15,000 peluncur setiap bulan sama ada daripada golongan amatur mahupun profesional.

"Gelanggang ini tidak lagi sesuai untuk pelajar ini melakukan latihan kerana mereka meluncur terlalu laju dan ada kalanya membahayakan peluncur baru.

"Kami terpaksa menutup gelanggang ini bagi orang ramai untuk tempoh jam tertentu bagi membolehkan pelajar melakukan latihan," katanya.

Walaupun bertapak lama di negara ini, masih banyak pihak yang menganggap sukan ini tidak sesuai untuk kanak-kanak dan berbahaya.

Pandangan negatif itu sedikit sebanyak merencat perkembangan sukan itu di negara ini.

"Setiap sukan ada risiko tersendiri dan terpulang kepada atlet itu sendiri untuk mengelak kecederaan.

"Sering terjatuh dan mengalami cedera ringan adalah perkara biasa bagi individu yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini, namun masalah itu akan dapat diatasi selepas mereka berjaya menguasainya," katanya yang berpengalaman menjadi jurulatih selama 10 tahun.

Antara teknik dan gerakan yang perlu dikuasai peluncur adalah teknik lompatan seperti toe loops, flips; pegangan (armpit dan waist) selain langkah dan pusingan (bracket, rockers dan mohawks).

Secara luaran, teknik ini kelihatan mudah namun ada peluncur, terutama yang masih baru, kerap terjatuh kerana gagal mengimbangi pergerakan badan di atas ais.



>PROFIL
NAMA: Sarah Arina Tan Linli
UMUR: 11 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
KELUARGA: Sulung daripada dua beradik
SEKOLAH: Sekolah Antarabangsa Mutiara

DI awal pembabitannya dalam sukan ini, pernah timbul perasaan putus asa apabila gagal menguasai gerakan teknik diajar.

Malah dia juga sering terjatuh dan lebih teruk mengalami kecederaan akibat tidak dapat mengimbangkan badan ketika meluncur.

Namun itu kisah lima tahun lalu ketika mula berjinak-jinak dalam sukan ini dan kini dia tidak lagi mengalami situasi itu.

"Walaupun meminati sukan ini sejak kecil, saya tiada sebarang asas mengenainya dan pada mulanya sukar mempelajarinya.

"Pernah juga timbul perasaan putus asa apabila gagal menguasai teknik diajar, namun berkat tunjuk ajar jurulatih dan sokongan rakan, saya gagahkan diri untuk meneruskannya," katanya.

Baginya, sukan ini mencabar kerana memerlukan kekuatan mental dan fizikal, malah menuntut kesabaran tinggi.

Katanya, setiap peluncur perlu fokus ketika melakukan luncuran bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan kecederaan.


>PROFIL
NAMA: Aina Sorfina Mohd Aminudin
UMUR: 11 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Sulung daripada empat beradik
SEKOLAH: Sekolah Sri Kuala Lumpur

GEMBIRA. Itu yang dapat diluahkan oleh gadis kelahiran Kuala Lumpur ini kerana berpeluang membuat persembahan di depan penonton.

Katanya, pada mulanya dia gementar apabila melihat bilangan penonton yang ramai ketika itu dan semua mata terarah kepadanya.

Namun apabila kakinya memulakan luncuran, perasaan itu seakan-akan hilang, malah timbul rasa seronok dan tiada lagi tekanan menghantuinya.

Menariknya, persembahan itu dilakukan bersama rakannya yang bukan beragama Islam tetapi turut bersemangat memberi persembahan terbaik.

"Kami melakukan pelbagai formasi dan gerakan seperti diajar jurulatih dan ia tidak sesukar mana kerana masing-masing mahir melakukannya.

"Namun kami perlu menyamakan tahap kelajuan luncuran bagi memastikan persembahan dilakukan dengan sempurna," katanya.

Menurutnya, mereka tidak perlu bersaing untuk menunjukkan siapa yg lebih hebat kerana ia dilakukan dengan semangat setiakawan dan perpaduan.


>PROFIL
NAMA: Nerissa Liu Guan Ling
UMUR: 12 tahun
ASAL: Bongsu daripada dua dua beradik
KELUARGA: Bandar Sunway
SEKOLAH: Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chee Wen, Subang Jaya

BERSEKOLAH di sekolah aliran Cina dan bergaul dengan rakan yang sama bangsa dengannya tidak menghalang gadis ini untuk turut sama meraikan ketibaan Aidilfitri.

Katanya, walaupun tidak mengetahui secara mendalam mengenai perayaan itu, dia juga ceria dan gembira menyambutnya.

"Yang saya tahu, Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa.

"Saya juga mempunyai ramai rakan beragama Islam dan mereka sering menjemput saya untuk sama-sama meraikannya," katanya.

Murid tahun enam ini berkata, masyarakat Malaysia bertuah kerana berpeluang menyambut pelbagai perayaan dengan hanya berada di dalam negara.

"Kita boleh menyambut Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas tanpa perlu ke luar negara dan ini menjadikan Malaysia sungguh istimewa.

"Dengan meraikan bersama-sama perayaan itu secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan sesama kita walaupun berbeza agama dan kepercayaan," katanya.


>INFO
> Luncur ais mula berkembang sejak kurun ke-19 apabila ia diiktiraf sebagai satu sukan dan popular di kalangan masyarakat Eropah
> Raya On Ice dipersembahkan seramai 10 peluncur dari Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid (ALASP)
> Membabitkan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun
> Bertujuan menyemarakkan sambutan Aidilfitri yang diadakan setiap tahun

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: