Sunday, September 26, 2010

Pecutan Farah Rempit

KALAU disebut nama 'Farah Rempit', mungkin pelajar dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di Seremban, Negeri Sembilan mengenali gadis kecil molek ini kerana pembabitannya dalam perlumbaan motosikal.

pix_middle



Namun, telahan mereka terhakis kini selepas mengetahui gadis berkenaan sebenarnya pelumba motosikal berlesen yang terbabit dalam perlumbaan peringkat Cup Prix.

Dibuktikan lagi dengan kemampuan Farah Melina yang mesra dengan panggilan Putri itu meraih kejayaan, sekali gus keupayaannya menyaingi pula pelumba lelaki yang ada.


Untuk musim 2010, gadis yang petah berbicara ini menyertai saingan Honda Icon Challenge bagi Petronas Cub Prix dan selepas enam pusingan berlangsung dia kini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan mengutip 86 mata di belakang pendahulu, Hafizuddin Azahar (122 mata).

Musim ini adalah tahun paling cemerlang baginya apabila mampu berada di podium dalam empat perlumbaan dan paling membanggakan apabila dia mampu menjuarai pusingan keenam di Teluk Intan, Perak.

Putri sebenarnya memulakan karier sebagai pelumba motosikal apabila terbabit dalam perlumbaan Cabaran Honda Wave 125S pada 2008 ketika baru berusia 13 tahun dan mula menampakkan potensinya pada musim sulungnya apabila berjaya mencabar lelaki dan berakhir di tempat kesembilan secara keseluruhan.

Tahun berikutnya, dia menyertai pula kategori lebih mencabar, Wira epg dalam kancah Cup Prix bersama pasukan Lindungan Motor Honda Racing dan berjaya mengutip 13 mata untuk menduduki tempat ke-22 keseluruhan.

Menurut Farah, dia mula didedahkan kepada sukan perlumbaan motosikal oleh keluarganya apabila sering dibawa melihat beberapa perlumbaan yang pernah diadakan di negara ini.

"Saya masih ingat kali pertama dibawa menonton Motor Grand Prix di Sepang pada usia tujuh tahun dan ketika itu saya teruja melihat pelumba mengambil selekoh dan memecut motosikal masing-masing.

"Minat menjadi pelumba semakin memuncak selepas itu, terutama apabila kerap melihat perlumbaan mini bike di sekitar Negeri Sembilan dan Melaka hinggakan saya meminta ayah membelikan sebuah mini bike.

"Bagaimanapun, pada usia 10 tahun baru saya memiliki mini bike selepas dihadiahkan oleh keluarga kerana berjaya mencapai keputusan baik dalam peperiksaan. Sejak itu saya mula bertanding pada kejohanan mini bike dianjurkan Persatuan Mini Motor Negeri Sembilan di Dataran Senawang dan kemudian membawanya menyertai sebuah kelab iaitu Cilik Motorsports," katanya.

Ceritanya, selepas beberapa tahun menyertai kelab berkenaan baru dia dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu perlumbaan cup prix hinggalah kini mampu menempatkan diri sebagai pelumba digeruni.

Ditanya pula mengenai tanggapan masyarakat bahawa perempuan tidak sesuai membabitkan diri dalam perlumbaan motosikal, Farah menegaskan semua itu tidak sesuai lagi kerana gadis sepertinya juga mampu menyertai aktiviti lasak seperti itu.

"Tambahan pula, sukan ini tetap mementingkan aspek keselamatan, bukan perlumbaan jalanan atau perlumbaan haram yang bukan saja membahayakan diri sendiri tetapi juga orang ramai.

"Memang pembabitan saya dalam sukan ini mulanya mendapat bantahan saudara-mara, rakan dan guru sekolah tetapi sokongan keluarga memberi kekuatan kepada saya untuk membuktikan kemampuan diri," katanya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.

Mengenai masa depannya dalam sukan perlumbaan motosikal, Farah memasang impian bergelar pelumba wanita pertama bersaing pada MotoGP iaitu kejohanan motosikal peringkat dunia.

Menurutnya, masih banyak perlu dilakukan untuk mencapai tahap itu kerana bukan mudah merealisasikan impian terbabit, malah memerlukan komitmen jitu.
Ketika ini juga Farah terpaksa berehat selepas terbabit dalam kemalangan ketika latihan baru-baru ini dan memaksanya melupakan saingan pusingan ketujuh di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Jelasnya, selepas pulih dan diberi pelepasan untuk berlumba kembali, dia perlu menggandakan latihan bagi menggilap semula prestasi.

"Sekali pun terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan tangan kanan saya patah, ia tidak mematahkan semangat untuk kembali berlumba kerana ketika ini juga saat terbaik untuk meraih tempat terbaik keseluruhan," katanya.


>Profil
NAMA: Farah Melina Ismadi
UMUR: 15 tahun
LAHIR: 8 Mac 1995 di Senawang, Negeri Sembilan
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban
MULA BERLUMBA: 2008
IDOLA: Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Md Emir Firdaus Hassan dan Abd Muhaimin Roslan
PENCAPAIAN:
2009 - Wira epg (ke-22 keseluruhan)
2008 - Honda Wave-125S (kesembilan keseluruhan)

1 comment:

  1. Farah melina..... my smkputeri friend.... terbaikk lhaa you... chayorkk

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: