KALI pertama menyebut namanya, agak janggal kedengaran di telinga kerana pelbagai tanggapan disogok. Bukan sahaja tidak tahu maksudnya, malah kedudukannya juga dianggap terlalu asing lantaran terletak jauh di pedalaman.
Walau apa jua tanggapan diberikan, destinasi ke Homestay Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan terselit sebagai salah satu aturcara wajib sempena ASEAN Amazing Youth Explorace 2010.
Tanggapan pertama penulis sebelum menjejakkan kaki ke Kampung Lonek adalah ia tidak ubah seperti kampung-kampung lain yang terdapat di negara ini. Mana mungkin suasana kampung di Malaysia berbeza, itu yang difikirkan.
Apakah keistimewaan Lonek? Soalan itu perlu dicari jawapannya dan tetamu seperti penulis dan peserta rombongan yang lain mungkin boleh menemukannya sepanjang program penginapan selama tiga hari dua malam di homestay tersebut.
Rombongan pada awal Ogos lalu ke Kampung Lonek turut disertai 30 orang remaja wakil ASEAN dari Myanmar, Brunei, Laos, Vietnam, Singapura, Indonesia, Kemboja dan Malaysia.
Melintas laluan masuk ke desa tersebut, pemandu sempat menunjukkan kami sebuah rumah tradisional yang pernah dijadikan set penggambaran filem Waris Jari Hantu. Wah, hebat juga kampung ini, detik hati penulis.
Ketibaan yang disambut paluan kompang membuatkan sekalian tetamu merasakan diri seolah-olah orang kenamaan yang diraikan dalam majlis besar.
Semasa berkumpul di dewan orang ramai kampung itu, para peserta dan penulis sendiri dihidangkan dengan sejenis minuman penyegar badan iaitu air kelapa dicampurkan dengan gula nira. Warnanya keperangan dan rasanya agak enak.
Seusai sesi perkenalan, para peserta diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Penulis berasa sungguh bertuah kerana telah diserahkan dalam jagaan Badariah Ahmad yang merupakan pengerusi homestay.
Pada hari pertama, pengisian bermula dengan senaman pagi dan kemudiannya kami bersarapan beramai-ramai di atas tikar dengan keluarga angkat masing-masing.
Menoreh getah
Pada ketika itu, penulis masih belum merasakan perbezaan kerana sudah terbiasa dengan pengalaman seperti itu sebelum ini. Selepas selesai bersarapan, kesemua peserta dibawa ke ladang untuk menoreh getah.
Bagi sesetengah orang, mungkin ia pengalaman baru kerana bukan senang hendak melihat pokok getah ditengah-tengah hutan konkrit di bandar-bandar besar.
Di ladang getah itu, para peserta masing-masing dapat menyaksikan siapa yang kekok menggunakan alatan menoreh dan yang mana pula yang mempunyai 'bakat' secara semula jadi.
Menjelang tengah hari, kesemua peserta dibawa ke salah satu tapak bersejarah iaitu Teratak Za'ba di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir diikuti lawatan ke kolam ternakan ikan keli.
Dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menyegarkan diri dan berehat, penulis masih tertanya-tanya apa istimewanya Homestay Kampung Lonek?
Kemesraan penduduk
Akhirnya jawapan tersebut diperolehi sejurus sesi aturcara sebelah petang bermula.
Keseronokan sebenar di homestay itu jelas dapat ditafsirkan melalui pengamatan penulis ketika beramah mesra bersama penduduknya.
Melalui seorang penduduk Nor Asiah Haron, 48, atau lebih dikenali sebagai Ibu Asiah, tarikan di Kampung Lonek terserlah melalui keramahan penduduknya.
Katanya, satu hari sudah cukup untuk memastikan setiap peserta atau anak angkat itu merasakan dirinya seperti sudah lama mengenali hati budi penduduk ataupun keluarga angkat masing-masing.
"Baru satu hari kenal bagai satu tahun, masyarakat di sini cukup peramah," celoteh Ibu Asiah yang menambah bahawa keunikan kampung tersebut turut diserlahkan dengan pelbagai masakan tradisi yang enak-enak terutamanya masak lemak ikan keli.
Bagi Zaharah Abdul Aziz, 48, pula keistimewaan Lonek terletak kepada kebudayaannya yang unik. Lagu-lagu tradisi Negeri Sembilan seperti bongai yang diiringi rentak muzik cak lempong, tarian endang dan tarian lilin merupakan hidangan wajib untuk para peserta yang hadir.
"Tidak rugi untuk belajar kebudayaan orang lain kerana ilmu yang diperolehi itu berbaloi. Barulah kita tahu betapa kaya kebudayaan di tempat sendiri," terangnya mesra.
Mengimbau kembali bagaimana Homestay Kampung Lonek dibuka Badariah berkata, ia mula beroperasi pada Disember 2004 dan merupakan homestay kedua di Negeri Sembilan.
Homestay tersebut bermula sebagai satu program khidmat masyarakat yang menempatkan pelajar-pelajar dari luar negara untuk menikmati suasana kampung. Di situ, mereka didedahkan dengan budaya warisan bangsa termasuk pengetahuan mengenai asal-usul institusi kemasyarakatan.
Menurut Badariah yang sudah lima tahun mengambil alih jawatan tersebut, industri homestay dilihat mampu membantu orang kampung kerana banyak bantuan telah diperolehi.
Adat Perpatih
Menurutnya, kesemua aktiviti yang dijalankan di kampung tersebut relah disusun supaya boleh memberi pengetahuan dan pengalaman kepada pelancong mengenai cara-cara hidup negeri yang mengamalkan Adat Perpatih itu.
"Tentang nama Lonek pula, ia berasal cantuman 'lo' iaitu daripada perkataan kualo (kuala) dan 'nek' iaitu sejenis pokok dikenali sebagai sempunek yang ditanam di kuala sungai di kampung tersebut.
"Kampung ini dibuka sekitar kurun ke-19 dan kini mempunyai penduduk seramai 560 orang dengan keluasan tanah 504 hektar dengan pecahan 250 merupakan lelaki dan bakinya sebanyak 310 orang terdiri daripada kaum wanita," jelas Badariah.
Dengan moto Sehari di Kampung Tradisi, kampung itu kini telah menerima lebih daripada 5,000 orang peserta tempatan dan 1,375 peserta luar negara.
Bagi Ramli Abd. Hamid, 72 yang merupakan Ketua Kampung Lonek, segala kemudahan yang dimiliki kini merupakan hasil usaha sama semua penduduk kampung.
Ramli menerangkan, tanpa komitmen semua pihak untuk menjayakan program homestay itu tidak mungkin Lonek akan dikenali sehingga hari ini sebagai salah satu destinasi homestay wajib dilawati.
"Kami kini mampu berdiri sama tinggi dengan arus kemodenan yang ada. Tanpa program homestay, mana mungkin masyarakat luar akan mengenali gaya hidup kami disini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: