Friday, September 24, 2010

Pernah popular kerana kopi




SUASANA di Kampung Tanjung Sepat, Tanjung Sepat, Banting, Selangor, pada pagi itu cukup tenang. Cuma sesekali kedengaran kokokan ayam dan lembu menguak yang asyik meragut rumput di kebun kelapa sawit.

Hanya pada hujung minggu kampung tersebut 'hidup' semula apabila anak-anak muda yang bekerja di Kuala Lumpur pulang ke sana.

"Beginilah keadaan kampung kami saban hari, sunyi sepi. Pada hari biasa, kebanyakan budak-budak ke sekolah. Golongan ibu pula duduk di rumah, manakala orang lelaki pula berkebun.

"Tetapi ada juga sebahagian penduduk kampung yang bekerja di Pekan Banting kira-kira 30 kilometer (km) dari kampung ini," luah Kasirin Selamat, 70, mengenai Kampung Tanjung Sepat iaitu antara kampung terawal di Tanjung Sepat.

Di sekitar Tanjung Sepat terdapat beberapa buah kampung kecil lain iaitu Kampung Tumbuk Darat, Kampung Kundang, Kampung Batu Laut dan Kampung Ladang Batu.

Meskipun sudah lanjut usia, pertuturan Kasirin masih jelas. Memorinya juga cukup kuat. Dia tidak henti-henti berbicara tentang tanah kelahirannya tujuh dekad lalu.

Jelas bapa kepada lima orang cahaya mata itu, walaupun kampungnya tidak mempunyai sungai atau air terjun seperti kampung-kampung lain tetapi ia sedikitpun tidak mencacatkan zaman kanak-kanaknya.

Masih segar dalam ingatan Kasirin setiap kali pulang dari sekolah dia bergegas membantu bapanya di ladang kopi. Selain memastikan pokok-pokok kopi bebas daripada gangguan serangga perosak, Kasirin tidak melepaskan peluang memetik buah kopi.

"Dahulu, kopi merupakan tanaman dan sumber rezeki kampung ini. Boleh dikatakan rata-rata penduduk kampung mengusahakan tanaman kopi. Sebab itu sejak tahun 1950-an, Tanjung Sepat begitu terkenal dengan kopi,"katanya.

Malangnya, zaman kegemilangan tanaman kopi itu tidak bertahan lama. Sekitar tahun 1980-an, penduduk kampung sedikit demi sedikit menggantikannya dengan kelapa sawit.


TANJUNG Sepat pernah popular dengan tanaman kopi suatu ketika dahulu.


Semuanya gara-gara harga sawit yang melambung tinggi.

Tanaman kelapa sawit

Tambah Kasirin yang juga nazir masjid Kampung Tanjung Sepat itu: "Satu tan buah kelapa sawit berharga RM45. Purata sehari kami boleh memungut tiga tan buah kelapa sawit. Jadi, sebulan sekurang-kurangnya kami meraih pendapatan sekitar RM3,000."

Sementara itu, Ismail Dalimun, 45, memberitahu sehingga kini dia masih gigih mengusahakan ladang kopi bapanya seluas 0.61 hektar. Pada asalnya ladang kopi yang diusahakan lima dekad lalu itu seluas 0.81 hektar.

Namun disebabkan penanaman pokok kelapa sawit, nanas dan pokok kelapa mula menguasai, akhirnya ladang kopi berbaki 0.61 hektar saja.

"Biarlah penduduk lain menjalankan kebun kelapa sawit kerana saya tekad mengusahakan tanaman kopi. Ralat rasanya untuk menghapuskan tanaman yang pernah mempopularkan nama Tanjung Sepat suatu ketika dulu.

"Meskipun kebun kopi saya semakin kecil tetapi saya bersyukur kerana setiap bulan 200 kilogram (kg) kopi saya dibeli oleh pengusaha kopi tetap yang terdiri daripada kaum Cina," ulas Ismail yang menyatakan penghijrahan anak-anak muda ke bandar secara tidak langsung menyebabkan kepupusan tanaman kopi.

Mengimbas sejarah Kampung Tanjung Sepat, penempatan terawal di Tanjung Sepat itu mula diteroka oleh Mahmud Min. Perantau kelahiran Pulau Jawa, Indonesia itu bertindak sebagai ketua kumpulan yang terdiri daripada empat buah keluarga.

Fasa awal penerokaan mereka bermula dengan menanam sayur-sayuran dan makanan asas seperti ubi dan jagung selain bergantung kepada hasil laut. Tahun demi tahun penduduk di Kampung Tanjung Sepat semakin meningkat dengan kehadiran beberapa buah keluarga dari Kuala Selangor yang ingin meneroka dan mendiami kampung berkenaan.

Malangnya, segelintir peneroka terpaksa pulang ke Kuala Selangor. Mereka tidak dapat bercucuk tanam kerana sebahagian besar tanah di kampung itu berpaya. Namun, berkat kesungguhan dan kegigihan penduduk kampung di situ maka terbentuklah sebuah penempatan kampung tradisional yang sempurna.

Bagaimanakah Tanjung Sepat mendapat namanya? Sehingga kini kami sudah mendengar bermacam-macam mitos. Antaranya nama Tanjung Sepat diambil sempena sepohon bunga tanjung berhampiran sebuah kolam yang dipenuhi ikan sepat.


PARA penduduk di Kampung Tanjung Sepat mengusahakan tanaman kelapa sawit untuk menyara hidup.


Nama Tanjung Sepat

"Ada juga yang mengatakan nama Tanjung Sepat tercetus gara-gara ikan sepat yang banyak di kawasan tanjung berhampiran laut. Namun kesahihan cerita-cerita itu masih belum dipastikan kebenarannya," terang Ahli Jawatankuasa Pemantauan dan Penyelidikan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Tanjung Sepat, Amin Mismun, 51.

Hampir sebahagian besar penduduk yang mendiami Kampung Tanjung Sepat adalah kaum Melayu. Rata-ratanya adalah petani. Kaum Cina pula menetap di Pekan Tanjung Sepat, manakala kaum India pula tinggal di estet.

Amin menyifatkan Tanjung Sepat merupakan sebuah kawasan penempatan yang aman dan damai. Para penduduknya saling membantu dan bertolak-ansur biarpun masing-masing berpaksikan kepada fahaman politik yang berbeza-beza.

"Masyarakat kampung tidak pernah merungut apatah lagi mengeluh dengan kemudahan awam yang disediakan. Tanjung Sepat turut mempunyai kemudahan seperti tadika Kemas, pusat kesihatan, masjid, pejabat pos, sekolah dan pekan kecil. Ia memberi kemudahan kepada penduduk yang menetap di sekitar Tanjung Sepat," kata Ketua Kampung Tanjung Sepat, Dr. Jaini Marsio, 52.

Jaini memberitahu, pihak JKKK Kampung Tanjung Sepat sedang memohon kepada pihak kerajaan negeri untuk meluaskan kawasan kampung. Tujuannya untuk membuka kawasan perumahan baru dan ladang yang lebih luas agar golongan asnaf berpeluang mengusahakan tanaman bagi menjana pendapatan.

"Saya selesa menetap di Tanjung Sepat. Kawasan ini jauh daripada hiruk-pikuk bandar. Sebab itulah saya memilih untuk terus tinggal di sini. Lagipun datuk dan ayah saya juga lahir dan membesar di Pekan Tanjung Sepat.


BANGUNAN Pusat Perusahaan Tanjung dibina selepas sebuah panggung wayang ditutup di Pekan Tanjung Sepat.


"Dulu, pekan ini sibuk dan meriah dengan kehadiran pengunjung kerana terdapat sebuah panggung wayang. Namun selepas munculnya cakera padat video (VCD), penduduk setempat semakin kurang menonton wayang.

"Sebab itulah, panggung wayang sedia ada ditutup dan dibina di Pusat Perusahaan Tanjung. Di Pekan Tanjung Sepat, terdapat Sekolah Kebangsaan Jenis Cina Tanjung Sepat, ia turut menempatkan kedai runcit, telefon bimbit, dan kedai basikal," tutur pengusaha kedai runcit Chop Kong Lee, Yong Beng Lok, 52, generasi ketiga yang mengusahakan kedai runcit yang diwarisi daripada datuk dan bapanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: