Tuesday, September 7, 2010

Restoran Jom Makan Memperkenalkan Jenama Malaysia Di Luar Negara...

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menunjukkan tanda bagus sambil memegang teh tarik ketika mengunjungi Restoran Jom Makan di Westfield, London. Di kiri ialah Pengarah Urusan Jom Makan UK, Zuhri Abdullah.

DIA berkelulusan dalam bidang kejuruteraan kimia tetapi Mohd Zuhri Abdullah membuktikan bahawa seorang usahawan yang inovatif mampu melaksanakan apa jua perniagaan dan cabaran yang diberikan kepadanya dan dalam kes dirinya membuka serta menguruskan sebuah restoran berjenama Malaysia di pentas dunia.

Zuhri, 50, menyahut cabaran untuk membangunkan prototaip Restoran Jom Makan di Pall Mall Trafalgar Square, London selepas Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bersetuju dengan konsep perniagaan ala francais di bawah jenama Jom Makan ini diperkenalkan di luar negara.

Kini projek tersebut diletakkan di bawah pengawasan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sebagai agensi yang membangunkan produk francais.

Sebagai Pengarah Urusan Jom Makan UK, Zuhri membelanjakan dengan teliti geran yang diperolehi daripada PNS untuk membuka prototaip Restoran Jom Makan di kawasan berprestij Pall Mall, Trafalgar Square London pada Jun 2008.

Restoran Jom Makan di Westfield, London sentiasa penuh dengan pelanggan tempatan dan juga rakyat Malaysia.

Pengalaman belajar di UK untuk sekian lama telah digunakan sepenuhnya oleh anak kelahiran Kedah ini membangunkan outlet Restoran Jom Makan yang kedua di pusat membeli belah paling popular dan terbesar di Eropah iaitu Westfield Shopping Mall, London, pada Oktober tahun lalu.

Pusat membeli-belah ini dikunjungi 22 juta pelawat pada tahun pertama ia dibuka dan pada tahun ini sahaja ia telah menerima kunjungan tidak kurang daripada 25 juta pengunjung.

Bayangkan berjuta mata berpeluang melihat sebuah restoran berjenama Malaysia di tengah-tengah kawasan berprestij di kota London.

Dan pada 30 September ini, dengan rangkaian yang beliau miliki di London, Zuhri akan membuka outlet Restoran Jom Makan yang ketiga di UK iaitu di Universiti Loughborough, tidak jauh dari London, yang akan menjadi kampung kontinjen pasukan Olimpik British dan Jepun pada tahun 2012 nanti.

Outlet Jom Makan di Universiti Loughborough, UK.

Universiti Loughborough telah dinamakan sebagai ‘University of the Year’ bagi tahun 2008/09 oleh akhbar Sunday Times.

Zuhri dalam wawancara eksklusif dengan Mingguan mStar di pejabatnya baru-baru ini di pinggir Kuala Lumpur berkata, kejayaan membuka outlet di Westfield adalah merupakan pencapaian peribadinya yang paling membanggakan kerana Restoran Jom Makan menjadi satu-satunya jenama Malaysia yang beroperasi di sebuah pusat membeli belah bertaraf dunia di Eropah.

Dengan kejayaan itu, katanya, Jom Makan akan membuka sebuah lagi outlet iaitu yang keempat, juga di sebuah lagi pusat membeli belah Westfield kali ini di luar kota London iaitu di perkampungan Sukan Olimpik Stratford pada tahun 2011 iaitu setahun sebelum Sukan Olimpik bermula.

Sehingga kini, kata Zuhri, outlet Restoran Jom Makan Pall Mall dan Westfield London telah dikunjungi lebih 175,000 pengunjung yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Eropah yang teruja dengan keunikan masakan Malaysia.

Mereka ini katanya diharap menjadi ‘duta’ Jom Makan dan berkunjung ke Malaysia suatu hari nanti.

“Apa yang telah kita lakukan menerusi konsep Restoran Jom Makan ini merupakan kisah kejayaan jenama gastronomik negara di luar negara dan bayangkan apabila dua buah outlet Jom Makan beroperasi di perkampungan Olimpik iaitu di Universiti Loughborough dan Pusat Membeli-belah Westfield yang baru di Stratford yang akan beroperasi tahun depan yang juga merupakan tempat berlangsungnya Sukan Olimpik 2012.

“Impak yang akan ditinggalkan menerusi Restoran Jom Makan kepada industri pelancongan negara dan juga jenama makanan Malaysia menjelang Sukan Olimpik London nanti sangat besar kesannya kerana restoran kita berada di dua kawasan strategik berlangsungnya sukan Olimpik iaitu Universiti Loughborough dan juga Westfield Stratford,” ujar Zuhri.

Malah katanya, inilah buat pertama kalinya juga sebuah restoran makanan Malaysia milik Malaysia berjaya menembusi universiti UK.

Restoran Jom Makan di Universiti Loughborough akan dibuka pada penghujung bulan ini.

Di Loughborough, jelas Zuhri, Restoran Jom Makan di tempatkan di bangunan Kesatuan Pelajar yang menjadi tempat tumpuan dan perhimpunan para pelajar universiti berkenaan.

Buat masa ini, terdapat lebih 25,000 pelajar di universiti tersebut yang berpeluang merasai dan menikmati makanan Malaysia di Restoran Jom Makan.

Malah pembukaan Restoran Jom Makan Universiti Loughborough pada hujung September ini jatuh pada minggu suaikenal pelajar baru yang berjumlah 5,000 orang dan kesemua mereka akan dibekalkan dengan buku panduan mengenai kewujudan Restoran Jom Makan dengan kerjasama Kesatuan Pelajar Loughborough.

Menu Restoran Jom Makan antara lain menawarkan sate, nasi lemak, rendang daging, kway teow goreng, ayam percik, nasi ayam hainan, nasi goreng, nasi beriyani, gado-gado, mee hailam, mee goreng, mee kari dan sambal udang tumis.

Malah teh tarik yang menjadi simbol minuman rakyat Malaysia turut disediakan di Restoran Jom Makan.

Menurut Zuhri, Restoran di Universiti Loughborough akan beroperasi tujuh hari seminggu dan dibuka dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun, dengan tiga rangkaian restoran dan lebih 70 staf di bawah pengurusannya, jurutera kimia dari Universiti Surrey ini nampaknya mempunyai formula kejayaan bagaimana mengurus dan menjenamakan Malaysia di persada antarabangsa. Syabas Zuhri!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: