Saturday, September 25, 2010

Lima suspek dibawa ke Ladang Gadong



BANTING – Polis membawa lima suspek termasuk suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ke lokasi kejadian di Ladang Gadong, Tanjung Sepat dekat sini, semalam.

Empat suspek sebelum itu dibawa menaiki van polis, kira-kira jam 2 petang.

Suspek utama berusia 41 tahun itu pula tiba 30 minit kemudian dengan kenderaan polis, diiringi kereta lain yang bertindak mengawalnya.

Sebelum tiba di ladang, suspek dibawa ke firma guamannya di Jalan Kemboja off Jalan Sultan Alam Shah, Kira-kira jam 2.15 petang.

Bagaimanapun, suspek tidak dibawa masuk ke firma guaman itu tetapi hanya menunjukkan petak meletak kenderaan di hadapan firma tersebut dan Unit Forensik mengambil gambar di kawasan berkenaan sebelum beredar ke ladang.

Semua suspek dilihat berpakaian lokap berwarna oren, manakala suspek utama, memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Polis membawa suspek ke firma guaman yang terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, dan ladang milik suspek itu, dipercayai untuk mencari lebih banyak bahan bukti selain menjalankan siasatan lanjut.

Empat kenderaan Unit Forensik termasuk sebuah pacuan empat roda, turut dilihat memasuki ladang milik suspek utama itu.

Tindakan tersebut mungkin ada kaitan dengan kertas siasatan pembunuhan kejam ini yang dihantar Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, dipulangkan semula oleh pejabat Peguam Negara Rabu lalu.

Sepanjang Unit Forensik dan suspek-suspek berada di ladang ternakan milik salah seorang suspek itu, polis mengawal ketat tempat berkenaan dan berada kira-kira 600 meter dari kawasan ladang berkenaan.

Pihak media tidak dibenarkan melepasi tempat polis berkawal di hadapan sebuah kuil Hindu di Ladang Gadong itu.

Jalan memasuki tempat kejadian ditutup sementara untuk kerja penyiasatan.

Semua suspek dibawa keluar dari kawasan ladang berkenaan selepas hampir empat jam di situ.

Sebelum ini, polis menemui jam tangan, tulang-tulang, pisau dan zink di Sungai Panchau, Sungai Kanchong Laut dan Sungai Gelanggang Buaya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan Sosilawati.

Kelmarin, polis meneruskan kerja menyelam di kunci air Pekan Banting selepas Unit Skuba, Pasukan Gerakan Marin menemui gelang emas di kunci air Kampung Sungai Lang di sini, Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: