Monday, September 6, 2010

Melodi Raya 2010 tampil kelainan baru


SEBAHAGIAN daripada artis yang terlibat pada rakaman episod pertama Melodi Raya 2010.


SETIAP tahun, program ini bagaikan santapan wajib yang harus dinikmati oleh penonton setia TV3 yang sentiasa menantikan cerita sensasi menerusi rancangan popular ini.

Sudah menjadi kelaziman bagi TV3 menyiarkan program Melodi Raya yang pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat program berita hiburan terulung negara itu.

Satu yang harus dipuji apabila Melodi Raya sering kali tampil dengan konsep berbeza setiap tahun sekali gus meletakkan rancangan ini dalam kelasnya tersendiri.

Jika dua tahun lalu, Melodi Raya memilih mengadakan rakaman di lokasi luar tetapi untuk Melodi Raya 2010, pihak produksi sepakat untuk kembali merakamkan program itu secara dalaman (indoor).

Tahun ini, Dewan Tun Hussein Onn yang terletak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi rakaman Melodi Raya 2010 yang ternyata membangkitkan suasana kemeriahan Syawal itu sendiri.

Menjelaskan rasional pemilihan PWTC sebagai lokasi, penerbit Melodi Raya 2010, Azman Abdol Ghafar memberitahu, semuanya ada kaitan dengan pengisian yang cuba ditampilkan menerusi program sensasi itu.

Jelas Azman, episod pertama Melodi Raya 2010 akan menampilkan persembahan artis dari lima generasi yang berbeza iaitu tahun 60-an, 70-an, 80-an, 90-an hinggalah yang terkini.

"Kami sengaja memilih konsep ini kerana mahu penonton Melodi tahu bahawa sebenarnya industri muzik kita mengalami revolusi yang sangat ketara.

"Tidak cukup dengan itu, artis-artis yang kami pilih itu kemudiannya digabungkan di atas pentas dan masing-masing akan berduet menerusi lagu popular masing-masing.

"Bukan itu sahaja, kami juga menjemput artis-artis yang pernah popular satu ketika dulu untuk muncul kembali dalam program ini.

"Setidak-tidaknya, ia mampu mengembalikan nostalgia buat peminat yang pernah mengikuti perkembangan karier mereka satu ketika dulu," ujar penerbit berusia 37 tahun ini lagi.

Ditambah pula dengan rekaan set yang ditampilkan di dalam dan luar dewan tersebut sudah cukup menjelaskan Melodi Raya 2010 bakal memberikan sesuatu yang istimewa kepada penonton.

Menjelaskan hal itu, Azman tanpa berselindung memberitahu, kos keseluruhan Melodi Raya untuk episod pertama sahaja menelan belanja sekitar RM150,000.

"Demi penonton, kami tidak kisah mengeluarkan kos yang lebih kerana kami mahu mereka mendapat sesuatu daripada Melodi Raya 2010.

"Bukan itu sahaja, kami harus mengucapkan terima kasih kepada PWTC yang telah sudi menaja lokasi Melodi Raya 2010 yang sedikit sebanyak berjaya mengurangkan sedikit kosnya," jelasnya yang sudah merancang konsep tersebut sejak empat bulan yang lalu.

Antara artis lama dan baru yang mewarnai episod pertama Melodi Raya 2010 dengan persembahan mereka ialah Datuk A. Rahman Hassan, Datin Azizah Mohd., Latif Ibrahim, Noreen Noor, Aman Shah, Datuk Jeffrydin, Ramlah Ram dan Saleem.

Tidak ketinggalan kumpulan Nico, Hattan, Dayang Nurfaizah, Zamani, kumpulan Raihan, Tomok, Lan Kristal, Shila, Stacy, Hafiz Suip, Azlan & The Typewriter (ATT) dan juara Mentor 4, Mohd.

Memang cukup menarik melihat kombinasi artis generasi baru dan lama seperti gandingan Azizah Mohd. dan Shila yang menyampaikan lagu Syurga Idaman serta Selamat Hari Raya.

Begitu juga dengan kemunculan Noreen Noor yang berduet dengan Hafiz menerusi lagu Jika Sayang Kata Sayang.

Gandingan mantap Saleem dan ATT untuk lagu Suci Dalam Debu dan Trilogi Cinta antara yang menarik perhatian pada rakaman itu.

Namun, kemunculan dua bintang ternama negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain ternyata memberi impak kepada Melodi Raya 2010 kerana kedua-dua penyanyi itu jarang sekali muncul dalam program tahunan itu.

Pada rakaman itu, Siti telah menyampaikan lagu yang menjulang namanya iaitu Jerat Percintaan dan lagu raya popularnya, Sesuci Lebaran.

Manakala Anuar pula menghiburkan tetamu dengan kemantapan vokalnya menerusi lagu Ketulusan Hati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: