MEREKA saling tidak mengenali antara satu sama lain. Namun, pertemuan dalam laman web myalza.com sedikit masa lalu telah mencetuskan satu idea supaya diwujudkan sebuah kelab peminat kereta Alza.
Pada peringkat permulaan, hanya beberapa orang kuat di sebalik forum laman tersebut tampil bersemuka untuk merencana pelan susulan.
Pertemuan singkat itu akhirnya merumuskan kesepakatan agar kelab mereka dinamakan sebagai My Alza Owner Club (MAOC). Misi seterusnya adalah untuk mengumpulkan kira-kira 300 peminat kereta jenis MPV itu dalam satu majlis khas.
Sama seperti kelab-kelab pemotoran lain, mereka berkeinginan untuk mengadakan konvoi. Ibarat serampang dua mata, masing-masing berharap dapat bertentang mata dengan ahli-ahli forum yang sebelumnya hanya bertemu di alam maya.
Pada hari tersebut, Ronko, Karipap atau Selipar Jepun yang selama ini hanya berbalas mesej di forum dapat bertemu. Nama-nama unik itu adalah merujuk kepada nama samaran dalam forum tersebut.
Perbincangan demi perbincangan akhirnya membuahkan hasil apabila segala yang dirancang berjalan seperti yang dijadualkan. Kira-kira 200 ahli kelab Alza pelbagai warna menggegarkan padang Presint 2, Putrajaya pada Mei lalu.
Penulis yang hadir tepat pada pukul 9.30 pagi menyaksikan sebanyak 95 buah kereta Alza tersusun rapi menandakan mereka sudah bersedia untuk mengadakan konvoi sulung sekali gus meraikan hari pertama penubuhan kelab mereka. Meskipun, hanya berlepas ke Serdang, usaha murni itu tidak harus diperlekehkan.
Keluasan padang di kawasan tersebut telah memaksa penulis berjalan jauh berikutan kereta harus diparkir di kawasan yang ditetapkan saja.
Dari kejauhan, suara riuh rendah jelas kedengaran dan masing-masing kelihatan sibuk berbual dan berjabat tangan. Sambil mengenakan baju jenama mereka sendiri, setiap daripada mereka memakai tag dengan nama sandaran masing-masing.
Ronko atau nama sebenarnya Azizul Fahamy Zaiton pada hari berkenaan sungguh gembira kerana dapat berjumpa dengan teman setia dalam forum myalza.com iaitu Karipap atau Azmi Abdul Jalil.
Kedua-dua mereka juga telah berkenalan dengan Hot Mama (Nelly Baharom) iaitu seorang ibu tunggal yang sangat meminati kereta Alza dan kerap bertanya tentang hal-hal kerosakan dan alat-alat ganti kereta dengan ahli forum dalam ruangan maya.
Keunikan MAOC
Ronko selaku Presiden kelab yang juga seorang guru bahasa Arab memberitahu, kelab MyAlza mempunyai keunikan.
“Jika kelab lain kerap melibatkan pemilik kereta sahaja, MyAlza pula mengajak seluruh anggota keluarga turut serta dalam setiap acara terutama acara berkonvoi, sesuai dengan fungsi kenderaan itu yang digunakan seisi keluarga,” ujarnya sambil isterinya, Norfazrizan Samsi, mengiyakan.
Suatu ketika dulu, imbas Ronko, beliau aktif melibatkan diri dalam kelab kereta Kancil namun segalanya lebih menjurus kepada penglibatan secara individu.
Bagaimanapun, harus diakui bahawa garapan pengalaman bersama kelab kereta Kancil itulah yang telah membawa ilham kepadanya untuk mewujudkan MAOC.
Memang benar seperti yang dikatakan Ronko. Acara bersejarah bagi MyAlza itu turut disertai kanak-kanak termasuk seorang bayi yang baru berusia tiga bulan.
Paling mencuri tumpuan ialah ‘penyertaan’ sepasang bayi kembar perempuan iaitu Nur Iman Arissa dan Nur Iman Arina yang baru memasuki usia enam bulan.
Dari pandangan mata kasar, ia seperti menyusahkan. Namun, beritahu ibu kepada bayi kembar itu, Mirhayatul Mat Razai secara spontan kepada Kosmo!, ia merupakan aktiviti berfaedah yang bukan sahaja mengerat silaturahim sesama kawan tapi juga bersama ahli keluarga.
“Saya membawa anak-anak saya secara sukarela dan tidak rasa ia membebankan. Malah, saya seronok apabila melihat setiap pemilik kereta bangga membawa ahli keluarga masing-masing.
“Cuma dua atau tiga buah kereta saja yang memandu bersendiri,” ujar Mirhayatul yang yakin dengan acara itu yang antara lain mengajak pemilik kenderaan memandu cara berhemah.
Hal itu turut disokong oleh dua ibu muda, Intan Sarina Sharudin yang sibuk melayan kerenah anaknya, Ahmad Syafiq Aiman, 3.
“Saya berpendapat, ini merupakan satu cara untuk kita merapatkan lagi hubungan antara suami dan isteri. Selalunya, aktiviti seperti ini melibatkan kaum lelaki, sedangkan wanita biasanya ditinggalkan di rumah,” seloroh Intan Sarina.
Ditanya perasaannya berkaitan penyertaan kali pertama dalam aktiviti sebegitu, dia mengakui merasa sangat teruja ditambah lagi apabila mengetahui banyak lagi program-program lain sedang menunggu mereka.
Apa lagi keunikan kelab permotoran ini? Menurut Ronko: “Kami adalah himpunan masyarakat 1Malaysia.”
MAOC turut disertai bukan saja oleh anak-anak Melayu, malah turut menarik minat kaum Tionghua dan Sikh untuk berkongsi satu minat yang sama.
Misi murni kelab
Berbalik kepada matlamat penubuhan MAOC, Ronko menjelaskan, pihaknya mahu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kelab kereta juga memainkan peranan yang besar dalam menyatupadukan rakyat Malaysia.
Caranya adalah dengan penganjuran program-program yang dapat meningkatkan jati diri seperti aktiviti khidmat masyarakat iaitu dengan menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan.
“MAOC juga bercita-cita menjadi ikon atau model kelab yang menyokong penuh aspirasi kerajaan Malaysia dalam mencapai wawasan negara,” luah Ronko penuh keazaman sambil mendapat tepukan gemuruh daripada ahli-ahlinya yang ternyata sangat peramah.
Semangat ahli MAOC sememangnya berkobar-kobar sejak dari awal pertemuan. Baru sehari dilancarkan, rupa-rupanya mereka sudah merancang pelan aktiviti jangka panjang.
Menurut edaran maklumat yang diagihkan kepada media, ada 10 aktiviti yang bakal dilaksanakan secara beramai-ramai oleh mereka.
Antaranya ialah Program Sehari Bersama Rumah Kebajikan dan Anak-Anak Yatim; Program Belia Benci Dadah; Program Kembara Merdeka; Pertandingan Futsal Antara Kelab; Program Derma Darah Bersama Kementerian Kesihatan Malaysia; Demonstrasi Pemasangan Aksesori Kereta; Program Mengumpul Dana Kebajikan dan lain-lain lagi.
Bercakap soal dana, Ronko mengakui, segala perbelanjaan adalah tanggungan ahli.
“Memang ada cadangan ke arah mendapatkan tajaan, kita sedang berusaha ke arah itu,” katanya.
Justeru, beliau bersama lebih 300 ahli termasuk yang tidak aktif berharap MAOC akan bertahan selama mana yang mungkin.
“Kami percaya jika sesuatu aktiviti yang dijalankan berlandaskan kebajikan dan niat membantu orang lain, ia mampu kekal lama.
“Seperti harapan kelab-kelab lain, kami berharap usaha kami ini dapat mengikis tanggapan segelintir orang yang menyatakan bahawa penubuhan kelab permotoran sebagai satu yang membazir atau tidak berfaedah,” ujar Ronko.
Kepada mana-mana individu yang berminat untuk menyertai kelab ini, sila layari laman web www.myalza.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: