Monday, September 6, 2010

Bercuti berdua ke Amerika


QUE dan Linda sakan menggayakan puterinya, Ratu sempena hari raya ini.


KETIKA ini, puteri sulung kesayangan pasangan selebriti popular ini sudah tumbuh enam batang gigi. Dia juga sudah pandai berdiri sendiri.

Baru berusia 10 bulan, kehadiran Tengku Ratu Haidar yang merupakan buah hati kepada Que Haidar, 31, dan Linda Jasmine, 38, ini sentiasa memberi keceriaan dalam kehidupan seharian mereka.

Anak lelaki Linda pula, Qalif Khan, 10, semakin hari semakin rapat dengan bapa tirinya umpama rakan baik.

Namun, di sebalik keakraban mereka anak beranak, guru tari terkenal dan pelakon popular itu akan berpisah dengan mereka selama dua minggu pada hari raya ini.

Bakal terbang ke Amerika Syarikat (AS) pada minggu raya kedua, Que dan Linda akan menghabiskan cuti dua minggu di negara Uncle Sam itu tanpa anak-anak.

Menurut aktor yang kini sibuk menjadi guru lakonan, dia dan isterinya memilih untuk bercuti pada musim cuti hari raya dan meninggalkan anak-anak mereka kerana sudah lama merancang percutian itu.

"Selepas kami bernikah, Linda mengandungkan Ratu. Kemudian kami sibuk dengan pelbagai program, hanya sekaranglah waktu yang kami sama-sama tidak ada urusan apa-apa.

"Malah, selepas balik dari Amerika nanti, Linda akan terus sibuk dengan program terbaru Astro dan saya pula akan sibuk dengan kelas-kelas saya," jelas Que mengenai percutian yang sudah lama dirancang itu.

Que pada masa yang sama tidak menolak percutian dia dan isteri tercinta boleh diibaratkan sebagai percutian bulan madu mereka.

"Semenjak berkahwin kami tidak pernah lagi bercuti berdua. Kebetulan Amerika kampung Linda. Dia merancang untuk membawa saya berjalan-jalan dan ke rumah abang dan kakaknya di sana.

"Bukan tak mahu bawak anak-anak sekali, tetapi banyak urusannya. Anak-anak kami akan dijaga oleh ibu bapa Linda ketika kami di sana.

"Sudah tentu kami akan rindu dengan anak-anak kami nanti ketika di sana. Tetapi ini sahajalah waktu yang terbaik memandangkan selepas ini masing-masing akan sibuk," ujar Que ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjuran Linda Jasmine Studio di Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah Que, ini merupakan percutian pertamanya ke negara itu walaupun pernah mendapat hadiah percutian di sana sebanyak dua kali kerana memenangi anugerah di Anugerah Skrin TV3 suatu ketika dahulu.

Pada ketika itu dia menolak hadiah itu kerana sudah berniat untuk mengikuti isterinya pulang ke kampung halamannya.

Diajak bercerita mengenai sambutan Aidilfitri yang akan disambut hujung minggu ini, Que berkata, lebaran tahun ini paling sayu baginya.

Ini kerana sambutan raya kali ini akan diraikan oleh anak kelima daripada 10 orang beradik itu tanpa keluarga terutama ibu tercinta.

"Tahun ini saya dan Linda sepakat untuk menyambut raya pertama bersama keluarga sebelah Linda yang berada di Kuala Lumpur kerana tahun sudah kami beraya di rumah keluarga saya di Johor," cerita Que.

Menyambung perbualan, Que dan Linda juga pada awalnya merancang untuk pulang ke Johor pada hari raya kedua atau ketiga sebelum berlepas ke AS.

Bagaimanapun, keluarga Que sudah dulu merancang untuk ke Kedah bagi meraikan majlis perkahwinan saudaranya di sana.

"Saya tidak pernah menyambut hari raya tanpa ibu saya sebab saya memang manja dengannya. Namun, saya sudah punya keluarga sendiri dan ada tanggungjawab baru.

"Saya sudah maklumkan pada emak dan dia faham. Tetapi adik beradik saya ada menyebut mereka yakin saya tidak akan tahan beraya di Kuala Lumpur dan pasti balik kampung juga nanti," ujarnya disertai gelak kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: