
“Saya malu jika kamu bawa TV ini keluar dari rumah saya. Saya malu kepada jiran-jiran dan sanggup mati kalau kamu masih mahu buat begitu,” kata warga emas itu yang dikenali sebagai Ammatanu, 76.
Ammatanu berkata, jika kakitangan MPSPK berkeras mahu merampas juga televisyen itu, mereka akan dapat berita buruk sebelum sempat sampai ke pejabat.
“Jika kamu nak ambil juga, cubalah! Sebelum kamu sempat sampai di pejabat, kamu akan dapat panggilan saya bakar diri sendiri di belakang rumah,” katanya kepada kakitangan MPSPK sambil turut disaksikan wartawan di rumahnya di Taman Kelisa Ria di sini, kelmarin.
“Saya juga akan tinggal nota, saya bunuh diri sebab malu kami ambil TV ini dari rumah saya hanya kerana cukai pintu,” katanya
Selepas beberapa ketika, Ammatanu berkata, pihak berkenaan bagaimanapun boleh mengambil televisyen itu jika anaknya masih gagal menjelaskan tunggakan dalam tempoh seminggu.
“Tolong beri tempoh seminggu. Kalau dia tak bayar juga, kamu nak ambil, ambillah,” katanya.
Ammanatu berkata, dia tidak main-main dengan ugutan itu, malah sememangnya berniat mahu bunuh diri jika pihak berkenaan tidak mempedulikan kata-katanya.
“Saya malu, saya sedih. Sembilan tahun saya simpan duit upah jaga budak untuk beli TV ini. Sekarang saya tinggal seorang diri walaupun ada sembilan anak. Hanya TV ini yang jadi teman saya. Kalau kamu nak ambil, lebih baik saya mati saja,” katanya.
Seorang kakitangan MPSPK memberitahu, pemilik rumah yang diduduki warga emas itu mempunyai baki tunggakan cukai pintu sebanyak RM1,529 dan sudah diberikan notis sejak April lalu. Pemilik rumah itu membayar RM700 dan menandatangani surat aku janji membayar baki tunggakan secara ansuran setiap bulan.
Namun aku janji itu diengkari menyebabkan pihak berkenaan mahu menyita harta yang sama nilai dengan tunggakan cukai itu.
“Dalam kes ini kita terpaksa bagi tempoh seminggu yang diminta kerana bimbang warga emas ini benar-benar membakar diri jika kita rampas televisyen di rumahnya,”katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: