Saturday, September 25, 2010

Keriangan menghadap Selat Melaka


PELBAGAI permainan pantai dan rekreasi akuatik boleh dicuba bagi menambah keseronokan percutian di Permaisuri Resort.


SEBUT sahaja nama Port Dickson, Negeri Sembilan pastinya ramai yang membayangkan keindahan pantainya yang mempesonakan.

Tidak hairanlah, setiap minggu, beberapa kawasan popular seperti Batu 4, Teluk Kemang dan Tanjung Biru (Blue Lagoon) sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung yang bermandi-manda atau sekadar berkelah.

Bagi yang mahu bermalam, terdapat puluhan hotel dan resort berstatus dua hingga lima bintang yang boleh dijadikan pilihan penginapan.

Salah satu daripadanya ialah Permaisuri Resort. Dibuka pada November tahun lalu, resort yang semakin mendapat tempat di hati pengunjung itu barangkali mampu merealisasikan impian percutian idaman para pelibur.

Sesuai dengan keindahan namanya, Permaisuri Resort adalah sebuah destinasi percutian yang menyeronokkan buat ahli keluarga mahupun teman-teman.

Berhadapan dengan ketenangan Selat Melaka, hamparan pantainya bersih dan jauh dari hiruk-pikuk kenderaan. Keadaan sebegitu benar-benar mengajak pengunjung beristirehat dalam suasana tenteram.


UNIT penginapan yang mempunyai ruang luas ini memberi keselesaan maksimum.


Resort ini juga cukup istimewa memandangkan lokasinya yang terletak berdekatan dengan Hutan Simpan Tanjung Tuan yang terkenal dengan keunikan flora dan faunanya.

Alangkah bertuah dapat menginap di resort yang kesemua unit penginapannya menghadap Selat Melaka itu. Dikelilingi elemen seni bina desa Melayu dan kontemporari, tetamu Permaisuri Resort tentu akan menghargai bunyi ombak, desiran angin dan juga suara keriangan para tetamu lain di halamannya.

Harga istimewa

Terdapat kira-kira 100 unit bilik yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti studio, apartmen satu bilik, apartmen tiga bilik, apartmen VIP dan VVIP yang begitu eksklusif dengan harga di antara RM250++ hingga RM750++ semalam. Jika anda merupakan kakitangan kerajaan, terdapat harga istimewa yang ditawarkan.

Setiap jenis bilik dilengkapi kemudahan pendingin hawa, peti ais mini, kelengkapan membuat teh dan kopi, televisyen satelit dan akses WiFi percuma.

Jika ingin menjana stamina, gimnasium boleh dikunjungi. Kanak-kanak pula pasti mahu segera ke taman permainan kanak-kanak. Bagi yang mahu menunaikan ibadah, surau turut disediakan.


ACARA hiburan yang mendebarkan menjadi santapan tetamu ketika menikmati makan malam.


Jika perut terasa lapar, pengunjung boleh mengatur langkah ke Samudera Coffee House, Bole Bole Beach Cafe dan Bayu Lounge untuk menikmati pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa yang lazat dan menyelerakan.

Sambil menikmati hidangan yang dipesan, pengunjung juga boleh berkaraoke dan menikmati persembahan kebudayaan yang diadakan pada setiap minggu.

Bagi mereka yang gemarkan aktiviti pantai atau berkaitan dengan laut, terdapat juga pelbagai jenis sukan air yang boleh dicuba termasuklah jet ski.

Pengunjung juga boleh berkayak, menyusuri pantai dengan menaiki kenderaan pelbagai permukaan (ATV), menaiki banana boat atau sekadar bermain bola sepak atau bola tampar pantai yang mengasyikkan.

Selain kolam renang yang luas dan selesa untuk seisi keluarga, turut disediakan empat gelanggang badminton ataupun boleh dijadikan gelanggang sepak takraw untuk keselesaan pengunjung.

Aktiviti hujung minggu pula pastinya menjanjikan hiburan yang tidak dapat dilupakan oleh pengunjung. Antaranya ialah pertunjukan api oleh Red Indian, tarian kebudayaan 1Malaysia, lawak jenaka daripada badut dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: