Monday, September 6, 2010

Mencari sekolah gajah Way Kambas


PARA pengunjung diberi peluang menaiki gajah di Way Kambas, Lampung.


semasa mengadakan jelajah ke Lampung, penulis membulatkan tekad untuk mencari sekolah berkenaan walaupun ada yang mengatakan kedudukannya agak jauh di dalam hutan.

Maklumat yang diperolehi daripada petugas hotel tempat penulis menginap menunjukkan perjalanan ke Way Kambas hanya mengambil masa kira-kira dua jam sahaja.

Setelah bertanya kepada orang ramai, penulis disarankan mengambil jalan ringkas tetapi jaraknya lebih jauh berbanding jalan singkat yang mempunyai banyak persimpangan yang mungkin menyebabkan penulis sesat.

Selepas dua jam memandu, papan tanda Way Kambas mula dilihat. Namun segala-galanya tidak semudah yang disangkakan. Bagi meneruskan perjalanan penulis bertanyakan panduan orang ramai dan mereka memberi pelbagai arahan menunjukkan mereka sendiri belum pernah ke Way Kambas.

Oleh kerana tidak mempunyai pilihan terpaksa juga diikuti panduan yang diberikan, daripada jalan yang sempit, berliku, menaiki bukit, menuruni bukit, sampailah jalan yang hancur atau rosak sama sekali penulis tempuhi.

Bukannya sekolah gajah yang penulis temui, tetapi Kota Gajah iaitu sebuah pekan kecil di kawasan berkenaan. Rupa-rupanya kebanyakan orang Lampung sendiri tidak arif tentang kedudukan destinasi pelancongan yang mereka sendiri miliki.

Kalau mengharap papan tanda pula, bolehlah dilupakan sama sekali, kerana ia hampir-hampir tidak ada.

Ketika keluar dari hotel jam menunjukkan pukul 10 pagi, sepanjang perjalanan pula hujan seolah-olah tidak mahu berhenti. Ketika jam menghampiri pukul 4.30 petang penulis terpandang sekilas sebuah papan tanda kecil yang telah berkarat, lalu penulis berpatah balik untuk membacanya dan memang tepat sekali papan kecil usang nan berkarat itu menunjukkan arah ke Way Kambas.

Pukul 5 petang penulis sampai di Sekolah Gajah Way Kambas. Tentulah ketika itu sekolah berkenaan telah tutup kepada pengunjung, tetapi oleh kerana rayuan dan sedikit tip, penjaga itu membenarkan penulis masuk bersama keluarga.

Sekali lagi kami berteriak kegirangan sambil melalui jalan yang tidak berturap dan membelah rimba. Semakin jauh ke dalam rimba kami sekeluarga semakin diam mungkin kerana mula terasa khuatir apa yang bakal ditempuhi di dalam rimba ketika suasana semakin kelam dan hujan renyai berterusan.

Setelah penulis hampir memutuskan untuk berpatah balik, tiba-tiba kelihatan pintu gerbang Pusat Latihan Gajah Way Kambas. Ketika sampai penulis lihat ada beberapa orang yang lengkap dengan senjata menjaga kawasan berkenaan.

Selepas berbual singkat dengan mereka penulis meminta kebenaran untuk mengambil gambar dan menunggang gajah. Setidak-tidak dapat melengkapkan perjalanan hari itu yang akhirnya berjaya menemui pusat latihan yang ditubuhkan pada tahun 1985 dan mempunyai 290 ekor gajah itu.

Gajah-gajah ketika itu dilatih untuk menyelamatkan gajah liar, tetapi kini hanya digunakan untuk pertunjukan dan kajian sahaja.

Untuk maklumat orang ramai yang mahu ke sana mereka mempunyai banyak pilihan sama melalui jalan Bandar Lampung-Metro-Way Jepara menggunakan kereta sekitar dua jam dengan jarak 112 kilometer.

Satu lagi laluan yang boleh digunakan adalah melalui jalan Branti-Metro-Way Jepara sekitar satu jam 30 minit menempuh jarak kira-kira 100 kilometer atau melalui Jalan Bakauheni-Panjang-Sribawono-Way Jepara sekitar tiga jam atau jarak 170 kilometer dan satu lagi adalah melalu Jalan Bakauheni-Labuan Meringgai-Way Kambas mengambil masa dua jam.

Lampung belum lagi mesra pelancong. Walaupun mempunyai banyak destinasi pelancongan yang cukup menarik, tetapi jalan raya yang tidak dijaga dan kurangnya papan tanda menjadi masalah utama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: