Tuesday, September 7, 2010

Calvin Thoo Ringkas Tapi Anggun

Lapisan fabrik sutera dan sifon bertatahkan batu permata membuatkan busana tampil mewah.

KESEDERHANAAN menjadi tema koleksi Calvin Thoo sempena Hari Raya tahun ini, dengan lebih 30 rekaan eksklusif sedia dipakai sesuai untuk muslimah bergaya anggun dan bercitarasa tinggi.

Meski bersiluet ringkas namun pilihan fabrik dan rona menyerlahkan himpunan pereka fesyen selebriti tanah air ini yang diinspirasikan sepenuhnya daripada keindahan warna-warna pelangi.

Bagi menghidupkan rekaannya (kebanyakannya berlatar fabrik polos), Calvin bijak memanipulasi teknik sulaman tangan dan jahitan manik-manik berwarna-warni sekali gus mewujudkan kesan tiga dimensi (3D) pada koleksi terkininya.

Kaftan mengikut potongan susuk sentuhan eksklusif Calvin Thoo.

Malah pilihan fabrik polos berkualiti tinggi crepe termasuk jenis Itali, renda Perancis, sifon dan sutera memainkan peranan penting untuk memberi impak mewah pada setiap rekaan beliau.

Calvin juga amat cerewet tentang lapik (lining) apabila menghasilkan rekaan sempena Aidilfitri dengan mengambil kira aspek praktikal terutama untuk wanita Melayu yang mementingkan kesopanan sewaktu berkunjung ke rumah sanak saudara.

Walaupun baru enam tahun setengah menceburi industri fesyen negara tetapi Calvin cukup matang dan berpengetahuan apabila ditanya mengenai protokol atau garis panduan menghasilkan busana muslimah yang mampu menepati selera semua wanita.

Motif bunga tetap menjadi pilihan klasik untuk Hari Lebaran.

Sebab itulah beliau tidak membiarkan rekaannya kelihatan jarang, bahagian baju kurung pastinya labuh, jika kebaya atau kurung pendek sekurang-kurangnya melepasi pinggul termasuk beberapa rekaan berleher tinggi untuk muslimah bertudung.

Justeru rekaan Calvin bukan sekadar untuk memenuhi jemputan rumah terbuka biasa-biasa sahaja malah amat cocok sekali jika digayakan ketika menghadiri jamuan VIP, majlis rasmi dan berprotokol untuk kerabat diraja.

“Pilihan warna sudah tentu lebih kepada pastel, rona-rona lembut dan selesa,” katanya yang banyak memilih merah jambu lembut untuk koleksi terbarunya.

Sulaman bunga dan kemeki mewujudkan kesan 3D pada siluet ringkas.

Setelah menampilkan kepelbagaian baju kurung pendek klasik dan moden pada 2009, tahun ini Calvin mengetengahkan siluet eksklusif bagi kaftan pula.

“Kaftan memang popular sejak baru-baru ini tetapi kebanyakannya diberikan gaya potongan bebas. Jika tidak kena gaya, kaftan itu akan menampakkan tubuh pemakai lebih besar dari yang sepatutnya.

“Setiap rekaan saya mempunyai gaya potongan tersendiri yang menyerlahkan keanggunan susuk tubuh si pemakai. Untuk memastikan kesempurnaan busana itu juga, pemilihan fabrik dan jenis siluet amat penting bagi saya,” ujar Calvin lagi.

Nostalgia Aidilfitri lampau berelemen moden.

Beliau sempat menasihati wanita agar memilih baju kurung bersesuaian khasnya di musim perayaan ini bagi mengelak pakaian terlalu meriah sehingga menenggelamkan personaliti individu tersebut.

Himpunan busana Lebaran Calvin ditawarkan pada harga bermula RM2,500 hingga RM4,500 sepasang. Koleksi terbaru beliau boleh didapati di butik Calvin Thoo di Tingkat 4 pusat membeli-belah Lot 10, Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: