Friday, September 24, 2010

Kemudahan IT warga desa


PUSAT Jalur Lebar Komuniti Tanjung Sepat penanda aras celik teknologi maklumat penduduk di kawasan itu.


"PROSES menyiapkan tugasan menjadi mudah dengan wujudnya Pusat Internet Desa (PID) di kampung saya. Sepanjang tempoh cuti semester saya tidak perlu berulang-alik ke siber kafe yang terletak di Pekan Banting.

"Semua kemudahan Internet, komputer dan mesin cetak disediakan di PID. Suasana dalamannya juga selesa dan ia terletak berhampiran rumah saya," ujar Nor Azlan Kasirin, 28, bangga kerana Kampung Tanjung Sepat mempunyai PID untuk kegunaan pelajar dan penduduk kampung.

Graduan ijazah Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menjelaskan, dengan tertubuhnya pusat Internet itu sejak tujuh tahun lalu, secara tidak langsung para penduduk kampung berpeluang meneroka kehebatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Apatah lagi, ia adalah pusat ICT pertama yang seumpamanya dibina di kampung tersebut.

"Di PID ini saya mula belajar menghasilkan laman web sendiri. Ia merupakan satu pengalaman yang hebat kerana segala informasi, berita, isu semasa dan perihal dalam serta luar negara dapat diperoleh di hujung jari," jelas Norazlan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Politeknik Banting, Selangor.

Peluang warga emas

Tidak hanya tertumpu kepada generasi muda, warga emas di kampung itu turut tidak ketinggalan merasai teknologi dunia tanpa sempadan tersebut. Bagi Kasirin Selamat, 70, usia bukan penghalang untuk mencuba dan mengenali kehebatan ICT. Selepas PID, penduduk Kampung Tanjung Sepat mendapat kemudahan baru dengan pembukaan sebuah lagi pusat Internet iaitu Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Tanjung Sepat.

"Saya pernah menyertai program celik teknologi maklumat (IT) di PJK yang dikhaskan kepada ketua-ketua kampung, ahli-ahli jawatankuasa kampung dan para imam di seluruh daerah Kuala Langat.

"Banyak yang kami pelajari. Antaranya menghasil dan menguruskan blog, e-mel dan e-Kerajaan. Program tersebut dianjurkan sempena Festival Sains dan Teknologi Negeri Selangor (FESSTIS) yang memberi kesedaran kepada golongan pemimpin kampung untuk melibatkan diri bersama ICT," kata Kasirin yang berusaha untuk menghasilkan blog peribadi.

Hari ini, Tanjung Sepat memiliki dua buah pusat Internet seperti PID yang terletak berdekatan Pekan Tanjung Sepat manakala PJK yang dibuka pada 1 Julai 2008 beroperasi di kawasan Kampung Tanjung Sepat yang dikelilingi pokok kelapa sawit.

Sementara itu, Pengurus PJK Kampung Tanjung Sepat, Ahmad Mustaqeem Zahaludin, 28, memberitahu di PJK, selain kemudahan sewa Internet, PJK turut menawarkan kelas pembelajaran dan program berkaitan ICT.


WARGA emas Tanjung Sepat tidak ketinggalan meneroka kemudahan teknologi yang terdapat di kampung mereka.


"Dengan tertubuhnya PJK, kanak-kanak kampung berpeluang mempelajari kaedah e-Pembelajaran, e-Kerajaan dan e-Dagang, di samping mempelajari asas komputer seperti menggunakan Internet dan bermacam-macam perisian komputer," jelas anak kelahiran Klang, Selangor ketika ditemui Kosmo! di PJK, Kampung Tanjung Sepat.

Hasil pembelajaran ICT di PJK, segelintir penduduk kampung memiliki kemudahan jalur lebar di rumah masing-masing. Inisiatif itu menunjukkan satu perubahan yang positif.

Sementara itu, Penolong Pengurus PJK, Noor Farhani Nisman, 24, berkata, PJK dibuka setiap hari bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

"Pengunjung kerap menggunakan kemudahan Internet bagi mendapatkan maklumat, menyiapkan tugasan, membaca akhbar dalam talian serta melayari laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan blog.

"PJK yang menyediakan kemudahan asas seperti tandas, kelas, 11 unit komputer dan penyaman udara mempunyai keahlian seramai 235 orang.

"Rata-ratanya terdiri daripada penduduk kampung yang berusia di antara enam hingga 58 tahun," terang Farhani yang pernah menuntut di Kolej MCS Banting, Selangor dalam jurusan operasi dan pengurusan pejabat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: