Saturday, September 25, 2010

Amuk akibat teguran ibu mertua

KOTA BHARU – Seorang bapa mertua terkejut dengan tindakan menantunya yang merosakkan kereta di hadapan rumahnya di Kampung Pintu Geng, dekat sini.

Mohamed Idris, 61, berkata perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan oleh menantunya yang berumur 28 tahun itu disebabkan masalah dalaman keluarga iaitu berkaitan teguran daripada ibu mertuanya mengenai hubungan bersama anaknya.

Mohamed berkata, dia menyedari kejadian berkenaan kira-kira jam 11 malam pada Ahad lalu ketika berehat bersama cucunya di dalam rumahnya.

“Pada mulanya saya terdengar bunyi angin yang kuat dari laman luar rumah dan tidak mengendahkannya kerana mahu menonton berita di televisyen.

“Bagaimanapun, selepas beberapa minit terdapat dentuman yang kuat dan mendengar seperti kaca berkecai lalu saya bergegas menuju ke pintu utama memastikan apa yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Katanya, dia sangat terkejut kerana melihat menantunya yang bekerja sebagai pemandu di sebuah jabatan pakaian beruniform bersama seorang lagi kawannya memecahkan cermin keretanya.

“Saya melihat dia dan kawannya memecahkan cermin kereta dengan menggunakan kayu dan saya hanya mampu memerhatikannya sahaja kerana bimbangkan dia akan memasuki rumah dan mengapa-apakan saya.

“Setelah melihat keadaannya semakin melampau saya menghubungi pihak polis untuk datang menahannya bagaimanapun dia pergi meninggalkan tempat kejadian dengan begitu cepat,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu kerana bimbangkan keselamatan keluarganya.

“Saya sangat bimbang dengan kejadian itu kerana menantu saya ini dikatakan seorang yang pemarah dan pelbagai kemungkinan boleh berlalu sekiranya dia dibiarkan bebas termasuk keselamatan cucu dan anak saya yang tinggal bersamanya di Kuala Lumpur,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: